Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Man City tumpul di Liga Juara-Juara Eropah, PSG terpaksa kerja keras untuk menang

Juara England terpaksa berpuas hati berkongsi mata dengan Inter Milan
Sep 19, 2024 | 4:37 PM
Penyerang Manchester City, Erling Haaland (dua dari kiri), kelihatan kecewa selepas gagal menjaringkan gol ketika menentang Inter Milan.
Penyerang Manchester City, Erling Haaland (dua dari kiri), kelihatan kecewa selepas gagal menjaringkan gol ketika menentang Inter Milan. - Foto REUTERS

LONDON: Pengurus Inter Milan, Simone Inzaghi, berkata juara Italy itu menghasilkan “persembahan menakjubkan” untuk mengecewakan Manchester City selepas mereka seri 0-0 pada perlawanan pembukaan Liga Juara-Juara Eropah pada 18 September.

Antara tarikan format baru Liga Juara-Juara Eropah musim ini adalah dengan mengumpulkan pasukan elit Eropah untuk menentang satu sama lain secara lebih kerap sebelum peringkat kalah mati.

Pertarungan kali ini – ulangan perlawanan akhir 2023 yang dimenangi 1-0 oleh City – bagaimanapun tidak memberikan debaran yang dijangka.

Inter sepatutnya dapat menghukum anak didik Pep Guardiola di laman sendiri dalam tempoh enam tahun di kejohanan Eropah, namun Henrikh Mkhitaryan gagal menyempurnakan peluang terbaik perlawanan 15 minit sebelum tamat permainan.

“Kita semua tahu kemampuan Manchester City dan apa yang telah mereka capai, terutama di padang sendiri.

“Kami bermain dengan baik dan mencipta beberapa peluang yang bagus.

“Saya kecewa apabila Mkhitaryan gagal menjaringkan gol,” kata Inzaghi, sambil mengucapkan syabas kepada pasukannya.

City memulakan usaha mempertahankan kejuaraan Liga Perdana dengan empat kemenangan berturut-turut.

Namun mereka gagal mengulangi kecemerlangan itu di Eropah selepas Inter berjaya membendung kehebatan barisan serangan pasukan tuan rumah.

“Kami ingin menang dan mencipta lebih banyak peluang tetapi saya harus memberi pujian kepada pasukan lawan. Mereka bermain dengan baik,” kata Guardiola.

“Kami berdepan pasukan yang sangat sukar. Saya berpuas hati dengan keputusan perlawanan... terutama cara (Inter) bertahan, mereka pakar dalam hal itu, mereka membantu antara satu sama lain dengan baik. Oleh itu, sukar untuk kami mencipta banyak peluang.

“Kami bermain dengan lebih baik berbanding perlawanan akhir dua tahun lalu (Jun 2023). Saya gembira dengan pasukan saya... memangnya siapa yang tidak mahu menang tetapi masih ada lagi baki tujuh perlawanan, kita akan lihat apa yang akan berlaku nanti,” tambahnya.

Rodri, yang menjaringkan gol kemenangan ketika kedua-dua pasukan bertemu di Istanbul 15 bulan lalu, kembali ke dalam kesebelasan utama City buat kali pertama musim ini selepas memenangi Euro 2024 bersama Sepanyol dan pulih daripada kecederaan.

Walaupun dengan kehadirannya, Inter tenang menguasai bola dan sering melepasi tekanan City tetapi kurang ketajaman di sepertiga akhir padang untuk menjaringkan gol.

Marcus Thuram mempunyai peluang terbaik pasukan pelawat pada separuh masa pertama tetapi tendangannya melencong keluar.

Penyerang sensasi City, Erling Haaland, yang telah menjaringkan sembilan gol awal musim ini, bagaimanapun sukar mengatasi kubu pertahanan Inter.

Peluang terbaik penyerang Norway itu tiba sebelum masa rehat dengan percubaan rendah beliau hanya tersasar sedikit dari tiang gol.

City akan berdepan Arsenal dalam pertembungan dua pasukan teratas Liga Perdana pada 22 September dan diberi tamparan hebat sejurus sebelum separuh masa apabila Kevin de Bruyne kelihatan terincut-incut selepas hantarannya dipatahkan oleh penjaga gawang Inter, Yann Sommer.

Pemain Belgium itu serta Savinho digantikan pada waktu rehat, dengan Guardiola memasukkan Ilkay Gundogan dan Phil Foden untuk menyuntik semangat ke dalam serangan City.

Bagaimanapun, permainan berhati-hati berterusan daripada kedua-dua pasukan dengan sedikit peluang yang tercipta.

Namun, 20 minit sebelum tamat permainan, pergerakan yang melibatkan Jack Grealish dan Gundogan membuka peluang kepada Foden yang memaksa Sommer bertindak cemerlang untuk menyelamatkan percubaannya.

Inter kemudian hampir mendapatkan kemenangan apabila larian, Denzel Dumfries, di sebelah kanan memberinya peluang untuk melakukan hantaran silang yang terpesong ke bekas pemain Manchester United, Mkhitaryan, namun beliau gagal menghalakan bola ke sasaran.

City hampir merampas kemenangan pada detik akhir perlawanan apabila Gundogan menanduk tinggi hantaran lintang Jeremy Doku.

Pada perlawanan yang lain, Paris Saint-Germain (PSG) perlu bekerja keras sebelum menjinakkan Girona 1-0.

PSG memperoleh kemenangan selepas penjaga gol Girona, Paulo Gazzaniga, yang berjaya menghalang kebanyakan usaha juara Perancis itu, melakukan kesilapan besar pada minit-minit akhir perlawanan untuk memberikan tuan rumah kemenangan berharga itu.

PSG mempunyai lebih 60 peratus penguasaan bola dan 24 percubaan ke gawang Girona di Parc des Princes sebelum hantaran lintang rendah Nuno Mendes melepasi Gazzaniga pada minit ke-90.

Ia merupakan kekalahan pahit bagi Girona yang layak ke Eropah buat kali pertama dalam sejarah mereka selepas menduduki tempat ketiga dalam La Liga 2022/2023. – AFP, Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg