Persatuan Badminton Singapura (SBA) memantapkan tenaga jurulatihnya dengan pelantikan bekas pemain badminton perseorangan lelaki terkemuka India, Anup Sridhar, tertakluk kepada kejayaan permohonan pas pekerjaannya.
Bagaimanapun, naib presiden (bidang pembangunan perniagaan dan komunikasi) SBA, David Tan, menjelaskan pada 20 Januari bahawa Sridhar akan menjadi jurulatih perseorangan di bawah bimbingan jurulatih Korea Selatan, Kim Ji-hyun, bukannya menjadi ketua jurulatih perseorangan lelaki seperti yang dilaporkan oleh media India.
Laporan media sebelum ini telah tersilap menyatakan bahawa bekas atlet badminton berusia 41 tahun itu akan “mengambil alih peranan jurulatih terkenal Mulyo Handoyo”, dan dilantik sebagai “ketua jurulatih perseorangan lelaki pasukan badminton Singapura”.
“Pasukan kebangsaan kita terdiri daripada pemain dengan tahap kemahiran dan kedudukan dunia yang berbeza, oleh itu (mereka) mempunyai keperluan latihan dan pertandingan yang dimasuki berbeza,” kata Tan kepada akhbar The Straits Times (ST).
“Kami sedang berusaha untuk menangani perkara ini dengan membawa masuk lebih ramai jurulatih dengan kebolehan berbeza... SBA telah mengiklankan jawatan jurulatih tambahan untuk kategori perseorangan.
“Kelayakan yang diperlukan termasuk pengalaman sekurang-kurangnya lima tahun dalam pasukan badminton negara kategori perseorangan ,” tambah beliau.
Prestasi yang pernah diraih Sridhar antara lain, pingat gangsa pada kejohanan Asia 2007, mengetuai pasukan Piala Thomas India pada 2006 dan 2008 dan bertanding di Olimpik 2008.
Beliau juga pernah bekerja dengan pemain seperti juara Sukan Komanwel, Lakshya Sen dan P.V. Sindhu – yang memenangi gelaran dunia pada 2019 – selepas bersara daripada bermain badminton secara kompetitif pada 2015.
Setelah belajar daripada bekas juara nombor satu dunia dan All England, Prakash Padukone, di bandar kelahiran mereka di Bangalore, beliau juga menjadi jurulatih di Persatuan Badminton Karnataka.
Selain pelantikan Anup Sridhar, terdapat perubahan lain dalam sistem pengurusan SBA.
Pada Oktober 2024, ST mendedahkan bahawa SBA akan memindahkan ketua jurulatih perseorangan negara, Kelvin Ho, ke skuad latihan kebangsaan untuk membangunkan generasi pemain akan datang.
SBA juga merancang untuk mengasingkan jurulatih perseorangan lelaki dan wanita untuk membawa mereka ke peringkat seterusnya.
Namun, SBA belum menemui calon yang sesuai untuk mengisi peranan itu kerana ramai jurulatih terkemuka telah pun diambil oleh skuad kebangsaan negara lain.
Antaranya seperti Hendrawan – bekas jurulatih legenda badminton Malaysia, Lee Chong Wei – yang akan kembali ke Indonesia untuk menjadi jurulatih kelab Djarum; serta Irwansyah Adi Pratama – bekas jurulatih peraih pingat gangsa Olimpik Tokyo, Anthony Ginting – yang kini menjadi ketua jurulatih perseorangan wanita skuad kebangsaan India.
Kini SBA mempunyai hanya ketua jurulatih perseorangan wanita, Kim, yang baru menyertai SBA pada 1 Januari dan turut mengawasi pemain perseorangan lelaki.
Pemerhati mempersoalkan mengapa SBA memutuskan untuk menempatkan semula Ho tanpa lebih dahulu menandatangani kontrak jurulatih baru.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sementara SBA, Arun Cavale, yang sebelum ini merupakan naib presiden (laluan dan pembangunan), berkata penetapan semula Ho adalah penting untuk “strategi jangka panjang bagi melabur dalam pembangunan belia dan menyiapkan pemain untuk Sukan Olimpik 2032”.
Terdapat peranan lain dalam SBA untuk diisi, selepas pengarah teknikal, Martin Andrew dan CEO, Alan Ow, masing-masing meninggalkan SBA pada Ogos dan Disember 2024.
Tan berkata mereka sedang dalam fasa akhir menemu duga calon untuk jawatan CEO, dengan Cavale mengisi jawatan itu buat sementara waktu.
Menurutnya lagi, usaha mendapatkan pengarah teknikal yang mampu mengetuai pasukan jurulatih dan pengurus berprestasi tinggi dalam SBA masih diteruskan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg