Juara dunia lari 200 meter sebanyak dua kali, Dafne Schippers, telah mengumumkan persaraannya daripada sukan balapan pada usia 31 tahun.
Wanita Belanda itu memenangi emas pada Kejohanan Dunia 2015 di Beijing dan di London dua tahun kemudian.
Bertanding dalam era yang sama dengan pelari pecut hebat Shelly-Ann Fraser-Pryce dan Elaine Thompson-Herah, Schippers turut meraih perak 100 meter pada Sukan Olimpik 2016 di Rio.
“Perlumbaan berhenti di sini,” kata Schippers menerusi hantarannya di Instagram.
“Sebagai seorang atlet, anda sentiasa tahu hari ini akan tiba, bahawa pada satu ketika, kerjaya anda akan menjadi satu masa yang sudah berlalu – sekadar koleksi kenangan dan mudah-mudahan seiring pingat.”
Schippers memenangi gangsa acara heptatlon pada Kejohanan Dunia 2013 di Moscow sebelum menumpukan perhatian pada acara lari pecut.
Beliau adalah wanita keenam terpantas sepanjang masa dalam acara 200 meter, mencatat rekod Eropah 21.63 saat apabila menewaskan Thompson dan Veronica Campbell Brown, kedua-duanya dari Jamaica, untuk merebut emas dunia pada 2015.
“Hari ini, saya telah memutuskan untuk memulakan hidup saya di luar balapan untuk mengejar dan menerima apa sahaja yang akan datang, tetapi bukan tanpa mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga atas semua sokongan yang tidak berkesudahan.
“Ia adalah satu perjalanan tanpa penyesalan,” kata Schippers.
“Keluarga saya, pasukan saya, peminat saya, dan penaja saya, saya terhutang budi kepada anda semua.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg