Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Fiesta Sukan Sekolah ingin pupuk semangat perpaduan di kalangan pelajar

Oct 15, 2025 | 7:53 PM
Fiesta Sukan Sekolah, School Sports Fiesta, David Neo, Farhanah Ruhaizat, Aloysius Gan, Shanti Pereira, Audrey Tong
Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik David Neo (tiga dari kiri), berinteraksi bersama atlet Singapura semasa Fiesta Sukan Sekolah di Sekolah Menengah Edgefield pada 15 Oktober. Antara atlet yang hadir adalah (dari kiri) pemain bola sepak wanita, Farhanah Ruhaizat; dan pemain boccia, Aloysius Gan; serta pelari pecut, Shanti Pereira (keempat dari kiri) dan pemain tenis, Audrey Tong (kedua dari kanan). - Foto BH oleh DESMOND WEE

Shanti Pereira memulakan perjalanan sukannya di bangku sekolah tanpa menyangka bahawa suatu hari nanti, beliau akan digelar ‘Ratu Pecut Singapura’.

Pereira kembali ke tempat yang pernah mencorakkan permulaannya, ke padang sekolah di mana beliau disambut dengan keceriaan pelajar dan semangat sukan yang menyatukan semua.

“Saya pun bermula macam mereka, iaitu main-main saja bersama kawan-kawan. Tapi dari situlah saya jatuh cinta dengan sukan lari pecut,” kata Pereira, pelari pecut kebangsaan yang kini menjadi antara simbol harapan negara menjelang Sukan SEA 2025.

Bersama rakan atlet daripada pasukan Singapura, Pereira hadir di Fiesta Sukan Sekolah yang julung kali diadakan pada 15 Oktober bagi memberi inspirasi kepada lebih 1,400 pelajar menengah satu daripada empat sekolah di Punggol – Sekolah Menengah Edgefield, Sekolah Menengah Greendale, Sekolah Menengah Yusof Ishak dan Sekolah Menengah Punggol.

“Saya harap pelajar-pelajar di sini dapat rasakan apa yang kami cuba sampaikan, bahawa sukan bukan sekadar untuk menang pingat, tetapi ia satu cara hidup. Ia sihat, menyeronokkan, dan boleh menyatukan kita semua,” katanya sambil mengimbas bagaimana beliau mula mengenali dunia olahraga melalui kegiatan sekolah seperti Hari Sukan semasa kecil.

Fiesta Sukan Sekolah memberi peluang kepada para pelajar mengenali lebih dekat para atlet negara seperti Pereira, sekali gus menggalakkan mereka menyokong dan mungkin menanam cita-cita untuk mengikut jejak atlet-atlet itu suatu hari nanti.

Turut menyemarakkan suasana ialah kehadiran atlet-atlet ternama seperti pemain boccia, Aloysius Gan; pemain bola sepak wanita, Farhanah Ruhaizat; dan pemain tenis, Audrey Tong.

Fiesta tersebut merupakan inisiatif untuk memupuk semangat perpaduan melalui sukan, menjelang Sukan SEA dan Sukan Para Asean 2025 yang bakal berlangsung di Thailand pada Disember 2025.

“Inisiatif seperti ini sangat penting. Kadang-kadang minat sukan bermula hanya dengan satu cubaan, satu ‘try-out’. Dan dari situlah minat berkembang jadi semangat bersaing. Kita perlukan lebih ramai atlet muda di Singapura,” kata Pereira yang telah memenangi 10 pingat Sukan SEA.

Dianjurkan oleh Majlis Sukan Singapura (SportSG) dengan sokongan sekolah-sekolah terlibat, inisiatif tersebut bertujuan menggalakkan para belia bermain, belajar dan bersaing bersama, sekali gus mewujudkan ikatan dan membentuk nilai-nilai murni menerusi sukan.

Fiesta itu turut memperkenalkan kempen Satu Pasukan, Satu Impian (’One Team, One Dream’) yang bertujuan menyatukan sokongan seluruh negara kepada atlet Pasukan Singapura yang akan beraksi di temasya Sukan SEA dan Sukan Para Asean 2025.

“Fiesta Sukan Sekolah bertujuan menggalakkan lebih ramai pelajar daripada pelbagai latar belakang dan sekolah supaya bersatu menerusi sukan,” kata Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik David Neo, yang turut hadir sebagai tetamu kehormat.

“Melalui sukan, pelajar dapat membina persahabatan baru serta belajar tentang kerjasama, rasa hormat dan daya tahan,” tambahnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg