Topik diikuti
Pergi ke BHkuBekas pemain Liga Dua England sertai Young Lions
Bekas pemain Liga Dua England sertai Young Lions
Pemain tengah 24 tahun itu bakal beraksi di SPL pada musim depan
Bekas pemain Liga Dua England sertai Young Lions
Pemain tengah kelahiran Wales, Kai Whitmore, mengambil langkah besar dalam usahanya mahu menyarung jersi kebangsaan Singapura apabila membuat keputusan berhijrah ke sini untuk beraksi dalam Liga Perdana Singapura (SPL).
Pada 14 April, Young Lions mengumumkan kehadiran pemain berusia 25 tahun itu.
Namun, disebabkan pemindahan tersebut berlaku di luar jendela pendaftaran SPL, Whitmore tidak layak diturunkan dalam musim ini.
Namun, beliau akan mula menjalani latihan bersama pasukan Young Lions dalam beberapa bulan akan datang bagi menyesuaikan diri dengan persekitaran baru serta membuat persiapan menghadapi musim seterusnya, menurut kelab yang dikendalikan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS).
Menurut The Straits Times, beliau pernah menyuarakan hasrat mahu menjadi rakyat Singapura dan mewakili skuad Singa di pentas antarabangsa.
Whitmore mengakui teruja membuka lembaran baru bersama Young Lions.
Pemain tengah itu, yang bakal beraksi di luar negara buat kali pertama dalam kerjayanya apabila musim SPL 2026/27 bermula pada separuh kedua 2026, berkata penyesuaian diri menjadi keutamaan.
“Keadaan cuaca di sini sangat berbeza daripada apa yang biasa saya lalui. Jadi beberapa bulan akan datang amat penting untuk saya menyesuaikan diri dan membuat persiapan bagi musim 2026/27,” katanya.
“Tumpuan saya sekarang adalah untuk menyesuaikan diri, bekerja keras dalam latihan dan membina keserasian dengan rakan sepasukan.”
Bekas pemain Newport County itu meninggalkan kelab Liga Dua England tersebut pada Februari lalu selepas kontraknya ditamatkan.
Dalam 16 penampilan liga musim ini, beliau menjaringkan tiga gol serta mencipta lima bantuan gol buat pasukan itu yang kini berada di kelompok bawahan liga.
Whitmore kali pertama datang ke Singapura pada Mei 2025 untuk bertemu pegawai FAS serta memahami dengan lebih lanjut proses mewakili skuad Singa.
Dalam temu bual pada Jun 2025, beliau – pemegang pasport Britain – menyatakan minat mahu beraksi bagi Singapura melalui hubungan warisan keluarga.
Menurutnya, datuk sebelah ibunya, Gary Evans, dilahirkan di Singapura pada 1961 di Hospital Changi.
Moyangnya pula pernah berkhidmat dalam Tentera Udara Diraja British dan menetap di kawasan Opera Estate berhampiran Siglap Road bersama keluarga.
Apabila ditanya mengenai kemungkinan dinaturalisasikan sebagai warga Singapura, Whitmore berkata beliau terbuka dengan idea tersebut, namun tumpuan utamanya ketika ini adalah kepada bola sepak dan perjalanan bersama Young Lions.
Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH), FAS menegaskan bahawa pembangunan bakat tempatan kekal sebagai keutamaan dalam strategi jangka panjang untuk meningkatkan mutu bola sepak Singapura.
Namun, badan itu juga terbuka untuk memanfaatkan bakat asing yang mempunyai komitmen untuk menyumbang kepada skuad negara.
FAS turut menambah bahawa Whitmore memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran, liga dan kelab baru, tetapi pengalamannya dalam bola sepak profesional di England dijangka memberi nilai tambah kepada pasukan.
“Selain sumbangan di atas padang, Kai membawa pengalaman dan profesionalisme yang boleh dicontohi oleh pemain muda kami. Kami optimis dengan fasa baru dalam kerjayanya dan menantikan sumbangan positif beliau kepada Young Lions,” kata FAS.
Difahamkan bahwa Whitmore mula berhubung dengan FAS selepas digalakkan oleh seorang lagi pemain yang berpotensi mewakili Singapura, Perry Ng, untuk datang ke sini dan memahami proses menjadi warga serta beraksi untuk skuad kebangsaan.
Ng, 29 tahun, yang kini bermain bersama kelab Cardiff City, memperoleh status penduduk tetap Singapura pada Mac 2025 dan sedang dalam proses mendapatkan kewarganegaraan.
Sekiranya berjaya, beliau bakal menjadi pemain pertama mewakili Singapura melalui laluan warisan keluarga.
Datuknya dilahirkan di Singapura sebelum berhijrah ke Liverpool pada era 1970-an.
