Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Liverpool bangkit selepas dikejutkan gol minit ketiga

Konate, van Dijk dan Szoboszlai hero Liverpool benam Milan
Sep 18, 2024 | 2:52 PM
Kapten Liverpool, Virgil van Dijk (tengah), meraikan jaringan gol kedua Liverpool ke atas AC Milan. Di kiri ialah Alexis Mac Allister
Kapten Liverpool, Virgil van Dijk (tengah), meraikan jaringan gol kedua Liverpool ke atas AC Milan. Di kiri ialah Alexis Mac Allister - Foto REUTERS

MILAN: Arne Slot dan Paulo Fonseca, yang mengendalikan perlawanan Liga Juara-Juara bersama pasukan baru mereka buat kali pertama, mengalami pengalaman yang berbeza.

Pada hari pertama perlawanan Liga Juara-Juara pada 17 September, Slot membimbing Liverpool meraih kemenangan 3-1 ke atas AC Milan, yang dikendalikan oleh Fonseca, di San Siro.

Liverpool kekal tenang dan berjaya bangkit selepas permulaan goyah yang menyaksikan gawang mereka dibolosi pada minit ketiga perlawanan.

“Untuk kembali begitu kuat dan dominan, kemenangan ini adalah yang sepatutnya,” kata pengurus Belanda itu, yang menggantikan Jurgen Klopp di kelab Merseyside tersebut.

“Ini adalah malam yang saya akan kenang pada masa hadapan. Semoga lebih banyak detik seperti ini dalam masa hadapan sebagai pengurus Liverpool.”

Ibrahima Konate, Virgil van Dijk dan Dominik Szoboszlai menjaringkan gol bagi The Reds selepas Christian Pulisic memanfaatkan pertahanan Liverpool yang tidak teratur untuk gol tunggal Milan.

Liverpool berjaya bangkit ke prestasi terbaik selepas kekalahan mengejut di tempat sendiri kepada Nottingham Forest pada hujung minggu manakala Milan sekali lagi bergelut di bawah Fonseca menjelang perlawanan menentang Inter Milan pada 22 September.

Fonseca gagal menambat penyokong Milan dengan kurang daripada 60,000 penyokong hadir ke stadium untuk perlawanan berprofil tinggi dalam pertandingan kelab terkemuka Eropah itu.

Namun, terdapat beberapa penyokong yang tetap menunjukkan sokongan dengan memaparkan paparan gergasi dengan tulisan “Fearless” sebelum sepak mula.

Sebaik perlawanan dimulakan, pasukan tuan rumah terus mengasak Liverpool dengan van Dijk perlu mengeluarkan hantaran rendah Tijjani Reijnders.

Pulisic pantas membawa Milan di hadapan dengan rembatannya, menghukum benteng pertahanan The Reds.

Pasukan pelawat kemudian mula tingkatkan intensiti dan tekanan, memaksa Milan kehilangan kekuasaan bola.

Liverpool menyamakan kedudukan pada minit ke-23 apabila Konate menanduk masuk sepakan percuma Trent Alexander-Arnold.

Van Dijk meletakkan gergasi Liga Perdana England itu di hadapan sejurus sebelum tamat separuh masa pertama.

Selepas rehat, Szoboszlai menyambar hantaran lintang Cody Gakpo untuk memastikan kemenangan pada minit ke-67.

Slot yang menyambut hari lahirnya yang ke-46 pada 17 September gembira dengan kemenangan yang diperoleh di stadium seperti San Siro.

Kapten Liverpool, van Dijk, pula berpuas hati kerana pasukannya kekal tenang selepas dibolosi dan terus mencari kemenangan.

Sehari selepas Fonseca berkata anak buahnya perlu mempunyai “pertahanan yang sempurna” menentang Liverpool, mereka ternyata jauh daripada sempurna. Malah, keadaan mungkin menjadi lebih buruk dengan The Reds mencatatkan 11 percubaan tepat ke sasaran.

“Kami menentang Liverpool, pasukan yang hebat,” kata Fonseca, yang menggantikan Stefano Pioli di Milan, kepada agensi berita Sky.

“Kami mulakan perlawanan dengan baik dari segi serangan dan pertahanan, kemudian kami dibolosi dua gol yang mengubah permainan.”

Kededua pengurus mempunyai permulaan yang sangat berbeza dalam liga masing-masing musim ini, dengan anak buah Slot memenangi tiga perlawanan pertama sebelum tewas mengejut 0-1 kepada Forest pada 14 September, lantas menduduki tempat keempat dalam Liga Perdana.

Milan berada di tangga ke-10 dalam kedudukan Serie A dengan hanya satu kemenangan daripada empat perlawanan.

Kekecewaan penyokong Milan jelas terlihat apabila mereka mula meninggalkan stadium jauh lebih awal sebelum wisel penamat, manakala Liverpool boleh melihat ke hadapan dengan optimis selepas kemenangan yang meyakinkan. – Reuters, AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg