Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Persekutuan sukan selam beri keputusan palsu semasa pemilihan Sukan SEA 2023

Mar 19, 2025 | 5:08 PM
Pasukan renang bersirip Singapura di Sukan SEA 2023 yang diadakan di Kemboja.
Pasukan renang bersirip Singapura di Sukan SEA 2023 yang diadakan di Kemboja. - Foto fail

Persekutuan Sukan Selam Singapura (SUF) telah mengemukakan keputusan palsu semasa proses pemilihan acara 4x200 meter renang bersirip berganti-ganti wanita Sukan SEA 2023.

Ini berdasarkan siasatan Jawatankuasa Siasatan (COI), yang selesai pada Februari 2025.

Dalam kenyataan medianya pada 19 Mac, Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC) dan Majlis Sukan Singapura (SportSG) mengatakan bahawa COI turut mengenal pasti kelemahan dalam tadbir urus serta kegagalan SUF untuk melaporkan kesalahan pihak yang terlibat.

Satu laporan polis telah dibuat pada 18 Mac untuk siasatan lanjut.

COI telah dibentuk oleh kedua-dua pihak berkuasa sukan – SNOC dan SportSG – pada 1 Julai 2024 untuk menyiasat dakwaan bahawa SUF telah memberikan keputusan palsu.

Jawatankuasa itu dipengerusikan oleh rakan kongsi di Rajah & Tann, Encik Lau Kok Keng, serta ahli jawatankuasa eksekutif SNOC.

Ia turut dianggotai oleh ahli dari SNOC dan SportSG.

Mengulas mengenai isu tersebut, kenyataan itu berkata:

“Siasatan mendapati bahawa keputusan yang dikemukakan sememangnya palsu.

“COI turut mengemukakan cadangan yang akan dikaji dan dilaksanakan SportSG dan SNOC bagi memperkukuh integriti proses penyerahan keputusan Persatuan Sukan Kebangsaan (NSA) dalam pemilihan temasya sukan utama.”

Renang bersirip atau finswimming mempunyai pelbagai kategori antaranya perenang menggunakan monofin – yang menyerupai ekor ikan – dan yang lain memakai bifin atau stereofin – yang lazimnya digunakan oleh penyelam skuba.

Dalam penampilan sulung renang bersirip di Sukan SEA 2003, Singapura membawa pulang satu emas, dua perak dan empat gangsa. Mereka tidak memenangi sebarang pingat pada edisi 2023.

SUF kekal digantung oleh SNOC selepas keahliannya dibatalkan pada Disember 2023 akibat penggantungannya oleh Persekutuan Antarabangsa berikutan isu lain yang tidak berkaitan dengan siasatan COI.

SportSG telah menggantung sokongan kepada pentadbir, atlet, serta keahlian NROC bagi jurulatih yang terlibat.

“SNOC dan SportSG tidak menerima sebarang tindakan yang menjejaskan integriti proses pemilihan untuk temasya sukan utama.

“Kami mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan masyarakat sukan agar mengekalkan standard profesionalisme dan integriti yang tertinggi dalam setiap tindakan mereka,” ujar kenyataan itu.

Ia menambah NSA mesti menjalankan tanggungjawab dalam mengemukakan data yang tepat dan benar.

Bagi melindungi sistem daripada penyalahgunaan, penipuan serta sebarang tindakan yang melanggar peraturan, kesemua persatuan sukan kebangsaan dikehendaki membuat pengisytiharan tambahan ketika menghantar dokumen sokongan bagi pemilihan temasya sukan utama yang dikemukakan, kata kenyataan itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg