Perjalanan pemain Cardiff City, Perry Ng yang ingin menyarung jersi Singapura menarik tajuk berita dan minat peminat bola sepak setempat.
Namun kisah Ng itu juga telah menarik perhatian beberapa pemain lain di Britain, termasuk Kai Whitmore, 24 tahun yang kini menyarung jersi Newport County yang beraksi dalam Liga Kedua Liga Bola Sepak England (EFL).
Liga Kedua EFL ialah divisyen keempat bola sepak profesional di England, di belakang Liga Perdana England (EPL), Liga Kejuaraan EFL, dan Liga Pertama EFL.
Bercakap dengan The Straits Times baru-baru ini, Whitmore berkata beliau berminat mewakili Singapura di peringkat antarabangsa.
Datuk di sebelah ibu Whitmore dilahirkan di Singapura dan pemain itu berada di sini Mei lalu untuk bertemu pegawai Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) serta mengetahui lebih lanjut mengenai proses kelayakan untuk menyarung jersi kebangsaan.
Whitmore, seorang pemain tengah, beraksi 31 kali untuk Newport pada musim lalu, termasuk dalam perlawanan pusingan pertama Piala FA menentang Peterborough United, di mana beliau turut menjaringkan gol.
Menurut Whitmore, datuknya Gary Evans, 64, dilahirkan di Hospital Changi pada tahun 1961.
Moyangnya bertugas dalam Tentera Udara Diraja (RAF) dan menetap bersama isteri dan anaknya di kawasan perumahan Opera Estate, berhampiran Jalan Siglap.
“Sejak kecil, datuk saya sering bercerita tentang Singapura, cintanya terhadap negara ini dan zaman kanak-kanaknya di sini. Saya memang teringin datang melihat sendiri tempat tinggalnya, dan saya rasa musim rehat ini masa yang paling sesuai,” kata beliau.
Ketika Evans berusia kira-kira lapan tahun, keluarganya bercuti ke England untuk seketika dan merancang untuk kembali ke Singapura.
Namun, ibu bapa Evans maut dalam kemalangan jalan raya dan beliau tidak sempat pulang ke sini.
“Singapura sangat bermakna bagi datuk saya kerana katanya di sinilah beliau paling banyak menyimpan kenangan bersama ibu bapanya. Beliau sering tunjukkan gambar-gambar lama dan bercerita tentang kehidupannya di sini,” kata Whitmore.
Sejak bergelar pemain profesional, Whitmore sudah pun memikirkan kemungkinan mewakili Singapura, namun tidak pasti pihak berkuasa yang perlu dihubungi.
Perjalanan Perry Ng mendapat liputan di Wales – tempat kededua Cardiff dan Newport berpangkalan – mendorong Whitmore untuk menghubunginya melalui rakan sepasukan Ng, Kieron Evans, yang sebelum ini dipinjamkan ke Newport.
Ng kemudian menghubungkannya dengan FAS dan menggalak beliau datang ke Singapura untuk memahami lebih lanjut proses menjadi rakyat Singapura.
Jika berjaya, kehadiran Whitmore boleh memperkukuh skuad nasional.
Beliau, yang juga bekas pemain akademi Swansea City, dikenali dengan ketahanan dan keupayaannya merampas semula bola.
Beliau memulakan kerjaya profesional di Liga Cymru bersama Penybont, dan menyertai Haverfordwest County sebelum menyertai Newport County menjelang musim 2024-25, di mana beliau dengan pantas menjadi tonggak utama pasukan EFL Liga Dua itu.
Menjawab pertanyaan media, jurucakap FAS mengesahkan bahawa keluarga Whitemore telah menghubungi pihak mereka pada awal 2025 untuk menyampaikan hasrat Whitmore mewakili Singapura.
FAS menegaskan bahawa pembangunan ekosistem bola sepak tempatan secara mampan adalah asas kejayaan jangka panjang yang paling realistik, namun naturalisasi pemain secara terpilih boleh menjadi pelengkap kepada usaha ini.
“Mana-mana atlet yang dipertimbangkan untuk naturalisasi bukan sahaja perlu memiliki bakat luar biasa yang dapat menyokong dan melengkapi pemain tempatan, tetapi juga perlu menunjukkan hubungan yang mendalam dengan Singapura – baik dalam mahupun luar padang,” kata jurucakap tersebut.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg