Topik diikuti
Pergi ke BHkuBekas jurulatih renang sirip negara dipenjara kerana palsukan keputusan pertandingan
Mengaku bersalah palsukan keputusan kejohanan yang diguna untuk sokong pencalonan enam atlet ke Sukan SEA 2023
Bekas jurulatih renang sirip negara dipenjara kerana palsukan keputusan pertandingan
Seorang bekas jurulatih pasukan renang sirip atau ‘fin swimming’ kebangsaan telah dijatuhi hukuman penjara seminggu selepas mengaku bersalah berkomplot memalsukan keputusan perlumbaan pada satu kejohanan di luar negara.
Muhammad Faiz Suhaimi, 33 tahun, mengaku bersalah pada 26 Ogos kerana memalsukan keputusan satu kejohanan di luar negara yang kemudian digunakan untuk menyokong pencalonan enam atlet bagi mewakili Singapura dalam acara Sukan SEA 2023 di Phnom Penh.
Renang sirip ialah sukan yang melibatkan atlet berenang di permukaan atau bawah air dengan memakai sirip pada kaki.
Ketika menjatuhkan hukuman itu pada 14 September, Hakim Daerah Ong Luan Tze memuji keberanian Faiz mendedahkan kesalahannya itu secara sukarela, namun berkata hukuman penjara singkat masih diperlukan.
Keputusan itu dibuat selepas pihak pendakwaan dan pembelaan bersetuju denda berat memadai bagi Faiz kerana kes itu terbongkar selepas dia sendiri tampil mendedahkannya.
Hakim berkata: “Saya bersetuju faktor ini wajar diberi pertimbangan yang besar sebagai faktor yang meringankan hukuman.
“Pertama, ia menunjukkan penyesalan yang tulus. Kedua, jelas terdapat kepentingan awam untuk menggalakkan orang ramai tampil dan mengakui kesalahan mereka.
“Bagaimanapun, faktor ini perlu dipertimbangkan bersama beratnya kesalahan tersebut serta kepentingan awam untuk mencegah kesalahan sedemikian daripada berlaku.”
Mahkamah sebelum ini diberitahu bahawa ketika itu, Faiz merupakan pengurus pasukan dan jurulatih renang sirip di Persekutuan Aktiviti Bawah Air Singapura (Singapore Underwater Federation), dan bertugas di bawah Naib Presiden merangkap Ketua Jurulatih, Ho Ho Huat, 56 tahun.
Rancangan itu bermula pada Disember 2022, selepas Ho mendapat tahu beberapa acara renang sirip telah digugurkan daripada Sukan SEA 2023, menyebabkan beberapa atlet yang ingin dipilihnya tidak lagi layak, termasuk anak perempuannya.
Ho mahu mencalonkan lebih ramai atlet ke temasya itu menerusi proses rayuan, namun dia tahu dia memerlukan para atlet itu untuk memperoleh keputusan kelayakan dalam pertandingan yang diiktiraf, bagi tujuan tersebut.
Selepas mendapat tahu ada satu pertandingan yang akan diadakan di Malaysia pada Januari 2023, Ho memutuskan untuk menghantar lima atlet lelaki untuk menyertainya.
Ho dan Faiz menghadiri pertandingan itu bersama dan tahu lima atlet yang telah mereka hantar, tidak mengambil bahagian dalam acara renang permukaan berganti-ganti 4 x 200 meter.
Beberapa hari selepas pertandingan di Malaysia itu, Ho mencadangkan kepada Faiz supaya memalsukan keputusan acara itu. Faiz pada mulanya teragak-agak tetapi akhirnya bersetuju.
Pihak pembelaan berhujah bahawa Faiz berbuat demikian kerana Ho lebih berpangkat tinggi dan dia takut mempersoalkannya.
Pada 18 Januari 2023, Faiz menggunakan perisian komputer untuk menghasilkan rekod elektronik palsu keputusan pertandingan di Malaysia itu.
Akibat rekod palsu itu, enam atlet yang sepatutnya tidak layak mewakili Singapura akhirnya menyertai Sukan SEA.
Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC) menanggung kos tambahan $15,691.15 untuk menghantar enam atlet itu ke Sukan SEA.
Faiz mendedahkan rancangan itu kepada seorang pemberi maklumat yang identitinya dirahsiakan, pada Januari 2024, selepas Ho disingkirkan daripada Persekutuan Aktiviti Bawah Air Singapura pada Disember 2023.
Kes Ho telah ditetapkan untuk persidangan sebelum perbicaraan pada 1 Oktober.
Hakim menambah: “Menyarung jersi Singapura dalam acara antarabangsa seperti Sukan SEA adalah impian ramai atlet... Kita bertanggungjawab kepada mereka dan juga kepada semangat kesukanan, untuk memastikan peluang mewakili negara ditentukan hanya melalui penilaian jujur dan keputusan yang benar-benar tepat.”
