Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Barcelona benam 7 gol lepasi Valencia

Jan 27, 2025 | 2:49 PM
Pemain tengah Barcelona, Fermin Lopez (dua dari kiri), menjaringkan gol keempat Barca ke atas Valencia di Stadium Estadi Olímpic Lluís Companys pada 26 Januari. Beliau menamatkan perlawanan dengan menjaringkan dua gol.
Pemain tengah Barcelona, Fermin Lopez (dua dari kiri), menjaringkan gol keempat Barca ke atas Valencia di Stadium Estadi Olímpic Lluís Companys pada 26 Januari. Beliau menamatkan perlawanan dengan menjaringkan dua gol. - Foto REUTERS

BARCELONA: Barcelona menamatkan kemarau empat perlawanan tanpa kemenangan dalam La Liga dengan kemenangan bergaya 7-1 ke atas Valencia pada 26 Januari.

Fermin Lopez menjadi pemain penting perlawanan dengan menjaringkan dua gol yang menarik serta membuat dua ‘assist’.

Barcelona kini berada di tangga ketiga dengan 42 mata, tiga mata di belakang pasukan tempat kedua, Atletico Madrid dan tujuh mata di belakang pendahulu liga, Real Madrid.

Valencia, yang sedang bergelut untuk mengelakkan penyingkiran, berada di tangga ke-19 dengan 16 mata selepas mengalami kekalahan pertama mereka dalam lima perlawanan di semua pertandingan.

Frenkie de Jong membuka jaringan selepas tiga minit dengan rembatan kaki kanan dari tengah kotak penalti, hasil hantaran tepat Lamine Yamal.

Pemain tengah dari Belanda itu terus mempamerkan aksi cemerlang dan memainkan peranan penting dalam gol kedua Barca.

Hantarannya membolehkan Alejandro Balde menyediakan peluang kepada Ferran Torres, yang menyudahkan peluang gol.

Raphinha menambah gol ketiga pada minit ke-14, memanfaatkan kesilapan penjaga gawang Valencia, Giorgi Mamardashvili.

Penjaga gawang itu bergegas keluar dari posisinya untuk cuba menutup ruang, tetapi Raphinha dengan tenang menjaringkan gol ke dalam gawang yang kosong.

Lopez melengkapkan babak pertama yang penuh aksi dengan menambah gol keempat pada minit ke-24 dan gol kelima sebelum separuh masa melalui rembatan kencang jarak jauh dari sebelah kanan.

“Kami tiba dari situasi buruk dalam La Liga dan kami memerlukan kemenangan ini. Saya juga memerlukan perlawanan seperti ini. Saya mengalami banyak kecederaan dan penting untuk membina keyakinan,” kata Lopez kepada agensi berita DAZN.

Hugo Duro menjaringkan gol sagu hati untuk Valencia selepas rehat melalui rembatan dari jarak dekat.

Namun, Barcelona terus mendominasi permainan dan pemain gantian Robert Lewandowski menambah gol keenam sebelum Cesar Tarrega menjaringkan gol sendiri, melengkapkan jumlah jaringan untuk pasukan kendalian Hansi Flick.

Barcelona, yang sebelum ini meraih kemenangan dramatik 5-4 ke atas Benfica untuk melayakkan diri ke pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara, akan berdepan Atalanta dalam perlawanan terakhir peringkat liga itu pada 30 Januari. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg