Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bapa atlet juara Olimpik nafi dera anak, ‘hanya ingin lindungi’

Apr 1, 2025 | 4:05 PM
Atlet olahraga Norway, Jakob Ingebrigtsen (gambar), menyifatkan zaman kanak-kanaknya dipenuhi ketakutan dan manipulasi, sesuatu yang dinafikan jurulatih yang juga bapanya, Gjert Ingebrigtsen.
Atlet olahraga Norway, Jakob Ingebrigtsen (gambar), menyifatkan zaman kanak-kanaknya dipenuhi ketakutan dan manipulasi, sesuatu yang dinafikan jurulatih yang juga bapanya, Gjert Ingebrigtsen. - Foto REUTERS

SANDNES (Norway): Jurulatih olahraga Norway, Gjert Ingebrigtsen, menafikan dakwaan beliau mendera secara fizikal anak lelaki dan anak perempuannya.

Gjert memberitahu mahkamah pada 31 Mac beliau hanyalah seorang bapa yang terlalu melindungi serta berusaha membantu anak-anaknya yang bercita-cita tinggi.

Beliau membuat pengakuan tidak bersalah atas tuduhan mendera secara fizikal juara Olimpik dua kali, Jakob Ingebrigtsen, dan Ingrid Ingebrigtsen, seorang atlet muda berbakat yang berhenti daripada sukan lari kompetitif pada usia 15 tahun pada 2022.

Lelaki berusia 59 tahun itu berdepan hukuman penjara hingga enam tahun jika didapati bersalah, dengan perbicaraan dijangka berlangsung hingga 16 Mei di sini.

Jakob – pemenang pingat emas 5,000 meter di Sukan Paris dan 1,500 meter di Tokyo – menggambarkan zaman kanak-kanaknya dipenuhi ketakutan dan manipulasi ketika memberi keterangan di mahkamah pada 25 Mac.

Beliau turut menceritakan tentang beberapa kejadian ganas.

Dalam salah satu kejadian, pendakwa berkata Gjert memukul anaknya itu beberapa kali selepas menerima laporan negatif mengenai kelakuannya dari sekolah ketika beliau berusia lapan tahun.

Gjert membela diri di mahkamah pada 31 Mac, dengan berkata beliau hanya berusaha melindungi kesemua tujuh anaknya, dengan dua daripada mereka menjadi atlet berjaya.

“Menonjolkan kejadian tertentu berkaitan pertuduhan ini mungkin membuatkan saya kelihatan negatif terhadap anak-anak saya. Tetapi saya sangat menyayangi mereka,” katanya.

“Saya menjadi bapa pada usia sangat muda, dengan keinginan amat besar melindungi mereka,” katanya, sebagaimana dipetik penyiar national negara Norway, NRK.

“Saya menjadi seseorang yang boleh dikatakan terlalu melindungi,” kata beliau.

Gjert turut memberitahu mahkamah cita-cita sesetengah anaknya dalam bidang sukan “amat luar biasa”.

“Saya tidak pernah mendengar perkataan ‘ingin meminta tolong’, sebaliknya hanya tuntutan dan harapan yang sangat berbeza.

“Tuntutan daripada anak-anak itu berkaitan peringkat daerah, negara, Eropah, dan peringkat dunia. Kemudian, ‘Ayah’ menjadi ‘Gjert,’ dan ‘Gjert’ pula menjadi ‘tertuduh’,” katanya. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg