Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bekas CEO Sailors dijangka setiausaha agung baru FAS

Sep 6, 2024 | 11:37 AM
Chew Chun-Liang (tengah), dilantik ketua pegawai eksekutif Lion City Sailors pada Disember 2020 - tahun mereka menjadi kelab bola sepak privet pertama Singapura.
Chew Chun-Liang (tengah), dilantik ketua pegawai eksekutif Lion City Sailors pada Disember 2020 - tahun mereka menjadi kelab bola sepak privet pertama Singapura. - Foto fail

Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) tidak lama lagi akan mempunyai muka baru yang dikenali di kalangan pucuk pimpinan dengan bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) Lion City Sailors, Chew Chun-Liang, dijangka menjadi setiausaha agungnya yang baru.

Chew akan kembali dalam sukan itu pada November, hampir dua tahun setelah beliau meninggalkan kelab Liga Perdana Singapura (SPL) untuk menjadi timbalan ketua di Pejabat Generasi Warga Emas (SGO) di bawah Agensi Penjagaan Bersepadu.

Menurut laporan The Straits Times (ST), difahami terma telah dipersetujui dan FAS dijangka mengumumkan pelantikannya dalam masa terdekat.

Apabila dihubungi, Chew, 48 tahun, enggan memberi komen untuk menghormati majikan semasanya.

Pencarian untuk setiausaha agung baru bermula sebelum penyandangnya, Yazeen Buhari, mengumumkan pada 5 Julai bahawa beliau akan mengundur diri pada 30 September untuk menyertai keluarganya di Malaysia.

Pentadbir sukan itu, yang telah menggalas jawatan itu untuk lebih enam tahun, sudah menyatakan hasratnya kepada FAS sebelum ini.

Setiausaha agung FAS bertanggungjawab untuk operasi seharian, melaksanakan strategi dan dasar, dan pengambilan ketua jabatan, manakala majlis eksekutifnya melantik pengarah teknikal, ketua jurulatih pasukan nasional dan setiausaha agung.

Sumber yang dihubungi ST berkata calon daripada dalam dan di luar fraterniti sukan itu telah dipertimbangkan sebelum pelantikan itu.

Mereka termasuk Lenard Pattiselanno, pengarah kanan di Pusat Sukarelawan dan Dermawan Nasional, dan bekas pengarah perkongsian persatuan sukan nasional dan perkongsian perniagaan di Majlis Sukan Singapura.

Chew dilantik CEO Sailors pada Disember 2020, iaitu tahun mereka menjadi kelab bola sepak privet pertama Singapura.

Mereka memenangi trofi kejuaraan SPL pertama pada 202, dan yang satu-satunya setakat kini, dan setahun kemudian, membuka pusat latihan bernilai $10 juta di Mattar Road.

Beliau meninggalkan kelab itu pada Disember 2022 untuk kembali ke SGO, di mana beliau sebelumnya menggalas peranan pengarah operasi selama dua tahun.

Sebelum itu, beliau menghabiskan 22 tahun dengan Angkatan Laut Republik Singapura, memegang pangkat kolonel dan menjadi komander Institut Pakar Angkatan Laut dari 2015 hingga 2018.

Dalam laman LinkedIn-nya, beliau menggambarkan dirinya sebagai individu yang sangat mudah menyesuaikan diri, seorang yang mempunyai hubungan dengan orang ramai dan seorang yang “sangat percaya dalam menunjukkan rasa terima kasih dan membalas budi kepada masyarakat melalui berkhidmat dalam komuniti yang kita tinggal” dan “yang prinsipnya adalah untuk melihat semua orang dalam pasukannya berjaya”.

Antara pencapaian utama yang disenaraikan ialah mengendalikan keupayaan baru dalam tentera, melancarkan operasi jangkauan penjagaan kesihatan seluruh negara untuk warga emas dan “mewujudkan sempadan baru dengan Sailors”.

Mereka yang pernah bekerja dengan Chew kebanyakannya memberikan maklum balas positif tentangnya.

Selepas beliau meninggalkan kelab SPL, pengerusi Sailors, Forrest Li, berkata beliau sedih kehilangan Chew, yang beliau telah “bina hubungan kerja yang hebat dengannya”.

Kapten Sailors, Hariss Harun, juga berkata: “Ia adalah keterbukaan dan kemesraan beliau yang menarik perhatian saya... dan itu tidak pernah berubah sama ada pasukan itu berada pada tahap yang tinggi atau melalui tempoh buruk.

“Dia kadang-kadang akan menghantar mesej yang menggalak kepada kami pemain selain berjabat tangan dengan mesra apabila kami bertemu satu sama lain secara peribadi – perkara kecil ini yang membuatkannya berbeza. Kami sangat menghargai semua yang dia lakukan untuk pasukan.”

Apabila diberitahu mengenai perkembangan terkini, pengerusi BG Tampines Rovers, Desmond Ong, berkata: “Saya dapati Chun-Liang sangat profesional dan berkebolehan tinggi ketika dia berada di Sailors. Dia akan perlu mengisi kekosongan besar (yang ditinggalkan Yazeen) dan kami berharap dapat menyokongnya.”

Bagaimanapun, seorang pegawai sukan tempatan yang tidak mahu namanya didedahkan, menyatakan bahawa Chew memikul tanggungjawab yang besar.

Beliau berkata: “Saya harap Chun-Liang tidak memandang rendah magnitud kerja yang diperlukan. Ini bukan menjalankan kelab bola sepak di mana dia hanya mendengar pemilik atau pengerusi.

“Saya harap beliau dapat menyemai minda juara dengan membina semula sekretariat dan mengubah budaya dalam persatuan untuk membuat orang kembali percaya kepada bola sepak Singapura.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg