Bayern Munich giat bincang untuk lanjut kontrak Kane
FRANKFURT (Jerman): Pengarah sukan Bayern Munich, Max Eberl, berkata kelab Jerman itu sedang berbincang dengan Harry Kane untuk melanjutkan kontrak pemain penyerang itu.
Kapten England berusia 32 tahun itu memeterai perjanjian empat tahun semasa berpindah daripada Tottenham pada Ogos 2023 dalam pemindahan bernilai 100 juta euro ($150.8 juta).
Kane sejak itu telah menjaringkan 119 gol dan mencatatkan 30 bantuan gol dalam 126 perlawanan buat Bayern.
Beliau juga merangkul piala utama pertama dalam kerjayanya apabila membantu kelab itu memenangi gelaran Bundesliga 2024 hingga 2025.
“Kami sedang berbincang dengan Harry (Kane),” kata Eberl dalam satu acara Bundesliga di Frankfurt. “Semua orang tahu pada satu ketika keputusan perlu dibuat.”
Pada Oktober 2025, Kane berkata beliau “pasti” melihat dirinya kekal bersama Bayern, dan keinginannya untuk kembali ke Liga Perdana England (EPL) telah “merosot sedikit”.
Musim ini beliau telah menjaringkan 34 gol dalam 30 perlawanan bagi pasukan pimpinan Vincent Kompany itu, termasuk 21 gol dalam 19 perlawanan Bundesliga ketika Kane cuba mengatasi rekod bekas penyerang Bayern, Robert Lewandowski, iaitu 41 gol dalam satu kempen Bundesliga.
Kane juga telah membantu Bayern menduduki tempat kedua dalam fasa kumpulan Liga Juara-Juara dengan baki satu perlawanan.
“Harry mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap kami dan beliau berasa selesa di Munich,” kata ketua eksekutif Bayern, Jan-Christian Dreesen.
“Beliau dan keluarganya sudah selesa. Oleh itu, kami langsung tidak mempunyai sebab untuk tergesa-gesa,” tambahnya.
Pada 14 Oktober 2025, England membelasah Latvia 5-0 pada untuk menempah tempat ke Piala Dunia 2026, dengan Kane menjaringkan dua gol, sekali gus menjadikan jumlah gol antarabangsanya kepada 76 gol.
Ditanya sama ada beliau boleh mencapai jaringan ke-100, pemain berusia 32 tahun itu dengan penuh yakin berkata: “Berdasarkan apa yang saya rasai sekarang, saya akan terus bekerja keras.
“Gol sudah terkumpul, lihatlah jumlahnya. Saya berasa sedang berada di tempat yang sangat baik,” katanya. – Agensi berita.

