Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Impian Mbappe ke Real Madrid tercapai

Jun 9, 2024 | 5:30 AM
Penyerang Perancis, Kylian Mbappe, mengawal bola semasa latihan bersama pasukan negaranya menjelang pertandingan Euo 2024.
Penyerang Perancis, Kylian Mbappe, mengawal bola semasa latihan bersama pasukan negaranya menjelang pertandingan Euo 2024. - Foto AFP

PARIS: Sejak zaman remajanya, Kylian Mbappe sudah mempunyai rancangan jangka panjang yang besar dalam mengejar impiannya.

Semasa dalam bilik darjah, Mbappe sudah pun belajar beberapa bahasa, terutama Sepanyol.

“Mungkin pada masa akan datang, ia dapat membantu saya; meskipun semasa dalam wawancara, untuk melahirkan pandangan saya dalam bahasa Perancis atau bahasa lain, jika perlu,” katanya.

Pada musim panas ini, bahasa Sepanyol yang dipelajarinya dijangka berguna apabila beliau berpindah kelab.

Selepas menamatkan kontrak dengan Paris St-Germain, penyerang berusia 25 tahun itu akan berpindah ke Real Madrid di Sepanyol.

Ternyata ia perpindahan yang sudah lama diimpikannya sejak beliau menampal poster bekas penyerang Real Madrid, Cristiano Ronaldo, pada dinding rumahnya dahulu.

Ia merupakan perpindahan yang mungkin membuka peluang kepada kemenangan lebih banyak trofi buat dirinya.

Dan perpindahan tersebut dikhabarkan boleh menjadikannya pemain paling berharga dalam dunia bola sepak.

Bekas pengurus Arsenal, Arsene Wenger, yang kini merupakan ketua pembangunan bola sepak sejagat, Fifa, berkata:

“Beliau masih mempunyai lagi 10 tahun untuk menyumbang kepada bola sepak bertaraf tinggi dan sememangnya agak menggerunkan apabila melihatkan kejayaan beliau sejauh ini.”

“Dalam peringkat kerjayanya, ini adalah masa seseorang tahu akan pekerjaan mereka.

“Beliau berada pada peringkat terbaik, dengan potensi fizikal yang hebat. Kebolehannya tiada had. Beliau mampu berada pada peringkat 90 peratus dan masih berikan yang lebih baik.

“Tapi sejauh mana beliau ingin dorong dirinya? Adakah beliau mempunyai visi yang jelas ke mana beliau ingin tuju?” tambah Wenger.

Bagi Mbappe, dunianya semasa membesar berlegar kepada sekolah dan bola sepak.

Ini dinyatakan sendiri oleh seorang rakannya sejak kecil, Rayan Viyanga, dalam satu dokumentari BBC Sport yang baru berjudul Mbappe.

“Kylian hanya mengaitkan dirinya kepada sekolah dan bola sepak.

“Sekolah, bola sepak, rumah,” kata beliau.

Semasa kecil, Mbappe tinggal di daerah di luar Paris di Perancis.

Beliau dilahirkan di sebuah kawasan bernama Bondy pada 1998, beberapa bulan selepas Perancis menjulang trofi Piala Dunia buat kali pertama.

Beberapa pemain yang mewakili Perancis pada 1998 terdiri daripada nama-nama seperti Lilian Thuram dan Thierry Henry dan kawasan tersebut masih lagi menjadi tumpuan bakat baru bola sepak.

Seramai 30 pemain dalam skuad Piala Dunia Perancis yang bermain dalam Piala Dunia Qatar pada 2022 dilahirkan di Paris, ibu kota Perancis.

Bondy merupakan tempat pertama Mbappe kembali sejurus menjulang trofi Piala Dunia 2018.

“Ia merupakan bandar dan tempat saya membesar, maka saya amat bangga dapat kembali ke sana,” katanya.

Semasa zaman remajanya, Mbappe sering menampal gambar Ronaldo dan menonton petikan video lama Zinedine Zidane – yang juga seorang bintang Real Madrid ketika itu.

Semasa berusia enam tahun, Mbappe sudah pun belajar menyanyikan lagu kebangsaan Perancis dan kemudian memberitahu gurunya bahawa satu hari nanti beliau akan bermain untuk negara itu dalam Piala Dunia.

Semasa berusia 10 tahun beliau menerima but bola sepak pertama dan sekitar enam tahun kemudian beliau buat penampilan pertama bersama Monaco.

Tapi Mbappe sebenarnya mula dipilih Monaco pada Julai 2013, semasa beliau berusia 14 tahun.

Pada 2018 beliau merupakan salah seorang pemain dan penjaring dalam final Piala Dunia ketika Perancis menundukkan Croatia 4-2.

Wajah Mbappe kemudian tampil di kulit majalah Time.

“Gila,” katanya kepada majalah Time dalam satu wawancara.

“Setiap kanak-kanak mempunyai impian, tapi apabila ia tercapai hanya dalam beberapa tahun, ia merupakan sesuatu yang menggilakan,” kata beliau.

Pada 2017, Mbappe menerima lamaran Real Madrid menerusi kelabnya, Monaco.

Namun Kylian memilih ke Perancis dan kemudian menyertai Paris St-Germain, dan menjadi pemain remaja paling mahal di dunia.

Real Madrid terpaksa menanti selama tujuh tahun lagi untuk mendapatkan pemain itu dan Mbappe dikhabarkan menerima 150 juta euro ($219.8 juta) sebagai bonus persetujuan apabila beliau sertai pasukan itu pada musim panas kali ini.

Impian besar yang sudah tercapai; dan kekayaan di luar jangkaan.

Inilah impian yang sudah lama diidamkan dan dikejar Mbappe. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg