Perry Ng berharap gaya permainannya yang fizikal selain pengalaman beliau bermain bersama pasukan Cardiff City di Liga Kejuaraan di England dapat memberi manfaat kepada pasukan Singapura jika beliau dipanggil bermain untuk pasukan negara ini.
“Saya mempunyai kekuatan yang mantap, dan saya harap dengan pengalaman saya, dapat membantu pasukan Singa menjadi lebih tenang dalam kawalan bola, terutama semasa detik-detik mendebarkan semasa perlawanan,” kata bek kanan Cardiff City itu.
Namun, sebelum dapat menyarung jersi pasukan Singa, Perry perlu diterima sebagai warga negara Singapura terlebih dahulu.
Pada 21 Mac, Perry menerima status penduduk tetapnya (PR), sekaligus membawanya selangkah lebih dekat untuk merealisasikan impian menjadi warga negara ini.
Apabila bertemu Berita Harian di Hab Bola Sepak Kallang pada 23 Mac, Perry akur dirinya teruja dan gembira mendapatkan status itu dan akan membuat pendaftaran untuk menjadi rakyat Singapura pula.
Beliau berada di sana bagi menyaksikan perlawanan-perlawanan Liga Belia Singapura (SYL).
Impian untuk melihat Perry beraksi sebagai seorang pemain Singa turut dinantikan keluarganya juga.
Perry berkongsi bahawa beliau bertekad untuk beraksi bersama pasukan bola sepak Singapura sebagai menghormati mendiang datuknya, James Ng.
Datuknya dilahirkan di Singapura tetapi berhijrah ke Liverpool pada tahun 1970an untuk menyambung pengajian.
Perry juga ingin menunaikan keinginan keluarganya di Singapura yang ghairah untuk melihat beliau beraksi secara langsung.
“Mak cik dan pak cik saya tidak sabar (untuk lihat saya bermain untuk pasukan Singapura), mereka selalu menghantar saya laporan mengenai kemungkinan saya bermain buat pasukan Singapura. Saya harap tidak lama lagi saya dapat bermain di hadapan mereka,” kata pemain berusia 28 tahun itu.
Pemenang Pemain Pilihan Para Pemain 2024 Cardiff City itu telah menyertai sesi latihan pasukan Singa pada September 2024 dan Mac 2025 semasa tempoh rehat antarabangsa.
Beliau berkongsi bahawa para pemain Singa telah menyambut beliau dengan baik dan beliau kagum dengan mutu yang dipamerkan oleh para pemain lain.
Apabila ditanya sekiranya beliau bersedia menghadapi perjalanan rentas benua – antara kelab dengan negara – beliau berkongsi bahawa dirinya sudah biasa ke Singapura.
Selain sesi latihan bersama pasukan Singa, beliau juga kerap ke Singapura untuk berjumpa dengan keluarga besarnya, pergi ke kolumbarium Tao untuk memberi penghormatan kepada mendiang datuknya James Ng, dan makan di gerai hokkien mi ibu saudaranya di Bedok.
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS), Chew Chun-Liang juga berkata pada Februari bahawa Perry akan diundang menyertai sesi latihan Singa semasa tempoh rehat antarabangsa pada Mac, Jun, September, Oktober, dan November.
Perry juga berkongsi bahawa beliau kagum dengan sokongan peminat yang padu walaupun semasa kekalahan 1-0 Singa kepada Nepal dalam perlawanan persahabatan pada 21 Mac.
“Sorakan mereka tetap kuat walaupun pasukan sedang kalah. Saya tidak sabar bermain buat pasukan Singa,” kata beliau.
Peraturan Fifa menetapkan bahawa individu mesti mempunyai “hubungan yang sah” dengan pasukan kebangsaan yang mereka ingin wakili.
Kriteria asas termasuk tempat kelahiran, naturalisasi melalui tempat tinggal, atau tempat kelahiran salah seorang datuk nenek.
Bagaimanapun, peraturan kewarganegaraan Singapura menyatakan bahawa kelayakan untuk mendapatkan pasport melalui keturunan hanya untuk individu yang mempunyai sekurang-kurangnya seorang ibu bapa yang dilahirkan di Singapura atau merupakan warga negara melalui pendaftaran.
Walau bagaimanapun, pengecualian khas boleh diberikan kepada Perry untuk mewakili pasukan Singa melalui Skim Bakat Sukan Asing (FST).
Presiden FAS, Bernard Tan, menyatakan pada September 2024 bahawa terdapat laluan untuk Perry menjadi warga negara Singapura.
Disebabkan undang-undang Singapura yang ketat, Perry perlu melepaskan kewarganegaraan Britain sekiranya beliau memperoleh kerakyatan Singapura.
Jika permohonan kerakyatan Perry berjaya, beliau akan menjadi pemain bola sepak pertama yang dinaturalisasikan di bawah skim FST sejak Qiu Li pada 2010.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg