Bekas pengarah sukan Arsenal, Edu, telah menyertai Nottingham Forest dalam peranan baru sebagai ketua global bola sepak.
Forest berkata warga Brazil itu akan “menyelia semua fungsi berkaitan bola sepak, termasuk pengambilan pemain, prestasi, strategi skuad dan pembangunan pemain”.
Edu, 47 tahun, pernah bermain untuk Arsenal dari 2001 hingga 2005, memenangi dua kejuaraan Liga Perdana England, dan kembali ke kelab itu pada 2019 sebagai pengarah teknikal.
Beliau dinaikkan pangkat menjadi pengarah sukan pada November 2022 tetapi meletak jawatan pada November 2024.
“Saya benar-benar teruja dengan bab baru ini dan berbesar hati dengan kepercayaan yang diberikan kepada saya,” kata Edu.
“Projek ini amat selari dengan nilai-nilai saya yang menekankan inovasi dan perancangan jangka panjang. Saya tidak sabar membina model bola sepak global yang kompetitif, mampan dan selaras dengan cita-cita presiden kami, Evangelos Marinakis.”
Pemilik Forest, Marinakis, juga mengawal kelab Greece, Olympiakos, serta kelab Portugal, Rio Ave, dan mengesahkan pada Disember lalu bahawa beliau sedang berbincang untuk membeli kelab Brazil, Vasco da Gama.
Edu, yang juga pernah bermain untuk Valencia dan dua kali beraksi bersama Corinthians, menyertai kelab Brazil itu sebagai pengarah bola sepak pada 2011 dan pernah berkhidmat sebagai penyelaras umum pasukan kebangsaan Brazil dari 2016 hingga 2019.
Di Arsenal, bekas pemain tengah Brazil itu memainkan peranan penting dalam membawa masuk pengurus Mikel Arteta, dengan pasukan itu kemudian memenangi Piala FA pada musim pertama pengurus Sepanyol itu.
Walaupun mereka belum memenangi kejuaraan utama sejak itu, Edu secara meluas dipuji kerana membantu mengubah Arsenal menjadi pencabar kejuaraan sebenar sekali lagi.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg