Dengan pasangan beregu gandingan badminton terbaik Singapura belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan, Terry Hee akan cuba mengekalkan kejuaraan dalam acara beregu campuran di kejohanan Guwahati Masters pada Disember dengan pasangan baru.
Daripada bermain bersama isterinya, Jessica Tan, beliau sebaliknya akan berpasangan dengan Jin Yujia di acara Super 100 Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia itu pada 3 hingga 8 Disember yang menawarkan hadiah AS$100,000 ($135,000).
Pada 25 November, Persatuan Badminton Singapura (SBA) mengesahkan perkembangan tersebut.
Seorang jurucakapnya menjelaskan bahawa mereka sedang cuba meneroka gabungan berbeza.
Beliau menambah bahawa ini adalah masa yang baik untuk berbuat demikian kerana Tan “belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan dan belum cukup bersedia untuk bersaing”.
Hee, 29 tahun, berkata: “Ia merupakan pengalaman yang luar biasa dan perjalanan yang sangat istimewa. Ia tidak akan sama di gelanggang tanpa Jessica.
“Tetapi dalam sukan, adalah penting untuk mempercayai jurulatih. Untuk beberapa kejohanan akan datang ia menjadi penting (untuk digunakan) sebagai ukuran keserasian saya dengan Yujia.”
Menurut laporan The Straits Times (ST), Hee dan Tan telah bermain sebagai pasangan beregu bersama yang berjaya selama sedekad – muncul juara 10 kejohanan sejak memenangi Kejohanan Antarabangsa Singapura 2014 dalam penampilan sulung mereka.
Mereka berkahwin pada Oktober 2021 sebelum meraih tiga lagi kemenangan kejohanan Jelajah Dunia dan pingat emas di Sukan Komanwel 2022.
Mereka adalah pasangan beregu campuran kelahiran tempatan pertama yang layak ke Sukan Olimpik, memenangi satu perlawanan sebelum tewas dua kali di temasya Paris 2024 dan terlepas peluang ke peringkat suku akhir pertandingan itu.
Walaupun beliau dinamakan sebagai pemain nombor 13 dunia pada Januari 2023, Tan terpaksa berdepan dengan kecederaan buku lali dan kejang otot pada 2024, yang menyebabkan SBA membuat perubahan.
Ketua jurulatih beregu Singapura, Paulus Firman, memberi sokongan kepada kededua Jin dan Hee, dan beliau optimis tentang apa yang boleh Jin sumbang kepada pasangan itu.
Jurulatih warga Indonesia berusia 55 tahun itu berkata:
“Saya sangat bangga dengan pencapaian Jessica dan Terry dalam perjalanan ke Sukan Olimpik. Terdapat banyak halangan yang terpaksa mereka tempuhi, terutama apabila mereka baru bermain bersama pada penghujung 2021 selepas Terry memenuhi komitmen perkhidmatan negaranya.
“Gabungan beregu campuran baru Terry dan Yujia menyajikan potensi besar, terutama dengan Yujia mempunyai pengalaman bermain di peringkat elit.
“Mereka baru sahaja memulakan latihan bersama dan rancangannya adalah untuk menyertakan mereka dalam kejohanan akan datang seperti Guwahati Masters dan Bangladesh International Challenge.”
Jin sebelum ini berpeluang layak ke pertandingan beregu wanita Paris 2024 dengan Crystal Wong apabila mereka mencapai kedudukan ke-16 dunia pada Mei 2023.
Namun, Wong kemudian membuat keputusan untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada pengajian universitinya.
Mengenai pasangan barunya dengan Hee, Jin yang berusia 27 tahun berkata:
“Kami telah berkawan bertahun-tahun dan kami juga telah bersaing bersama semasa sesi latihan. Saya tidak sabar untuk berada di gelanggang dan beraksi bersama-sama Terry kali ini.”
‘Perpisahan’ pasangan bukanlah sesuatu yang luar biasa dalam badminton.
Malah pasangan lama yang berjaya akan ‘berpisah’ untuk mencuba dan mencari gabungan yang lebih baik.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg