LONDON: Tahun baru boleh menandakan permulaan baru bagi beberapa pemain Liga Perdana England (EPL) bagi musim 2024-25.
Mulai 1 Januari, pemain yang kontraknya tamat pada musim panas ini boleh mula berbincang dengan kelab luar negara – dan dalam 2025 ada beberapa bintang hebat yang mungkin mendapat perhatian kelab luar dan berpindah.
Berikut adalah beberapa kelab EPL yang pemain mereka dijangka menarik perhatian kelab luar.
Ada beberapa pemain Liverpool yang dijangka memikat kelab luar dan mungkin meninggalkan The Reds.
Antara mereka ialah Mohamed Salah, Virgil van Dijk dan Trent Alexander-Arnold, yang kesemuanya boleh berpindah secara percuma pada musim panas ini.
Salah, yang berusia 32 tahun, nampaknya tidak menunjukkan tanda terganggu oleh spekulasi mengenai masa depannya, setelah menjaringkan 16 gol dan mencipta 11 rintisan (assist) dalam EPL musim ini.
Liverpool dilaporkan berhati-hati untuk membuat pembayaran tinggi bagi penyerang seusianya. Tetapi berapakah kos untuk menggantikannya? Dan apakah reaksi peminat jika kehilangan idola mereka itu?
Alexander-Arnold dalam kedudukan tersendiri daripada ketiga-tiga mereka kerana beliau baru berusia 26 tahun dan boleh dikatakan dalam, atau menghampiri, kemuncaknya.
Real Madrid telah lama dikaitkan dengan pemain bek sayap itu dan mempunyai sejarah membuat pembelian ejen bebas utama, seperti Kylian Mbappe, Antonio Rudiger dan David Alaba.
Pemain Belanda, Van Dijk, 33 tahun, paling berkemungkinan daripada ketiga-tiga mereka untuk kekal di Anfield dan kapten itu sekali lagi dalam keadaan cukup sihat.
Apakah beliau akan melanjutkan tempohnya di Anfield melebihi tujuh tahun?
Adalah adil untuk mengatakan bahawa musim ini tidak berjalan mengikut rancangan Manchester City.
Pasukan itu sedang ketinggalan 14 mata di belakang pendahulu Liga Perdana, Liverpool, yang juga mempunyai satu perlawanan lagi.
Pengurus City, Pep Guardiola, telah sedikit sebanyak membayangkan pasukannya mungkin tidak dapat mempertahankan mahkota EPL musim ini, malah terlepas peluang bermain dalam Liga Juara-Juara.
Sedang Guardiola telah bersetuju untuk kekal sebagai pengurus, Kevin de Bruyne, mungkin sudah sampai di hujung jalan di City.
Pemain tengah berusia 33 tahun itu berhadapan dengan kecederaan sejak beberapa tahun kebelakangan, termasuk dikeluarkan kerana cedera semasa City kalah dalam final Liga Juara-Juara kepada Chelsea pada 2021 dan mengalahkan Inter Milan pada 2023.
De Bruyne hanya bermain dalam 16 perlawanan setakat musim ini sedang City terkial-kial dalam persaingan domestik dan Eropah.
Mungkinkah warga Belgium itu berpindah ke Amerika Syarikat atau Arab Saudi tidak lama lagi?
Mungkin terdapat perpindahan di beberapa kelab terkemuka lain juga – dengan Tottenham berpotensi kehilangan pemain utamanya.
Kapten Spurs, Son Heung-min, telah bermain bagi kelab itu sejak 2015 dan berada di tangga ke-18 dalam senarai penjaring gol terbanyak sepanjang masa EPL dengan 125 jaringan.
Beliau hanya menjaringkan lima gol liga musim ini dan mungkin berasa sudah tiba masanya untuk mencari cabaran dan penghormatan baru, walaupun Spurs dijangka memanfaatkan pilihan melanjutkan kontrak pemain Korea Selatan itu setahun lagi.
Namun, tanpa tanda-tanda rundingan kontrak baru telah dimulakan, masa depan Son di Spurs masih menjadi tanda tanya.
Penyerang Forest, Chris Wood, sedang menikmati musim ke-13 beliau dalam EPL, tetapi prestasinyai baru-baru ini di City Ground mungkin telah mengundang perhatian beberapa kelab luar negara.
Beliau menyertai Forest secara pinjaman daripada Newcastle pada Januari 2023, sebelum menandatangani kontrak tetap pada musim panas tahun itu, dan prestasinya dikatakan terus bertambah cemerlang.
Wood, penyerang asal New Zealand berusia 33 tahun, menjaringkan 11 gol liga musim ini sedang Forest berada di tangga ketiga dan mengimpikan beraksi dalam Liga Juara-Juara.
Seorang lagi pemain yang berada dalam dalam kesihatan yang baik dan masa depan tidak menentu ialah Amad Diallo, pemain sayap, Manchester United.
Pemain asal Ivory Coast berusia 22 tahun itu menarik perhatian sejak bermain bagi United di bawah kendalian pengurus baru, Ruben Amorim.
Diallo kelihatan cemerlang di bahagian kanan dalam skuad Amorim dengan formasi 3-4-3 dan, sedang United mempunyai pilihan satu tahun untuk melanjutkan kontraknya, Diallo pasti akan mendapat perhatian banyak kelab luar. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg