Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Wanita Singa kekal semangat jelang kelayakan Piala Asia AFC

Ini walaupun hadapi persiapan kelayakan yang mencabar
Jun 16, 2025 | 3:28 PM
Singapura, Piala AFC, pasukan wanita Singa,
Penyerang Singapura, Farah Nurzahirah (tengah), beraksi semasa perlawanan persahabatan pasukan wanita Singapura menentang Hong Kong pada 15 Jun. - Foto ST

Walaupun perlawanan persahabatan terakhir pasukan wanita Singapura terpaksa dihentikan lebih awal akibat hujan lebat, semangat pemainnya tetap tinggi dalam persiapan menjelang Kelayakan Piala Asia Wanita Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2026.

Perlawanan kelayakan tersebut bakal diadakan di Jordan dari 23 Jun hingga 5 Julai.

Pada 15 Jun, perlawanan persahabatan terakhir skuad wanita Singapura, yang berada di kedudukan ke-139 dunia, menentang Hong Kong yang berada di tangga ke-80, terpaksa dihentikan empat minit selepas separuh masa kedua, kerana hujan lebat di stadium Choa Chu Kang, dengan pasukan pelawat itu mendahului 1-0.

Namun, jurulatih pasukan bola sepak wanita Singapura, Karim Bencherifa, percaya suasana masih cerah menjelang pusingan kelayakan tersebut, lapor The Straits Times (ST).

Singapura berada dalam kumpulan A bersama pasukan tuan rumah Jordan (ranking ke-75 dunia), Iran (ranking ke-68), Lebanon (ranking ke-130) dan Bhutan (ranking ke-171).

Singapura telah bermain dua perlawanan menentang Hong Kong, yang merupakan aksi pertama bagi kededua pasukan itu di pentas antarabangsa bagi 2025.

Sebaliknya, Jordan dan Lebanon masing-masing dijadualkan mengadakan tujuh perlawanan persahabatan sebelum kejohanan tersebut, manakala Iran dan Bhutan pula masing-masing akan beraksi dalam empat dan dua perlawanan.

Bagaimanapun, Bencherifa yakin bahawa pasukan wanita Singapura akan memberikan yang terbaik dalam ujian pertama mereka dalam kejohanan 2025.

“Adakah kami akan memasuki (pertandingan ini) dengan persiapan terbaik berbanding pasukan lawan? Mungkin tidak, kerana keadaan (pasukan) kami.

“Saya sentiasa tekankan bahawa para pemain kami harus dihormati, kerana terdapat begitu banyak komitmen dan perkara yang berlaku...

“Saya ingin katakan bahawa kami akan memberikan pertarungan yang hebat dalam setiap perlawanan – itu yang kami boleh janjikan dalam pusingan kelayakan Piala Asia AFC ini,” ujar beliau.

Dalam pertemuan kedua pasukan wanita Singapura menentang Hong Kong – beberapa hari selepas perlawanan pertama mereka yang berlangsung secara tertutup – kededua pasukan menunjukkan prestasi yang sama hebat, dengan Singapura berjaya mencipta beberapa peluang menjaringkan gol.

Lapan tempat menjadi rebutan bagi kejohanan peringkat akhir di Australia, dengan hanya juara setiap kumpulan yang akan mara dalam kejohanan tersebut.

Kali terakhir Singapura beraksi dalam kejohanan itu ialah pada 2003, sebelum pusingan kelayakan diperkenalkan bagi edisi berikutnya bermula pada 2006.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg