Topik diikuti
Pergi ke BHkuCity tumbangkan Arsenal, buka luas saingan rebut kejuaraan EPL
City tumbangkan Arsenal, buka luas saingan rebut kejuaraan EPL
Kini hanya ketinggalan tiga mata dengan satu perlawanan dalam tangan
City tumbangkan Arsenal, buka luas saingan rebut kejuaraan EPL
Persaingan merebut kejuaraan Liga Perdana England (EPL) kini semakin terbuka buat Manchester City.
Selepas menewaskan Arsenal 2-1 di Stadium Etihad di Manchester, England, pada 19 April, City kini hanya ketinggalan tiga mata dengan satu perlawanan dalam tangan.
City telah bermain 32 perlawanan dan mengumpul 67 mata, manakala Arsenal sudah beraksi dalam 33 perlawanan dan mengumpul 70 mata.
Dalam pertembungan pada 19 April itu, kedua-dua pasukan beraksi habis-habisan, malah masing-masing menghasilkan beberapa peluang, termasuk beberapa sepakan yang terkena palang dalam aksi yang cukup sengit itu.
Namun akhirnya, anak didik Pep Guardiola yang muncul pemenang dalam perlawanan tersebut.
Perlawanan tersebut benar-benar menepati jangkaan sebagai penentu arah perebutan kejuaraan.
City membuka tirai jaringan seawal minit ke-16 menerusi Rayan Cherki yang mempamerkan aksi individu cemerlang sebelum menjaringkan golnya dengan tenang.
Namun kelebihan itu tidak bertahan lama apabila Arsenal membalas gol hampir serta-merta, apabila Kai Havertz mengambil kesempatan atas kesilapan penjaga gawang City, Gianluigi Donnarumma, untuk menyamakan kedudukan.
Selepas itu, tempo permainan meningkat dengan ketara.
Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dan beberapa kali hampir mendahului perlawanan.
Tumpuan turut terarah kepada pertarungan fizikal antara Erling Haaland dengan Gabriel Magalhaes.
Kedua-dua pemain tidak mengalah dalam perebutan bola, dengan aksi tolak-menolak dan pergelutan yang mencerminkan betapa tingginya persaingan perlawanan ini.
Gabriel ada ketika berjaya mengekang Haaland, namun penyerang City itu tetap memberikan ancaman berterusan melalui pergerakan dan kekuatan fizikalnya.
Detik penentu hadir pada minit ke-65. Haaland memanfaatkan peluang di dalam kotak penalti untuk meletakkan City kembali di hadapan, satu jaringan biasa daripada penyerang berbisa itu yang hadir tepat pada waktunya.
Persembahan Donnarumma pula mencerminkan perjalanan City dalam perlawanan ini – tidak sempurna, tetapi penuh ketahanan.
Selepas kesilapannya menghadiahkan gol kepada Arsenal, beliau bangkit menghalang beberapa percubaan jaringan penting, termasuk menafikan percubaan bahaya Havertz pada separuh masa kedua.
Bagi Arsenal, sekali lagi Eberechi Eze tampil sebagai pemain paling menyerlah di jentera serangan, kerap mengancam pertahanan City dengan larian dan kreativiti beliau.
Secara keseluruhan Arsenal membuktikan mereka mampu bersaing di tahap tertinggi, namun kekurangan ketajaman dalam detik penting akhirnya menghukum mereka.
Kini, perebutan kejuaraan semakin memuncak.
Arsenal masih mendahului, tetapi telah bermain satu perlawanan lebih, menjadikan ruang untuk melakukan kesilapan semakin sempit.
City pula bukan sahaja memiliki kelebihan satu perlawanan dalam tangan, malah kini membawa momentum yang cukup besar ke fasa akhir musim.
City juga buat masa sekarang hanya mempunyai dua pemain yang tidak dapat beraksi akibat kecederaan, iaitu Josko Gvardiol dan Ruben Dias.
Berbanding dengan Arsenal, yang mempunyai empat pemain penting yang cedera, termasuk pemain sayap bintang mereka, Bukayo Saka.
Dengan baki beberapa perlawanan (lima untuk Arsenal, enam untuk City) sahaja lagi, faktor kecergasan, keupayaan skuad dan kemungkinan kecederaan bakal memainkan peranan penting.
Namun, perebutan kejuaraan EPL masih belum ditentukan, dan kedua-dua pasukan tidak mampu keciciran sebarang mata.
Kalau keciciran mata, kemungkinan besar mereka juga akan keciciran kejuaraan EPL juga.
