SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Bekas bintang Brazil dan Real Madrid, Marcelo, bersara

Bekas bintang Brazil dan Real Madrid, Marcelo, bersara

Feb 10, 2025 | 12:25 PM

Bekas bintang Brazil dan Real Madrid, Marcelo, bersara

Selepas mencatat kerjaya luar biasa, Marcelo kini mengumumkan persaraannya daripada bola sepak profesional.
Selepas mencatat kerjaya luar biasa, Marcelo kini mengumumkan persaraannya daripada bola sepak profesional. - Foto AFP

Rio de Janeiro (Brazil): Bekas pemain pertahanan Brazil dan Real Madrid, Marcelo, telah mengumumkan persaraannya pada usia 36 tahun.

Pemain bek kiri itu merupakan salah seorang pemain yang memenangi paling banyak kejuaraan dalam sejarah bola sepak, dan telah menyarung jersi Brazil sebanyak 58 kali.

Selepas melalui sistem akademi kelab Brazil, Fluminense, Marcelo menyertai Real Madrid pada 2007 apabila beliau baru berusia 18 tahun.

Beliau kemudian memenangi 25 trofi utama dalam 15 tahun sepanjang di Bernabeu, termasuk lima gelaran Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dan enam gelaran La Liga.

“(Sebanyak) 16 musim, 25 kejuaraan, lima UCL, salah seorang kapten dan banyak malam ajaib di Bernabeu (stadium di Madrid, Sepanyol). (Ia merupakan) perjalanan yang luar biasa!

“Perjalanan saya sebagai pemain berakhir di sini, tetapi saya masih mempunyai banyak perkara untuk diberikan kepada bola sepak. Terima kasih di atas segala-galanya,” kata Marcelo dalam video di akaun media sosialnya.

Marcelo diberikan tanggungjawab sebagai kapten kelab pada 2021, menjadi pemain bukan warganegara Sepanyol pertama yang diberikan tanggungjawab mengetuai kelab itu dalam 117 tahun, lapor BBC Sports.

Presiden Real Madrid, Florentino Perez, berkata:

“Marcelo adalah salah seorang pemain bek kiri terhebat dalam sejarah Real Madrid dan bola sepak dunia, dan kami berpeluang menyaksikan (permainannya) untuk sekian lama.

“Beliau merupakan salah seorang pemain legenda kami, dan Real Madrid adalah dan akan sentiasa menjadi rumahnya.”

Marcelo merupakan antara pemain dalam skuad Real Madrid yang memenangi Liga Juara-Juara tiga kali berturut-turut.
Marcelo merupakan antara pemain dalam skuad Real Madrid yang memenangi Liga Juara-Juara tiga kali berturut-turut. - Foto AFP

Mengikut laporan Transfermarkt, pemain dari Brazil itu telah bermain sebanyak 721 perlawanan sepanjang kerjayanya, menjaringkan 58 gol dan mencatatkan 117 assist (merintis gol pasukan) – sesuatu yang luar biasa bagi seorang pemain bek kiri.

Beliau meninggalkan Real pada penghujung musim 2021-22, lalu menyertai pasukan Olympiacos di Greece.

Namun beliau menamatkan kontraknya hanya lima bulan selepas menyertai mereka.

Sepanjang mewakili pasukan negaranya, Marcelo telah memenangi Piala Konfederasi pada 2013, serta pingat perak di Sukan Olimpik Musim Panas 2012 dan gangsa pada 2008.

Marcelo menyertai semula kelab zaman kanak-kanaknya, Fluminense, pada 2023 dan menghabiskan dua musim di kelab itu, membuat 68 penampilan.

Pemain bek sayap itu memenangi Copa Libertadores pada 2023 sebelum meninggalkan kelab itu dengan persetujuan bersama pada November 2024. – Agensi berita.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg