Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS), Yazeen Buhari, bakal melepaskan jawatan pada 30 September, setelah tujuh tahun memimpin pentadbiran badan bola sepak negara itu, umum FAS.
Dalam satu kenyataan pada 5 Julai, FAS menyatakan usaha mencari pengganti Yazeen telah bermula dan pelantikan baru itu akan diumumkan dalam masa terdekat.
Yazeen menyertai FAS pada 2017 selepas berkhidmat bersama Konfederasi Bola Sepak Asia.
Bekas pengadil Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) itu menyatakan keluarga dan perubahan kepimpinan sebagai sebab beliau memutuskan untuk meninggalkan FAS.
“Adalah satu penghormatan untuk menerajui pertubuhan ini, memandangkan skala dan kepentingan yang dipegang peranan ini.
“Tetapi selepas berjauhan dengan keluarga selama tujuh tahun, saya telah membuat keputusan sukar untuk meninggalkan pertubuhan ini. Saya percaya ia juga masa yang sesuai untuk pentadbiran menjalani perubahan kepimpinan,” kata beliau.
Di bawah kepimpinan Yazeen, bola sepak Singapura telah menyaksikan beberapa perkembangan penting, termasuk penjenamaan semula Liga Perdana Singapura (SPL) – yang sebelumnya dikenali sebagai Liga-S – pada 2018 dengan AIA sebagai penaja gelaran selama beberapa tahun; inisiatif Unleash the Roar! yang telah dilancarkan pada 2021; dan pelaksanaan sistem Video Penolong Pengadil (VAR) dalam SPL sejak 2023.
“Terdapat banyak inisiatif yang telah mula dibentuk sejak dua tahun lalu, dan dengan sokongan yang ditunjukkan oleh semua pihak berkepentingan, saya yakin pelan ini akan terus mencapai hasil yang diinginkan,” tambah Yazeen.
Beliau turut melahirkan terima kasih kepada ahli majlis, kelab, rakan kongsi pemerintah, peminat, sukarelawan, pemain dan rakan sekerja semasa dan sebelum ini atas sokongan mereka.
Yazeen memainkan peranan penting ketika bertindak pantas menyokong fraterniti bola sepak semasa pandemik Covid-19. Penyediaan geran bantuan melalui pengagihan semula sumber FAS membantu mengekalkan keupayaan, menjaga mata pencarian pentadbir dan pemain bola sepak profesional di SPL, dan memastikan komuniti bola sepak tempatan kekal aktif dengan cara yang selamat.
Bersama dengan bekas Presiden FAS, mendiang Lim Kia Tong, beliau juga berjaya mendapatkan Singapura hak menjadi tuan rumah acara sukan antarabangsa terbesar sejak pandemik dan memimpin jawatankuasa penganjur tempatan Piala Suzuki AFF selama sebulan pada Disember 2021. Lebih 700 pemain dan pegawai dari Asia Tenggara mengambil bahagian dalam pertandingan berpusat itu.
Bola sepak wanita turut menjadi tumpuan Yazeen. Sepanjang tempoh pelantikannya, FAS menyaksikan kenaikan ketara dalam pelaburan strategik untuk bola sepak wanita, termasuk menarik Deloitte sebagai penaja gelaran Liga Perdana Wanita pada 2022.
Yazeen juga membangunkan usaha untuk memastikan belia dan fraterniti akar umbi berada pada kedudukan yang lebih baik untuk melengkapi laluan elit, dengan memperkenalkan Sistem Akreditasi Akademi dan Skim Pampasan Latihan pada 2024.
Mengulas mengenai pengunduran Yazeen, Presiden FAS, Bernard Tan, berkata:
“Bagi pihak Jawatankuasa Eksekutif dan Majlis FAS, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kerja yang telah Yazeen lakukan semasa beliau berkhidmat sebagai Setiausaha Agung.
“Beliau telah menjadi pemimpin yang berdedikasi dalam pertubuhan dan pemergiannya adalah kehilangan besar kepada bola sepak Singapura.
“Bagaimanapun, kami menghormati keinginannya untuk mengutamakan keluarganya selepas tujuh tahun bersama FAS, dan mendoakan yang terbaik untuk beliau pada masa hadapan.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg