Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bekas bintang bola sepak Belanda meninggal dunia

Oct 8, 2024 | 5:10 PM
Johan Neeskens adalah sebahagian daripada pasukan Belanda yang tewas dalam perlawanan akhir Piala Dunia 1974 dan 1978. Beliau meninggal dunia pada 6 Oktober, menurut Persatuan Bola Sepak Belanda KNVB dalam satu kenyataan pada 7 Oktober.
Johan Neeskens adalah sebahagian daripada pasukan Belanda yang tewas dalam perlawanan akhir Piala Dunia 1974 dan 1978. Beliau meninggal dunia pada 6 Oktober, menurut Persatuan Bola Sepak Belanda KNVB dalam satu kenyataan pada 7 Oktober. - Foto EPA-EFE

THE HAGUE: Johan Neeskens, sebahagian daripada anggota pasukan Ajax dan Belanda yang mencipta sistem taktikal “total football” pada 1970-an bersama rakan sepasukan Johan Cruyff, meninggal dunia pada usia 73 tahun, kata persekutuan bola sepak Belanda (KNVB) itu pada 7 Oktober.

“Dengan pemergian Johan Neeskens, dunia bola sepak Belanda dan antarabangsa kehilangan seorang legenda,” kata KNVB dalam satu kenyataan, sambil menambah pemain tengah itu meninggal dunia pada 6 Oktober akibat penyakit yang tidak dinyatakan.

Beliau jatuh sakit semasa bekerja dengan projek WorldCoaches KNVB sebagai duta, di Algeria.

Neeskens adalah pemain daripada pasukan Ajax yang memenangi tiga Piala Eropah berturut-turut pada awal 1970-an, dan juga merupakan pemain pasukan Belanda, “Clockwork Oranje”, yang tewas pada perlawanan akhir Piala Dunia pada 1974 dan 1978.

Beliau 49 kali mewakili Belanda.

“Dengan cara terjahan bolanya yang berkarakter, penaltinya yang ikonik, (beliau) akan kekal sebagai salah seorang pemain terkemuka yang pernah dihasilkan oleh bola sepak Belanda,” kata KNVB.

Selepas kerjayanya sebagai seorang pemain bola, Neeskens mengambil bahagian dalam program latihan di seluruh dunia.

Dikenali di padang kerana cara terjahan tanpa kompromi ke atas bola, beliau mempunyai sisi yang lembut, kata KNVB dalam kenyataannya.

Beliau adalah “seorang lelaki yang mengutamakan keluarga, bersifat lemah lembut dan bangga dengan anak-anak dan cucu-cucunya. Beliau juga sehingga ke akhir hayatnya tahu cara menyentuh hati orang lain dengan cintanya terhadap bola sepak.”

Menurut KNVB, mereka akan bertafakur selama seminit untuk memberi penghormatan kepada Neeskens, pada dua perlawanan antarabangsa akan datang, menentang Hungary dan Jerman.

Ajax menulis di X: “Kami sangat sedih mendengar tentang pemergian Johan Neeskens. Ucapan takziah buat keluarganya. Berehatlah dengan tenang, legenda Ajax.”

Pasukan Barcelona, ​​yang mengenalinya sebagai “Johan The Second“ (selepas Cruyff), turut merakamkan ucapan takziah.

Jurulatih Belanda, Ronald Koeman, menyifatkan Neeskens sebagai “idolanya yang hebat”, menurut agensi berita tempatan, ANP.

“Gayanya bermain benar-benar menarik perhatian saya. Dan dia juga pakar penalti yang hebat.” – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg