Ketika pasukan kebangsaan Singapura bersiap sedia untuk perlawanan persahabatan menentang Nepal, tumpuan beralih kepada Akram Azman, 24 tahun, yang bakal membuat penampilan sulung di pentas antarabangsa.
Bagi Akram, bola sepak bukan sekadar kerjaya, malah merupakan warisan keluarga yang turun dari generasi ke generasi.
Bapanya, seorang bekas pemain bola sepak, Azman Mohamed, dan dua adik-beradiknya yang kini bermain untuk Geylang International, Akmal dan Naufal Azman, memainkan peranan penting dalam membentuk minatnya dalam bola sepak.
Dengan bimbingan mereka, Akram kini bersedia menyarung jersi kebangsaan buat kali pertama dan melangkah ke pentas antarabangsa.
Akram mengenali dunia bola sepak sejak kecil, didorong minat mendalam dan sokongan ayahnya. Beliau bermain untuk pasukan sekolah dan kemudian menyertai Sekolah Sukan Singapura, membolehkan beliau memberi tumpuan penuh kepada pembangunan dirinya.
“Saya benar-benar boleh fokus kepada bola sepak dan mengembangkan bakat saya,” katanya dalam temu bual bersama Berita Harian.
Perjalanannya ke peringkat profesional tidak mudah, namun beliau terus berusaha.
Dari Akademi Bola Sepak Nasional (NFA) ke Young Lions, beliau mendapat pengalaman bermain di peringkat lebih tinggi. Antara detik penting dalam kerjayanya adalah beraksi di bawah bimbingan legenda bola sepak Singapura, Fandi Ahmad.
“Bermain di bawah pengurusan Fandi memberi banyak pengajaran kepada saya. Pengalamannya sangat berharga dalam membentuk cara saya melihat dan bermain bola sepak,” ujar Akram.
Selepas tamat Perkhidmatan Negara (NS), beliau sertai Tanjong Pagar United selama dua setengah tahun, dibimbing jurulatih Noh Alam Shah dan beberapa pemain kebangsaan berpengalaman.
Kini, beliau bermain untuk Lion City Sailors dan terus berusaha meningkatkan permainannya.
Sebagai anak kepada bekas pemain bola sepak dan ada beradik yang juga bermain secara profesional, Akram tidak pernah kekurangan dorongan dan nasihat.
“Ayah saya adalah penyokong utama saya. Beliau memahami pasang surut dalam bola sepak dan sentiasa membimbing saya,” katanya.
Selain keluarganya, Akram juga mengagumi pemain antarabangsa seperti Sergio Ramos dan bintang tempatan Hariss Harun, yang membuat penampilan kebangsaan pada usia muda.
“Hariss adalah contoh terbaik untuk pemain muda. Kini, bermain bersamanya di pasukan nasional, saya hanya mahu belajar sebanyak mungkin daripadanya,” katanya.
Bagi Akram, panggilan pertamanya ke skuad kebangsaan merupakan pencapaian terbesar dalam kerjayanya setakat ini.
“Ini adalah pencapaian paling besar buat saya setakat ini. Saya hanya mahu menikmati perjalanan ini dan memberikan yang terbaik,” ujarnya.
Walaupun teruja, Akram tetap berpijak di bumi nyata dan memberi tumpuan kepada persiapan perlawanan. Menjalani latihan semasa Ramadan juga menuntut disiplin tinggi, namun beliau kekal positif.
“Yang penting, kekal hidrat dan mengekalkan rutin seperti biasa,” tambahnya.
Menjelang perlawanan menentang Nepal, Akram berterima kasih atas sokongan rakan sepasukan, jurulatih dan penyokong.
Dengan ‘debut’ yang semakin hampir dan masa depan yang cerah, Akram bersedia untuk melakar sejarah di pentas antarabangsa, membawa warisan bola sepak keluarganya ke tahap lebih tinggi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg