Kelab England tunjuk ‘taring’, kuasai Liga Juara-Juara

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kelab England tunjuk ‘taring’, kuasai Liga Juara-Juara

Arsenal dahului empat kelab lain yang mara; Newcastle berpeluang jadikan hingga 6 kelab England di peringkat kalah mati sekiranya menang perlawanan penentuan
Feb 2, 2026 | 5:30 AM

Kelab England tunjuk ‘taring’, kuasai Liga Juara-Juara

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Kelab England, tunjuk ‘taring’, Liga Juara-Juara, Arsenal
Arsenal sedang melalui musim yang baik, bukan sahaja mendahului Liga Perdana England (EPL) setakat ini, malah mereka telah menjuarai fasa liga saingan di medan Liga Juara-Juara Eropah. - Foto REUTERS

LONDON: Liga Perdana England (EPL) sekali lagi mempamerkan kekuatannya di pentas Eropah apabila lima pasukan dari England menamatkan saingan dalam kelompok lapan kelab terbaik Liga Juara-Juara Eropah, sekali gus layak secara automatik ke peringkat kalah mati.

Jumlah tersebut berpotensi meningkat kepada enam pasukan jika Newcastle United berjaya memenangi aksi perlawanan penentuan (play-off) dua perlawanan setelah menamatkan fasa liga di tempat ke-12 hasil keputusan seri 1-1 menentang juara bertahan, Paris Saint-Germain (PSG), pada 29 Januari.

Pasukan yang menduduki tempat ke-11 dan 12 akan menentang pasukan yang menduduki tempat ke-21 dan 22.

Ini bermakna Newcastle akan menentang sama ada pasukan Perancis, Monaco, atau kelab Azerbaijan, Qarabag, di pusingan perlawanan penentuan tersebut.

Arsenal muncul juara fasa liga, diikuti Liverpool di tempat ketiga, Tottenham di tangga keempat, Chelsea di tangga keenam manakala Manchester City menduduki tangga kelapan.

Sejarah bakal tercatat sekiranya Newcastle mara ke pusingan seterusnya, kerana belum pernah ada enam pasukan EPL beraksi di pusingan kalah mati Liga Juara-Juara sebelum ini.

“Ini merupakan satu penguasaan,” kata pengurus Tottenham, Thomas Frank.

“Kita sudah lama mengatakan bahawa Liga Perdana (England) ialah liga terbaik di dunia, dan ini satu lagi buktinya.”

Justeru, apakah faktor yang menjadikan kelab Liga Perdana begitu unggul berbanding gergasi Eropah lain?

Jawapan paling jelas terletak pada kekuatan kewangan EPL, yang jauh mengatasi liga-liga lain.

Enam kelab EPL berada dalam kelompok 10 teratas Liga Wang Bola Sepak Deloitte – laporan yang mendedahkan prestasi kewangan kelab bola sepak di serata dunia – manakala separuh daripada 30 kelab terkaya dunia datang dari England.

Hasil hak penyiaran televisyen menjana pendapatan amat besar, jauh meninggalkan liga di negara lain.

Musim panas lalu, kelab EPL mencatat perbelanjaan tertinggi dalam sejarah tempoh pemindahan dengan jumlah melebihi £3 bilion ($5.2 bilion).

Malah, jumlah itu lebih besar berbanding gabungan perbelanjaan kelab Bundesliga (Jerman), La Liga (Sepanyol), Ligue 1 (Perancis) dan Serie A (Italy).

Dengan dana yang besar, kelab mampu membina skuad yang lebih mendalam.

Sebagai contoh Arsenal mendapat manfaat daripada pelaburan besar apabila menjuarai fasa liga Liga Juara-Juara dan kini mendahului EPL.

“Sebab utama kelab England menguasai setakat ini ialah kekuatan kewangan EPL,” kata bekas pemain Liverpool, Stephen Warnock.

“Selain itu, persaingan sengit sesama mereka juga meningkatkan tahap permainan. Mereka saling mendorong satu sama lain untuk menjadi lebih baik.”

Penyerang Newcastle, Anthony Gordon, turut merasakan gaya permainan Eropah yang lebih terbuka memberi kelebihan kepada kelab-kelab England.

Menurutnya EPL kini “lebih fizikal” daripada apa yang beliau pernah alami.

“Dalam Liga Juara-Juara, pasukan lebih terbuka dan cuba bermain bola sepak yang bergaya. Permainan kurang bersifat pantas,” katanya.

“EPL pula kadangkala seperti permainan bola keranjang, sangat intensif dari segi fizikal. Ia lebih kepada larian, pertembungan dan detik-detik penting. Siapa menang pertembungan selalunya menang perlawanan.”

“Liga Juara-Juara lebih klasik, lebih berasaskan bola sepak bergaya. Pasukan datang untuk bermain.

“Dalam Liga Perdana, kita lihat lebih banyak lontaran jauh, sepakan sudut dan situasi bola mati. Permainan jadi lebih perlahan dan banyak bergantung kepada situasi bola mati.”

Pencapaian lima, dan mungkin sehingga enam pasukan EPL ke peringkat kalah mati sememangnya mengagumkan.

Namun, adakah jadual perlawanan lebih memihak kepada mereka?

Pada awal musim, firma statistik Opta menganalisis semua jadual perlawanan Liga Juara-Juara dan menyusun ranking untuk menentukan pasukan mana bakal mendapat jadual perlawanan paling mudah.

Arsenal berada di tangga ketiga paling mudah, Tottenham keempat, Liverpool ketujuh dan Chelsea kelapan.

Manchester City pula di kedudukan ke-14, manakala Newcastle, yang perlu bertembung dengan PSG selaku juara bertahan, berada di tangga ke-32, antara yang paling sukar.

Kali terakhir lima pasukan EPL mara ke peringkat kalah mati ialah pada 2017, melibatkan Chelsea, Liverpool, Manchester City, Manchester United dan Tottenham.

Namun hanya Liverpool dan City berjaya melepasi pusingan 16 terbaik, dengan Liverpool mara ke final selepas menyingkirkan City di peringkat suku akhir.

Musim ini, dengan lima pasukan England berada dalam kelompok lapan teratas dan tidak perlu bertemu sesama sendiri di pusingan 16, peluang untuk melihat jumlah rekod kelab England ke suku akhir semakin cerah.

Kehadiran banyak kelab England di peringkat akhir bukan perkara baru.

Empat pasukan mara ke suku akhir pada musim 2007-08, 2008-09 dan 2018-19, malah menghasilkan final sesama pasukan England pada 2008 dan 2019.

Tiada negara lain pernah mempunyai empat pasukan di suku akhir.

Musim ini, England berpeluang merebut enam slot Liga Juara-Juara.

Namun, beban bermain di EPL dan Liga Juara-Juara secara serentak memberi kesan besar, antara sebab mengapa beberapa pengurus lega dapat mengelak dua perlawanan tambahan dalam perlawanan penentuan.

“Saya tetap rasa ia sukar untuk salah satu daripada mereka menjuarainya, kerana EPL sangat mencabar setiap minggu, sama ada bersaing merebut kejuaraan atau menduduki tempat empat tangga teratas,” tambah Warnock.

“Walaupun begitu, kelab England berada dalam posisi yang baik. Beberapa pasukan besar lain, seperti PSG, masih belum benar-benar menemui rentak.”

Tiga negara lain yang turut mempunyai wakil ke peringkat kalah mati termasuk Jerman (Bayern Munich), Sepanyol (Barcelona) dan Portugal (Sporting CP).

Ini menyebabkan beberapa pasukan besar terpaksa melalui laluan perlawanan penentuan, termasuk PSG yang gagal mendapatkan kemenangan penting yang diburu semasa menentang Newcastle untuk menamatkan saingan dalam lapan tempat teratas.

Real pula terlibat dalam perlawanan dramatik menentang Benfica.

Mereka beraksi dengan sembilan pemain sebelum gol saat akhir oleh penjaga gol Anatoliy Trubin memastikan kemenangan 4-2 untuk pasukan kendalian Jose Mourinho, sekali gus melayakkan mereka ke perlawanan penentuan. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg