HANGZHOU (China): Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.
Di bahu kecilnya, Shanti Pereira memikul harapan negara, beban jangkaan warga Singapura, impian peribadinya, dan sejarah yang terkubur sekian lama.
Lama beliau memikul itu semua, tetapi dalam tempoh 23.03 saat pada Isnin malam, ratu pecut Singapura yang berumur 27 tahun itu mencapai semuanya dengan cemerlang.
Apabila Pereira menjadi pelari pertama melepasi garisan penamat dalam final lari 200 meter wanita Sukan Asia, atau Asiad, 2023 di Stadium Pusat Olimpik Hangzhou, beban itu hilang serta-merta dan beliau berasa lega.
Tangisan, yang mungkin menggambarkan kegembiraan, keletihan atau rasa tidak percaya, atau kesemua itu, menyusuli.
Tangisan itu berterusan di zon temu bual bersama media, di mana Pereira sebak ketika mengulas mengenai musimnya yang cemerlang pada 2023.
“Musim yang sungguh hebat. Sangat menggilakan.
“Saya tidak dapat menggambarkan perasaan saya sekarang. Saya hanya berasa sangat gembira,” kata Pereira sambil cuba menahan air mata.
Kemudian di podium, sedang lagu kebangsaan Majulah Singapura berkumandang, air mata itu terus mengalir, dengan pingat emas berkilauan di lehernya.
“Saya serta-merta menangis (selepas perlumbaan) kerana ia sangat bermakna, ia benar-benar bermakna. Saya tidak pernah menyangka saya akan berada di sini, tetapi saya berjaya berbuat demikian,” ujar Pereira.
Saya juga menitiskan air mata. Menumpang bangga dan gembira atas pencapaian Pereira meraih pingat emas olahraga pertama Singapura di Asiad sejak 1974 dan kejayaan lalunya.
Perasaan sama dirasai ketika Pereira memenangi pingat emas dalam dua edisi Sukan SEA yang lalu.
Sebutir emas dalam 200 meter di Hanoi, Vietnam, pada Mei 2022 dan setahun kemudian, dua butir emas – dalam 100 meter dan 200 meter – di Phnom Penh, Kemboja.
Saya berasa bertuah dapat berada di stadium, menjadi saksi ketiga-tiga kejayaan itu, yang merupakan kecemerlangan membanggakan yang dicapai di pertandingan sukan besar oleh seorang atlet dari sebuah negara kecil.
Pada setiap temasya sukan utama itu, anda mendapat versi Pereira yang sedikit berbeza. Pereira yang sedikit lebih pantas, sedikit lebih yakin, dan sedikit lebih matang.
Mungkin yang sama hanya tangisannya pada akhir perlumbaan final dan ketika di podium.
Tetapi, itulah sukan. Pengalaman – manis mahupun pahit – mendewasakan atlet.
Jatuh lapan kali, bangkit sembilan kali.
Dalam perlumbaan, margin paling tipis sering menentukan juara.
Begitulah juga kemajuan Pereira. Sedikit sedikit, lama-lama jadi bukit.
Sejak Mac, beliau telah enam kali mencatat semula rekod kebangsaan 100 meter dan mengatasi masa 200 meternya empat kali.
Pada Mei, Pereira memenangi emas 100 meter dan 200 meter Sukan SEA di Kemboja, sekali gus menjadi wanita Singapura pertama meraih kemenangan berganda dalam dua perlumbaan lari pecut itu.
Beliau mengulangi kejayaan itu di Kejohanan Olahraga Asia di Bangkok dua bulan kemudian.
Di Kejohanan Olahraga Dunia pada Ogos, Pereira menjadi warga Singapura pertama mara ke separuh akhir setelah mencatat masa 22.57 saat dalam pusingan saringan 200 meter, dan melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2024 di Paris.
Justeru, kejayaan beliau di Sukan Asia ini – termasuk pingat perak dalam 100 meter – tidak datang sekelip mata.
Ia satu proses. Ia mengambil masa.
Untuk mengejar impiannya itu, Pereira berkorban tenaga dan masa, dan terpaksa mengharungi rindu berjauhan dari keluarga.
Pada Isnin, Pereira sampai ke ‘bukitnya’ – salah satu bukit yang harus ditempuhnya sebelum menyasar mendaki gunung.
“Ia adalah musim yang panjang. Saya tidak sabar untuk berehat dan menetapkan semula fokus untuk 2024,” tambah Pereira.
Berehatlah, juara.
Terima kasih kerana menjadi inspirasi dan menunjukkan kepada kami, warga Singapura yang lain, bahawa tiada yang mustahil selagi ada kemahuan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg