Antara perkara dahsyat apabila melihat Rodri, pemain tengah Manchester City, kesakitan di padang semasa menentang Arsenal pada September, dan berita berikutnya bahawa beliau patah ligamen anterior cruciate (ACL, iaitu ligamen pada sendi lutut) ialah sebelum itu beliau mengkritik beban kerja yang diberi ke atas pemain.
Ia seolah-olah beliau tahu sesuatu yang buruk akan berlaku ke atasnya.
Hanya seminggu sebelum Manchester City seri 2-2 dengan Arsenal, Rodri mengalami kecederaan, dan beliau berkata pemain bersedia melakukan “mogok mengenai kalendar perlawanan”.
“Saya fikir kita hampir ke sana (melakukan mogok itu).
“Jika anda bertanya kepada sembarang pemain, beliau akan berkata perkara yang sama: ia bukan pendapat Rodri atau apa sahaja. Ia adalah pendapat umum pemain.
“Dan jika ia terus seperti ini, akan ada masa kami tidak mempunyai pilihan lain. Ia sesuatu yang membimbangkan kami kerana kami yang akan menderita,” kata Rodri.
Dan Rodri menderita – terpaksa menyaksikan City bergelut semasa ketiadaannya sementara beliau melalui program pemulihan yang melelahkan.
Peri pentingnya kehadiran beliau kepada City jelas ketika beliau bermain, dan lebih jelas semasa ketiadaannya.
Sejak Rodri menyertai City pada 2019, pasukan itu memenangi 73.5 peratus perlawanan apabila beliau bermain dan 57.1 peratus apabila beliau tidak bermain.
Dalam Liga Perdana England (EPL), jurangnya lebih luas: 74.1 peratus berbanding 53.1 peratus.
Dalam aspek memenangi penguasaan bola di bahagian tengah, Rodri adalah pendahulu cemerlang dalam EPL sejak ketibaannya di England – 788 kali berbanding Declan Rice di tempat kedua dengan 716; serta dalam Liga Juara-Juara Eropah – 242 kali berbanding Ilkay Gündogan dengan 165.
Oleh itu, apabila menyenaraikan kedudukan pemain bola sepak lelaki terbaik di dunia pada 2024, hakim akhbar The Guardian tidak kisah Rodri tidak bermain sejak September.
Setelah meminta pandangan 197 bekas pemain, jurulatih dan wartawan bagi menghasilkan senarai itu, ia berakhir dengan Rodri menjadi pemain keenam yang menduduki tangga pertama dalam senarai 100 pemain bola sepak terbaik di dunia.
Beliau mengikuti jejak Lionel Messi, Cristiano Ronaldo, Luka Modric, Robert Lewandowski dan Erling Haaland.
Hakikat Rodri mendahului Vinícius Júnior, Haaland, Lamine Yamal, Jude Bellingham, Harry Kane, Lautaro Martínez dan pemain lain dalam senarai 10 terbaik adalah bukti tentang mutu dan kepentingan pemain tengah itu kepada kelabnya serta Sepanyol, yang memenangi Euro bersamanya.
Seperti yang ditunjukkan oleh nama-nama pemenang sebelumnya dan pesaing Rodri pada 2024, tidak mudah untuk mengatasi kekayaan bakat penyerang. Rodri menjadi pemain pertama dengan pemikiran pertahanan yang memenangi anugerah The Guardian itu sejak ia diperkenalkan pada 2012.
Vinícius hampir menduduki tempat teratas. Ia adalah antara kesudahan paling ketat dengan hanya 68 mata memisahkan mereka – Rodri mengumpul 7,495 mata berbanding 7,427 mata oleh pemain Brazil itu. Haaland, di tempat ketiga, ketinggalan hampir 800 mata.
Terdapat perubahan dalam kelab yang diwakili dalam senarai 100 teratas juga selepas Real Madrid memenangi Liga Juara-Juara sebanyak jumlah rekod 15 kali. Senarai itu cenderung memihak pada pemenang Liga Juara-Juara dan tahun ini tidak berbeza.
Pasukan La Liga itu mengatasi Manchester City dengan 12 pemain mereka mencapai senarai akhir, berbanding 10 pemain juara Liga Perdana itu. Bayer Leverkusen adalah pasukan yang melonjak paling ketara, dengan enam pemainnnya termasuk dalam 100 pemain teratas selepas satu musim sensasi, termasuk kejayaan mereka menjuarai Bundesliga buat kali pertama dan tidak tewas dalam satu pun perlawanan.
Lebih 300 pemain diundi – menunjukkan keluasan bakat di seluruh dunia – dengan 69 negara diwakili dalam panel pemilihan.
Dari segi kewarganegaraan, Sepanyol kembali di atas dengan paling ramai pemainnya dalam senarai itu – sebanyak 13 berbanding lima pada musim lalu.
Seramai 12 daripada 13 pemain itu adalah sebahagian daripada skuad Sepanyol yang memenangi Euro 2024, manakala pemain pertahanan muda Pau Cubarsí menduduki tempat ke-81 walaupun digugurkan daripada skuad 26 pemain Luis de la Fuente bagi kejohanan di Jerman itu.
Lionel Messi sekarang mempunyai dua rakan senegara Argentina di hadapannya – Lautaro Martínez dan Emiliano Martínez – selepas kejayaan Copa América mereka.
Georgia mempunyai dua pemain dalam senarai itu buat kali pertama, dengan Giorgi Mamardashvili di tangga ke-80 dan Khvicha Kvaratskhelia di kedudukan ke-49.
Terdapat pergerakan dalam kalangan liga juga dengan Liga Pro Saudi terkeluar daripada kedudukan lima teratas dengan hanya dua wakil (Cristiano Ronaldo dan Aleksandar Mitrovic).
Liga Perdana masih mempunyai paling ramai pemain dalam senarai itu, tetapi La Liga semakin merapatkan jurang, mungkin sebahagiannya kerana Real Madrid adalah juara Eropah sekali lagi.
Beberapa pemain hampir mendapat tempat dalam senarai 100 pemain terbaik itu. Dejan Kulusevski daripada Tottenham, misalnya, menduduki tangga ke-101, hanya tiga mata di belakang Marcel Sabitzer di tangga ke-100. Rodrigo De Paul, Estevao, Martín Zubimendi, Teun Koopmeiners, Ayoub El Kaabi dan Robert Andrich juga antara mereka yang berada hanya beberapa tangga di luar tangga 100 teratas. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg