Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bekas atlet para-layar juarai kejohanan boccia pertama

Beliau tewaskan atlet Mongolia 9-0
Nov 11, 2025 | 3:44 PM
Para atlet paralimpik semasa majlis penyampaian pingat Kejohanan Boccia Dunia Canberra (dari kiri) atlet Mongolia, Munkhdemberel Togootogtokh; atlet Singapura, Jovin Tan; dan atlet Taipei Cina, Chia-Sheng Liu.
Para atlet paralimpik semasa majlis penyampaian pingat Kejohanan Boccia Dunia Canberra (dari kiri) atlet Mongolia, Munkhdemberel Togootogtokh; atlet Singapura, Jovin Tan; dan atlet Taipei Cina, Chia-Sheng Liu. - Foto WORLD BOCCIA

Tiga tahun selepas beralih daripada sukan para-layar ke boccia, Jovin Tan, akhirnya merasai kejayaan antarabangsa pertamanya apabila atlet Singapura itu menjuarai kejohanan Kejohanan Boccia Dunia Canberra yang berlangsung dari 3 hingga 11 November di Australia.

Dalam final BC1 lelaki pada 8 November, Tan, pemain nombor 22 dunia, menewaskan atlet Mongolia, Munkhdemberel Togootogtokh, pemain nombor 23 dunia, dengan keputusan 9-0.

Kemenangan itu sekali gus membolehkan Tan, 39 tahun, merangkul pingat emas di Arena Sukan Institut Australia dalam pertarungan antara pemain dengan kedudukan tertinggi bagi kategori itu.

Sementara itu, rakan sepasukannya, Aloysius Gan, meraih pingat perak dalam kategori BC3 lelaki.

Sebelum itu, Tan telah menewaskan Matthew Whiting dari New Zealand (15-0), Masaki Kanno dari Jepun (11-0), dan Dylan Schwarz dari Australia (10-1) untuk muncul juara Kumpulan A sebelum menewaskan Liu Chia-sheng dari Taipei Cina 4-3 pada separuh akhir.

“Saya amat gembira dengan kemenangan ini. Ia tidak mungkin tercapai tanpa dedikasi dalam latihan, bimbingan daripada jurulatih serta sokongan luar biasa daripada keluarga, penjaga, majikan dan Majlis Sukan Kurang Upaya Singapura (SDSC).

“Pingat emas ini bukan hanya milik saya; ia adalah satu usaha berpasukan,” kata Tan yang kelihatan teruja.

Selain melahirkan penghargaan kepada jurulatihnya, pembantu pentadbiran di syarikat perekrutan ChapmanCG itu turut mengucapkan penghargaan kepada majikannya yang memberi beliau cuti untuk mengejar cita-citanya dalam bidang sukan.

“Kemenangan ini amat bermakna bagi saya, tetapi saya melihatnya sebagai permulaan perjalanan boccia saya. Masih banyak yang perlu dipelajari, diusahakan dan dicapai.”

Beliau telah menyertai beberapa kejohanan antarabangsa sepanjang 2024, dengan pencapaian terbaiknya di Piala Dunia Seoul pada September, yang mana beliau mara ke separuh akhir, lapor The Straits Times (ST).

Dalam sukan boccia yang dimainkan oleh atlet berkerusi roda dengan masalah pergerakan, atlet perlu melempar bola sedekat mungkin dengan bola sasaran putih yang dikenali sebagai jack.

Tan, yang dilahirkan dengan palsi serebrum, pernah bertanding dalam Sukan Paralimpik sebagai pelayar pada 2004, 2008, 2012 dan 2016.

Beliau beralih ke sukan boccia pada 2022 untuk meneruskan cita-cita meraih pingat Paralimpik selepas sukan layar itu dikeluarkan daripada Sukan Paralimpik yang diadakan empat tahun sekali itu.

Tan percaya latar belakangnya sebagai atlet para-layar membantu beliau dalam memenangi kejohanan terbaru, sambil menambah:

“Saya dapat memberikan prestasi terbaik kerana dari segi keupayaan fizikal, sebelum ini saya bermain sukan layar dan ia membantu saya membina kekuatan.

“Sebilangan pemain (lawan) juga agak hebat, terutamanya ketika menentang atlet dari Mongolia dan Taipei Cina.”

Selepas kejohanan ini, Tan akan menjalani latihan intensif sebagai persediaan untuk membuat penampilan sulung dalam sukan boccia di Sukan Para Asean (APG) yang akan berlangsung pada 20 hingga 26 Januari di Thailand.

Apabila ditanya mengenai sasaran beliau, Tan yang pernah meraih pingat emas APG dalam sukan layar pada 2015, berkata:

“Apa yang saya tetapkan untuk diri saya ialah untuk menikmati permainan dan pengalaman, tetapi pada masa yang sama memberikan yang terbaik… jadi saya tidak membebankan diri dengan tekanan yang tidak perlu untuk kali pertama ini.”

Sementara itu, Gan gembira dengan pingat peraknya meskipun tewas 1-5 kepada pemain tuan rumah dan pemain nombor satu dunia, Daniel Michel.

Pemain nombor enam dunia itu berkata:

“Bertanding di tanah air pemain nombor satu dunia adalah satu cabaran besar, jadi saya sangat berpuas hati dengan tumpuan dan prestasi saya sehingga berjaya mara ke final… pengalaman bermain di peringkat ini dan belajar daripada kesilapan saya lebih berharga daripada pingat itu sendiri.”

Gan dan Tan akan disertai pemenang pingat perak Paralimpik, Jeralyn Tan, serta pemenang pingat perak APG, Nurulasyiqah Mohd Taha dan Toh Sze Ning, dalam temasya serantau dua tahunan tersebut.

Gan, yang sedang melakukan persediaan bagi Sukan Para Belia Asia yang berlangsung dari 7 hingga 14 Disember di Amiriah Arab Bersatu (UAE), berkata:

“Pengalaman ini merupakan persediaan sempurna untuk acara itu dan saya tidak sabar untuk menutup tahun ini dengan pencapaian cemerlang.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg