LONDON: Lulusan akademi Manchester City, Reece Wabara, kini antara bekas pemain bola sepak paling kaya selepas bersara pada usia 26 tahun daripada sukan itu untuk membina empat perniagaan fesyennya yang dilaporkan bernilai 83 juta pound ($145.6 juta).
Wabara membuat hanya satu penampilan di Liga Perdana England ketika bersama Man City, selepas menyertai akademi kelab itu pada 2007 daripada Walsall.
Pemain pertahanan itu, yang juga pemain skuad remaja England, dimasukkan pada minit akhir ketika perlawanan terakhir Man City pada musim 2010-11, menggantikan Pablo Zabaleta.
Wabara dipinjamkan ke beberapa kelab termasuk Ipswich Town, Oldham Athletic dan Blackpool, sebelum menyertai Doncaster Rovers secara tetap pada 2014, selepas menjadi pemain pinjaman sebelum itu.
Beliau kemudian memutuskan untuk bersara daripada bola sepak pada 2017 selepas membuat 148 penampilan profesional dengan beberapa pasukan seperti Barnsley, Wigan dan yang terakhir, Bolton.
Persaraan Wabara dibuat selepas beliau memutuskan untuk memberi tumpuan kepada perniagaan fesyennya, yang dimulakan ketika bersama Man City pada 2013.
Bercakap kepada The Times pada 2021, Wabara berkata beliau memutuskan untuk memulakan jenama Maniere De Voir selepas berbual dengan kawan lamanya, Lewis Morgan, yang juga pemilik bersama, Gymshark.
“Saya bertanya, di mana saya boleh meningkatkan potensi untuk menjadi seorang yang hebat? Saya tahu keadaan tidak berpihak kepada saya sebagai pemain bola sepak Liga Juara-Juara dan England.
“Saya sentiasa mempunyai cara berpakaian yang unik dan Lewis berkata kepada saya, ‘Anda perlu melakukan sesuatu dalam bidang fesyen’,” kata Wabara.
Wabara menubuhkan Maniere De Voir dengan modal 15,000 pound, ketika gajinya hanya 3,000 pound, dengan Morgan memiliki 17 peratus saham untuk memulakan perniagaan itu.
Wabara mendakwa sukar untuknya memberi tumpuan kepada bola sepak dan perniagaan dengan pengendali pasukan berkata fokusnya mula merosot.
Perniagaan itu dilaporkan memberi pulangan 1 juta pound pada tahun pertama dan semakin maju selepas bintang tinju, Anthony Joshua, serta pemain Arsenal, Raheem Sterling, menjadi duta jenama berkenaan, yang lebih memberi tumpuan kepada pakaian wanita.
Pada 2024, nilai Wabara dilaporkan mencecah 83 juta pound menerusi syarikat itu.
Wabara kini menduduki tangga ke-33 dalam senarai Individu Muda Terkaya Sunday Times.
Nilainya melebihi kapten England, Harry Kane, Sterling dan bekas bintang Real Madrid, Gareth Bale, yang turut berada dalam kelompok 40 teratas.
Wabara turut membeli semula saham Morgan untuk memiliki sepenuhnya syarikat berkenaan pada 2024. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg