Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Barca tumpas mengejut kepada AS Monaco

Layangan kad merah pada minit ke-11 jejas prestasi Barca
Sep 20, 2024 | 2:21 PM
Penyerang AS Monaco, George Ilenikhena, yang membawa pulang trofi pemain terbaik perlawanan, meraikan bersama pasukannya selepas menewaskan Barcelona 2-1 di Liga Juara-Juara Eropah.
Penyerang AS Monaco, George Ilenikhena, yang membawa pulang trofi pemain terbaik perlawanan, meraikan bersama pasukannya selepas menewaskan Barcelona 2-1 di Liga Juara-Juara Eropah. - Foto REUTERS

MONACO: Barcelona tewas mengejut 1-2 kepada AS Monaco dalam perlawanan pembukaan Liga Juara-Juara Eropah pada 19 September.

Pasukan pimpinan Hansi Flick telah memulakan musim dengan rekod sempurna selepas lima perlawanan La Liga tetapi bergelut untuk mencari tahap terbaik menentang pasukan Ligue 1 itu, tambahan dengan layangan kad merah kepada Eric Garcia pada awal permainan.

Selepas Garcia dilayangkan kad merah kerana menarik Takumi Minamino, Maghnes Akliouche meletakkan Monaco di hadapan.

Bintang muda, Lamine Yamal, menjaringkan gol penyamaan untuk Barcelona tetapi George Ilenikhena memberikan kemenangan untuk Monaco pada minit ke-71.

Juara lima kali, Barcelona, yang ​​kali terakhir dinobatkan sebagai juara Eropah pada 2015, telah bergelut di Eropah pada musim-musim sebelum ini, terutamanya di tempat lawan.

Monaco mendominasi Barcelona dalam perlawanan di Stade Louis II itu, dan dirangsang dengan kad merah Garcia selepas 11 minit, kerana menjatuhkan bekas pemain tengah Liverpool, Minamino di tepi kotak penalti.

Hantaran cuai daripada penjaga gol Barcelona, ​​Marc-Andre ter Stegen, meletakkan Garcia di bawah tekanan dan beliau bergelut dengan pemain antarabangsa Jepun itu ketika cuba menghalangnya daripada berlari menuju ke gawang.

“Kami tidak memahami satu sama lain dengan baik dalam situasi itu dan saya berasa sedih untuk Eric, kerana akhirnya ia menyakitinya dan kami terpaksa bermain hampir 80 minit dengan kekurangan seorang pemain,” kata Ter Stegen kepada agensi berita, Movistar.

“Sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku, kepada sesiapa, kepada saya atau kepadanya...

“Kekalahan ini menyakitkan kerana dengan 10 pemain kami masih berusaha dan cuba untuk membawa sekurang-kurangnya satu mata.”

Tidak lama selepas kad merah itu, Monaco membuka jaringan pada minit ke-17 apabila Akliouche masuk ke dalam kotak penalti dan menyempurnakan peluang dengan baik walaupun terdapat sedikit tekanan.

Dengan Barcelona kekurangan pemain, tuan rumah terus menguasai permainan.

Raphinha, yang mempunyai prestasi domestik yang mengagumkan sejak kebelakangan ini, mensia-siakan peluang terbaik pasukan pelawat.

Monaco berjaya mengawal bintang Euro 2024 Sepanyol, Yamal, tetapi beliau berjaya untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-28, memotong dari kanan dan merembat masuk bola, menjadikannya penjaring kedua termuda dalam sejarah Liga Juara-Juara pada usia 17 tahun dan 68 hari.

Alejandro Balde gagal menyempurnakan peluang untuk Barcelona, manakala Monaco juga mempunyai peluang, dengan Breel Embolo merembat ke arah Ter Stegen dan Wilfried Singo mempunyai gol dibatalkan kerana dalam kedudukan offside.

Monaco, yang dipimpin Adi Hutter, mendahului perlawanan apabila Vanderson menghantar bola tinggi yang dapat dikejar oleh pemain gantian Ilenikhena, meninggalkan Inigo Martinez.

Penyerang Nigeria berusia 18 tahun itu melakukan rembatan yang kuat dan rendah, berjaya melepasi Ter Stegen.

Penjaga gol Jerman itu berjaya menebus kesalahan apabila beliau menyelamatkan usaha bahaya Folarin Balogun.

Monaco dihadiahkan penalti pada lewat permainan apabila Balogun dijatuhkan selepas diberi tekanan Martinez, tetapi pengadil mengubah keputusannya selepas semakan penolong pengadil video (VAR).

Flick memasukkan Fati untuk penampilan pertamanya bersama Barcelona sejak Ogos 2023 dalam usaha mencari gol penyamaan, tetapi ia tidak berhasil. – AFP.

“Kami tidak memahami satu sama lain dengan baik dalam situasi itu dan saya berasa sedih untuk Eric, kerana akhirnya ia menyakitinya dan kami terpaksa bermain hampir 80 minit dengan kekurangan seorang pemain. ... Kekalahan ini menyakitkan kerana dengan 10 pemain kami masih berusaha dan cuba untuk membawa sekurang-kurangnya satu mata.”
Marc-Andre ter Stegen, penjaga gol Barcelona.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg