Topic followed successfully
Go to BHkuBayern tewaskan Real, Kane beraksi cemerlang jaringkan gol
Bayern tewaskan Real, Kane beraksi cemerlang jaringkan gol
Bayern tewaskan Real, Kane beraksi cemerlang jaringkan gol
MADRID: Harry Kane menandakan kemunculannya kembali selepas satu tempoh kecederaan, dengan satu rembatan hebat bagi Bayern Munich yang memberi kelab tersebut kelebihan dalam aksi suku akhir Liga Juara-Juara (UCL) menentang Real Madrid.
Bayern mencatat kemenangan mengagumkan 2-1 ke atas Real dalam perlawanan pertama di Stadium Bernabeu, pada 7 April.
Kane kembali beraksi selepas mengalami cedera ringan yang telah menyebabkannya terlepas perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Jepun serta kemenangan Bayern ke atas Freiburg dalam saingan Bundesliga.
Kapten England berusia 32 tahun itu tidak begitu menonjol pada separuh masa pertama, namun beliau terlibat dalam gol pembukaan pada minit ke-41 oleh bekas penyerang Liverpool, Luis Diaz, yang memberi kelebihan pada Bayern.
Sebaik sahaja separuh masa kedua bermula, Kane mula menyerlahkan kehebatannya dengan sepakan kaki kanan tepat ke sudut bawah gawang – tanpa memberi peluang langsung kepada penjaga gawang Real, Andriy Lunin, menghalang percubaannya itu.
Sepanjang perlawanan itu, penjaga gawang veteran Bayern, Manuel Neuer, berjaya menyelamatkan empat cubaan gol – tiga hasil sepakan Kylian Mbappe.
Dalam keadaan terdesak, Real menurunkan pemain tengah, Jude Bellingham, ke padang selepas sejam perlawanan sebagai usaha untuk bangkit, dan keputusan tersebut jelas tidak mengecewakan.
Pemain Real, Trent Alexander-Arnold, yang pada mulanya kelihatan kurang yakin dalam barisan pertahanan, menunjukkan kehebatannya dengan hantaran silang rendah yang dimanfaatkan Mbappe dengan jaringan pada minit ke-74.
Real terus memberi tekanan kepada Bayern hingga ke akhir perlawanan, namun skuad kendalian Vincent Kompany itu berjaya bertahan dan membawa kelebihan tipis bagi Bayern bagi bahagian kedua.
Sementara itu, pengurus skuad kebangsaan England, Thomas Tuchel, berkunjung ke Bernabeu untuk memantau tiga pemain antarabangsa – Alexander-Arnold, Kane dan Bellingham – dengan debaran Piala Dunia semakin hampir.
Alexander-Arnold berada dalam kesebelasan utama Real dan Kane mengetuai pasukan pelawat, manakala Bellingham berada di bangku simpanan tuan rumah kerana minit permainannya masih dikawal selepas berehat panjang akibat kecederaan hamstring.
Alexander-Arnold kini seakan-akan seorang ‘pemain yang dilupakan’ di bawah kendalian pengurus asal Jerman itu.
Beliau gagal menembusi skuad Tuchel untuk perlawanan persahabatan baru-baru ini, malah Tuchel sentiasa kelihatan ragu-ragu terhadap keupayaannya dalam benteng pertahanan.
Tidak banyak yang berlaku dalam perlawanan itu untuk mengubah fikiran Tuchel terhadap pemain berkenaan.
Pada separuh pertama, ketika Real di bawah tekanan, Alexander-Arnold memberi peluang keemasan kepada pasukan lawan melalui hantaran salah kepada pemain sayap Bayern, Michael Olise.
Namun, hantaran susulan Olise kepada Serge Gnabry tidak kesampaian.
Alexander-Arnold terlepas kawalan terhadap bekas rakan sepasukannya di Liverpool, Diaz, yang meluru masuk di belakangnya untuk menjaringkan gol pertama bagi Bayern.
Bagaimanapun, beliau membuktikan mutu serangannya pada separuh kedua menerusi hantaran berbahaya dan satu hantaran lintang rendah yang sempurna bagi Mbappe menjaringkan gol.
Bellingham, yang sedang bersaing untuk peranan nombor 10 England, dimasukkan selepas sejam perlawanan dan berjaya mengubah rentak permainan Real dengan asakan dari tengah – namun beliau tetap gagal menyelamatkan pasukannya daripada kekalahan.
Tahap kecergasan kapten England, Kane, menjadi topik hangat sebelum perlawanan.
Meskipun disertakan dalam senarai pemain selepas pulih daripada kecederaan, beliau kelihatan tidak begitu menonjol pada separuh masa pertama.
Namun, selepas melakukan hantaran untuk gol pembukaan, Kane menunjukkan bahawa beliau masih “berbisa” apabila menjaringkan gol kemenangan buat Bayern sejurus separuh masa kedua bermula.
Tanpa memandang rendah kemampuan Real untuk bangkit dalam UCL, Bayern kelihatan terlalu unggul sehingga sukar untuk membayangkan pasukan itu bakal melepaskan kelebihan itu pada aksi perlawanan kedua di Arena Allianz pada 15 April. – Agensi berita.

