Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Singa mahu catat sejarah layakkan diri ke Piala Asia

Ketua jurulatih Ogura sedar akan cabaran tapi desak anak didik capai sasaran
Mar 19, 2025 | 4:31 PM
Ketua Jurulatih Singapura, Tsutomu Ogura, ingin pasukannya mencatat sejarah dengan melayakkan diri mereka untuk Piala Asia Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2027 di Arab Saudi.
Ketua Jurulatih Singapura, Tsutomu Ogura, ingin pasukannya mencatat sejarah dengan melayakkan diri mereka untuk Piala Asia Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2027 di Arab Saudi. - Foto FAS

Pasukan bola sepak nasional Singapura menyasarkan matlamat mencatat sejarah dengan melayakkan diri dalam Piala Asia buat kali pertama.

Demikian sasaran yang ditetapkan ketua jurulatih, Tsutomu Ogura, semasa Hari Media yang dianjurkan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) di Hotel Parkroyal Beach Road pada 19 Mac.

Singapura tidak pernah bermain di Piala Asia, kecuali apabila menjadi tuan rumah pada 1984.

Walaupun Ogura akui bahawa ia merupakan matlamat mencabar, beliau tetap mendesak anak didiknya supaya mencatat sejarah.

“Kita harus sedar bahawa kita tidak pernah layak ke Piala Asia,” kata jurulatih berusia 58 tahun itu.

“Untuk melayakkan diri buat kali pertama merupakan tugas yang amat berat. Namun, saya sudah berkali-kali beritahu pemain saya bahawa kami harus cuba mencatat sejarah.”

Pada 2017 dan 2018 apabila pasukan menghadapi kelayakan Piala Asia, pasukan kendalian jurulatih pasukan Singa pada masa itu, V. Sundramoorthy tidak dapat melayakkan diri kerana gagal mencatat satu kemenangan pun menentang Chinese Taipei, Bahrain dan Turkmenistan.

Di bawah bimbingan Takayuki Nishigaya pula pada 2022, mereka gagal sekali lagi, tetapi berjaya mendapat satu kemenangan menentang Kemboja, tetapi dikalahkan oleh Kyrgyzstan dan Tajikistan.

Namun, Ogura tidak asing daripada mengubah nasib pasukan di bawah bimbingannya.

Pada 2019, beliau telah membimbing pasukan yang bermain untuk Liga Utama Jepun, J1, Yokohama F. Marinos untuk merangkul trofi J1 buat pertama kali dalam 15 tahun.

Beliau juga membantu Tokyo Verdy untuk peroleh kelayakan ke liga J1 pada 2023, dan Ogura mengharap agar dapat memajukan pasukan Singa juga.

Ogura menekankan kepentingan pertubuhan bola sepak secara keseluruhan untuk maju, dan ini termasuk penambahbaikan kepada kakitangan jurulatih dan operasi bola sepak Singapura.

Beliau percaya dengan peningkatan ini, ia akan dituruti dengan keputusan baik di atas padang.

Jurulatih warga Jepun itu juga meluahkan hasrat untuk membina daripada kejayaan mereka di Piala AFF Mitsubishi Electric pada 2024.

Di dalam pertandingan itu, Singapura berjaya untuk mara ke peringkat separuh akhir walaupun bersaing dengan pasukan kuat seperti Thailand dan Malaysia dalam kumpulan A.

“Namun, itu perkara lepas dan ramai yang mempunyai pendapat berbeza tentang pencapaian itu. Untuk kempen ini, ia cabaran yang berbeza,” jelas beliau.

Beliau akan menggunakan pendekatan yang sama untuk kelayakan Piala Asia Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2027 di Arab Saudi, di mana beliau hanya akan memberi tumpuan kepada lawan seterusnya, dan ingin melihat peningkatan perlawanan demi perlawanan.

Pasukan Singa akan berdepan dengan Nepal dalam perlawanan persahabatan antarabangsa pada 21 Mac, sebelum menentang Hong Kong dalam perlawanan kelayakan pembukaan Kumpulan C pada 25 Mac.

Kededua perlawanan akan berlangsung di Stadium Negara pada 8.30 malam.

Walaupun terdapat empat pemain yang akan membuat penampilan pertama mereka untuk skuad kebangsaan – Akram Azman, Rudy Khairullah, Raoul Suhaimi dan Fairuz Fazli – beliau tetap mempunyai jangkaan tinggi untuk mereka.

“Untuk dipanggil untuk skuad kebangsaan, anda bukan sekadar mempunyai potensi yang baik, tetapi anda sudah ada kekuatan sendiri,” kata Ogura.

“Saya menyaksikan perlawanan dan latihan kelab mereka. Saya juga banyak berbincang bersama jurulatih kelab mereka, agar saya dapat pastikan saya selalu memilih skuad yang terbaik.”

Beliau juga tidak lupa tentang sokongan yang telah dicurahkan oleh peminat bola sepak tempatan sejak beliau mula memikul tanggungjawab sebagai ketua jurulatih Singa pada Februari 2024.

“Saya sangat menghargai peminat yang selalu menyokong kami, tidak kira detik tinggi atau rendah,” kata beliau.

Beliau kenang semula antara detik terendah bagi bola sepak Singapura, di mana mereka dikalahkan 0-7 oleh Korea Selatan pada 6 Jun 2024 untuk perlawanan kelayakan Piala Dunia.

Ogura pula tersenyum berfikir tentang detik di mana Singapura berjaya melayakkan diri ke peringkat separuh akhir Piala AFF 2024 selepas mereka seri dengan Malaysia pada 20 Disember. 

“Saya ingat walaupun peminat terpaksa datang lambat, apabila mereka tiba, ia benar-benar mendorong kami untuk lakukan yang terbaik,” jelas beliau.

Bagi perlawanan itu, lapan bas percuma yang disediakan oleh FAS sampai lewat, sekitar pengakhiran separuh masa pertama, akibat kesesakan yang luar biasa dalam perjalanan mereka ke Stadium Bukit Jalil.

“Saya harap penyokong akan kekalkan sorakan mereka untuk kempen seterusnya juga,” ujar Ogura.

“Untuk melayakkan diri buat kali pertama merupakan tugas yang amat berat. Namun, saya sudah berkali-kali beritahu pemain saya bahawa kami harus cuba mencatat sejarah.”
Tsutomu Ogura, ketua jurulatih pasukan Singa.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg