LONDON: Apabila Jurgen Klopp membentuk pasukan Liverpoolnya, Mohamed Salah, menjadi pemain penting dalam satu tonggak tiga penyerang yang setanding dengan sembarang pasukan di Eropah.
Dengan Salah di kanan menjaringkan gol, pemain Brazil, Roberto Firmino, memberikan sentuhan yakin dan licin yang dikaitkan dengan detik-detik genius di bahagian tengah dan seterusnya, ditambah dengan kecemerlangan Sadio Mane yang mengancam di kiri, Liverpool menguasai Liga Perdana England (EPL).
Ketiga-tiga pemain itu menyediakan bagi The Reds ‘tombak’ yang boleh disesuaikan dan tidak dapat dihalang.
Kini, pasukan Liverpool pimpinan ketua jurulatih Arne Slot mempunyai ancaman tiga dimensi baru yang memberi sekilas kegemilangan masa lalu itu.
Salah masih tonggak utama ancaman itu. Golnya ketika Liverpool membelasah West Ham United 5-0 menambah satu lagi angka luar biasanya – ia merupakan gol ke-20 beliau dalam semua pertandingan musim ini.
Bilangan itu dicapainya dalam setiap satu daripada semua lapan musimnya di Liverpool.
Gol dan rintisan (assist) Salah bermakna beliau kini terlibat dalam 52 gol dalam semua pertandingan pada 2024 – 29 gol dan 23 rintisan – lebih banyak daripada pemain lain dalam lima liga besar Eropah.
Beliau juga menjaringkan gol dan melakukan rintisan dalam lapan perlawanan Liga Perdana yang berbeza musim ini, iaitu yang paling banyak dicapai oleh mana-mana pemain dalam satu kempen.
“Mo (Salah) dan perkataan ‘luar biasa’ adalah sesuatu yang sering saya dengar sejak enam bulan lalu dan beliau berhak mendapatnya,” kata Slot.
“Beliau juga bekerja sangat keras untuk pasukan.”
Salah menjadi tajuk utama hari ini, tetapi beliau tidak bekerja sendirian sedang Liverpool menguasai EPL.
The Reds menduduki tempat pertama dengan lapan mata di hadapan Nottingham Forest menjelang 2025.
Dalam Liga Juara-Juara Eropah, mereka juga sedang berada di tangga paling atas dalam format barunya.
Dengan Firmino dan Mane sekarang di kelab lain, Slot menggandingkan Salah dengan dua pemain kuat – diwarisi daripada Klopp – yang semakin menjadikan musim ini bagaikan musim untuk Liverpool merampas semula mahkota EPL.
Ketiga-tiga mereka menjaringkan gol dalam kemenangan besar ke atas West Ham di Stadium London itu.
Luis Diaz, yang menjaringkan dua gol dalam kemenangan 6-3 di Tottenham tujuh hari sebelum perlawanan West Ham itu, membuka jalan bagi kemenangan tersebut.
Daiz yang tiba dari Porto pada Januari 2022, kini bermain di kawasan tengah dengan berkesan – mungkin tanpa keanggunan Firmino tetapi dengan kesan nyata, terutama apabila aksi penyudahnya semakin boleh diharapkan.
Di kiri, Cody Gakpo, yang tinggi lampai dan berbahaya, telah menemui posisi semula jadinya.
Ia posisi yang menjadikannya salah seorang bintang Euro 2024 bagi Belanda, seorang penjaring dan pencipta gol, dengan keupayaan memasuki dari sayap dan membuat sumbangan penentu serta menunjukkan kebolehan sebagai penyudah semula jadinya.
Tarikan semula jadi Diaz untuk ke kawasan luas turut menambahkan pilihan Liverpool dalam serangan – tetapi yang membuatkan mereka begitu berbahaya ialah Salah, Diaz dan Gakpo begitu serasi dengan satu sama lain.
“Jika anda melihat jaringan dilakukan oleh beberapa pemain, ia adalah sesuatu yang menggembirakan untuk dilihat.
“Jika anda mempunyai hanya seorang pemain menjaringkan gol, itu tidak membantu, tetapi mempunyai seseorang menjaringkan banyak gol, ia adalah sesuatu yang sentiasa baik.
“Ia bukan mengenai siapa menjaringkan gol sahaja, ia juga mengenai gerakan positif yang membawa kepada jaringan,” tambah Slot mengenai tonggak serangannya itu. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg