Topik diikuti
Pergi ke BHkuBayern ukir sejarah juarai Bundesliga kali ke-35, buru ‘treble’ pula
Bayern ukir sejarah juarai Bundesliga kali ke-35, buru ‘treble’ pula
Gergasi Jerman bangkit daripada ketinggalan untuk tundukkan VfB Stuttgart 4-2
Bayern ukir sejarah juarai Bundesliga kali ke-35, buru ‘treble’ pula
JERMAN: Bayern Munich merangkul kejuaraan Bundesliga yang ke-35 pada 19 April selepas menewaskan VfB Stuttgart di Allianz Arena.
Namun adakah ini bakal menjadi kejayaan paling mengagumkan bagi kelab gergasi Jerman itu?
Selepas seteru terdekat, Borussia Dortmund, tewas kepada Hoffenheim pada 18 April, Bayern hanya memerlukan keputusan seri untuk menjulang gelaran ke-13 dalam tempoh 14 musim.
Namun, seperti yang dipamerkan sepanjang musim 2025/26 ini, Bayern beraksi penuh bergaya dan bangkit daripada ketinggalan untuk menundukkan Stuttgart, yang memburu kelayakan Liga Juara-Juara, dengan keputusan 4-2.
Kemenangan itu terus menyemarakkan impian meraih treble (tiga kejuaraan), menjelang perlawanan separuh akhir Piala Jerman menentang Bayer Leverkusen pada 22 April, dan pertembungan dengan Paris Saint-Germain (PSG) dalam saingan Liga Juara-Juara pula pada 28 April.
PASUKAN TERBAIK DALAM SEJARAH BUNDESLIGA?
Kemenangan besar ketika Bayern menumpaskan RB Leipzig 6-0 dalam perlawanan pertama Bundesliga, merupakan amaran bagi pasukan yang lain.
Aksi itu hasil hatrik kapten England, Harry Kane, serta jaringan oleh Michael Olise dan pemain baru, Luis Diaz.
Dalam tempoh 29 perlawanan berikutnya, trio itu membuktikan diri mereka sebagai kuasa serangan yang amat berbahaya, menyumbang kepada rekod 109 jaringan untuk Bayern.
Kane, Olise dan Diaz menjaringkan 59 gol daripada jumlah tersebut.
Dalam sejarah Bundesliga, hanya dua kali angka 100 jaringan dicapai – Bayern pada musim 1971/72 dan 2019/20.
Malah, pasukan di bawah kendalian Vincent Kompany itu berjaya mencatatkan rekod jaringan baru dengan baki empat perlawanan, sekali gus membuktikan tahap bakat dan keteguhan yang luar biasa.
Dengan tiga daripada perlawanan terakhir mereka menentang pasukan di kedudukan rendah, termasuk Wolfsburg yang berada di tangga kedua tercorot dan pasukan tercorot, Heidenheim, Bayern kelihatan akan mencapai 120 gol.
Namun, Bayern bukan hanya cemerlang di bahagian serangan.
Juara 35 kali itu juga telah menunjukkan prestasi yang mengagumkan di barisan pertahanan, hanya dibolos 29 kali setakat ini.
Sekiranya mereka memenangi perlawanan-perlawanan terakhir, Bayern akan menyamai rekod untuk jumlah mata tertinggi dalam musim Bundesliga, iaitu 91 mata, yang dicatatkan oleh Bayern di bawah bimbingan Jupp Heynckes, ketika pasukan itu memenangi treble pada 2013.
PEMAIN TONGGAK – HARRY KANE
Di sebalik detik manis menjuarai Bundesliga berturut-turut ialah prestasi cemerlang Kane.
Terdapat beberapa pemain cemerlang untuk Bayern bagi musim ini, namun tiada yang lebih menonjol daripada pemain nombor sembilan mereka itu.
Hanya dua tahun lalu (2024), Kane dipersoalkan mengenai pemindahannya ke Jerman ketika Bayern menamatkan musim tanpa sebarang piala buat kali pertama dalam tempoh 12 tahun.
Kini, Kane bukan sahaja pemain tonggak dalam membantu Bayern memenangi dua gelaran berturut-turut, bahkan meletakkan dirinya dalam kedudukan untuk meraih anugerah individu paling berprestij dalam bola sepak – Ballon d’Or – selepas menjaringkan 32 gol dalam 27 penampilan Bundesliga musim 2025/26.
Tiada pemain dalam lima liga utama Eropah yang berjaya menjaringkan lebih banyak daripada 50 gol dalam semua pertandingan, yang dihasilkan oleh Kane.
Malah, Kane juga cemerlang dalam kempen Liga Juara-Juara semasa musim ketiga beraksi di Bayern.
Baru-baru ini, Kane menyumbang beberapa gol penting ketika bersua dengan Real Madrid dalam kedua-dua perlawanan suku akhir, untuk membantu Bayern mara ke separuh akhir buat kali pertama sejak 2024.
Pada November 2025, Kane menyatakan semula azamnya untuk memenangi piala utama.
“Saya boleh menjaring lebih 100 gol, tetapi jika saya tidak menang Liga Juara-Juara atau Piala Dunia, saya rasa sukar untuk saya dianugerahkan dengan Ballon d’Or,” katanya.
2013, 2020... DAN 2026?
Pada detik ini, Bayern akan memburu treble ketiga dalam sejarah kelab itu.
Dengan prestasi menakjubkan setakat ini, siapa yang mampu menghalang mereka? – Agensi berita.
