LONDON: Liverpool telah menolak tawaran rasmi daripada Bayern Munich untuk membeli penyerang, Luis Diaz.
Jurulatih kelab Jerman itu, Vincent Kompany, telah mengenal pasti Díaz sebagai sasaran utama musim panas ini dalam usaha memperkukuh barisan serangannya.
Namun Pengarah Sukan Bayern, Max Eberl, dimaklumkan kelab Liga Perdana England (EPL) itu tidak berhasrat menjual Diaz dan tidak akan membuka sebarang rundingan berkaitan pemindahan pemain tersebut.
Diaz, 28 tahun, sebelum ini turut menarik minat Barcelona pada awal musim, namun percubaan kelab Sepanyol itu juga ditolak Liverpool.
Liverpool kekal tegas dengan keputusan mereka – Diaz bukan untuk dijual, walau dengan apa jua harga sekalipun – memandangkan sumbangan besar yang diberikan pemain Colombia itu sejak menyertai pasukan dari Porto pada 2022.
Musim lalu, Diaz menjaringkan 22 gol untuk kelab dan negaranya, dan menjadi tonggak utama dalam kejayaan Arne Slot membimbing Liverpool menjuarai liga.
Beliau menjaringkan 13 dan merintis tujuh gol dalam saingan liga, membantu Liverpool meraih kejuaraan dengan kelebihan 10 mata daripada pasukan di tempat kedua, Arsenal.
Diaz, yang masih mempunyai baki dua tahun dalam kontraknya di Anfield, pernah menarik minat Manchester City musim lalu, selain menjadi buruan beberapa kelab dari Arab Saudi, termasuk Al-Nassr.
Walaupun jelas Liverpool enggan mempertimbangkan sebarang tawaran, adalah dipercayai hanya ‘tawaran luar biasa’ yang mampu membuat mereka mengubah pendirian mengenai Diaz.
“Saya sangat gembira berada di Liverpool – saya sentiasa katakan begitu,” kata Diaz ketika bersama skuad kebangsaan Colombia awal musim panas ini.
“Tempoh perpindahan sudah dibuka dan pihak kami sedang melihat apakah yang terbaik buat kami. Saya menunggu untuk melihat apakah yang akan berlaku.
“Kalau Liverpool tawarkan lanjutan kontrak yang baik atau saya terus habiskan baki dua tahun kontrak sekarang pun, saya tetap gembira.
“Semuanya bergantung pada pihak kelab. Saya bersedia buat keputusan demi kebaikan masa depan.”
Dalam perkembangan lain, Liverpool mengesahkan bekas pemain antarabangsa Belanda, Giovanni van Bronckhorst, akan menyertai barisan kejurulatihan sebagai penolong jurulatih kepada Arne Slot.
Van Bronckhorst menggantikan John Heitinga, yang telah meninggalkan kelab EPL itu untuk menjadi ketua jurulatih Ajax.
Bekas pemain Arsenal berusia 50 tahun itu sebelum ini pernah mengendalikan pasukan Scotland, Rangers, kelab Turkey, Besiktas, dan kelab Belanda, Feyenoord. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg