BARCELONA: Penyerang Ferran Torres menjaringkan satu gol dan melakukan satu ‘assist’ (membuka laluan) apabila Barcelona menundukkan Shakhtar Donetsk untuk mengekalkan rekod sempurna mereka dalam Kumpulan H Liga Juara-Juara.
Torres membuka jaringan pada minit ke-28 selepas satu percubaan Fermin Lopez terkena tiang dan bola terpelanting ke arahnya.
Lapan minit kemudian, bekas penyerang Manchester City itu menghantar bola kepada Lopez, yang tidak mensia-siakannya untuk menjaringkan gol kedua Barca.
Heorhii Sudakov menjaringkan gol untuk Shakhtar pada separuh masa kedua, tetapi pasukan tuan rumah dapat bertahan untuk mencapai kemenangan.
Pemenang Liga Juara-Juara sebanyak lima kali itu berada di tempat teratas kumpulan mereka dengan sembilan mata, manakala Shakhtar kekal di tempat ketiga dengan enam mata di belakang juara La Liga itu.
Barcelona kekurangan penyerang kerana penyerang utama mereka, Robert Lewandowski, terpaksa dikeluarkan ekoran kecederaan buku lali, sementara Joao Felix pula dikeluarkan akibat kecederaan pada minit ke-74.
Torres memanfaatkan peluang itu untuk meyakinkan pengurus Xavi Hernandez agar menurunkannya pada permulaan perlawanan liga El Clasico menentang Real Madrid pada Sabtu ini.
Barcelona menurunkan Lamine Yamal, yang berusia 16 tahun, pada permulaan perlawanan bagi kali kedua dalam Liga Juara-Juara.
Manakala Marc Guiu, 17 tahun, yang menjaringkan gol kemenangan pada penampilan sulungnya ketika menentang Athletic Bilbao pada Ahad, dimasukkan sebagai pemain gantian. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg