LONDON: Bekas pengurus Bayern, Thomas Tuchel, telah menandatangani persetujuan untuk menjadi pengurus baru skuad kebangsaan England, seperti yang dilaporkan media Britain pada 15 Oktober.
Ketua Eksekutif Persatuan Bola Sepak (FA), Mark Bullingham, akan menganjurkan sidang akhbar di Wembley pada 16 Oktober, apabila pelantikan pengurus asal Jerman berusia 51 tahun itu dijangka disahkan.
Tuchel akan menjadi pengurus asing ketiga skuad England tetapi yang pertama dari Jerman, musuh ketat England di padang.
Sven-Goran Eriksson dari Sweden dan Fabio Capello dari Italy turut memegang jawatan itu sebelumnya.
Terkenal dengan bola sepak progresifnya, Tuchel menggantikan Frank Lampard di Chelsea pada Januari 2021 dan membawa skuad itu merangkul kejuaraan Liga Juara-Juara musim tersebut, menewaskan Manchester City dalam final.
Lee Carsley, pengurus England bawah usia 21 tahun (U-21), telah mengurus sementara skuad senior England sejak peletakan jawatan Gareth Southgate, menyusuli kekalahan England kepada Sepanyol dalam final Euro 2024 pada Julai.
Carsley sempat dianggap sebagai pilihan untuk menggantikan Southgate secara sepenuh masa, tetapi kekalahan di tempat sendiri oleh Greece dalam Liga Negara-Negara pada 10 Oktober nampaknya telah menjejas peluangnya itu.
Ketika ditemui selepas kemenangan 3-1 ke atas Finland pada 13 Oktober, beliau berkata skuad itu “layak mendapat jurulatih bertaraf dunia yang memenangi trofi”.
Sebelum mengurus Bayern Munich, Tuchel berpengalaman mengurus kelab-kelab gergasi di Eropah dan membawa mereka ke pusingan terakhir hingga menjulang trofi.
Pada 2017, Tuchel berjaya memimpin Borussia Dortmund untuk menjuarai Bundesliga.
Mentaliti menjadi juara kemudian beliau bawa ke Paris Saint-Germain (PSG).
Di sana, Tuchel berjaya menjulang trofi Liga Perancis, Ligue 1 dua kali berturut-turut bersama pasukan yang berpusat di Parc de Princes itu pada 2019 dan 2020.
Tuchel kembali berjaya membawa PSG ke babak final, kali ini dalam Liga Juara-Juara 2020. Sayangnya kemenangan berpihak kepada Bayern Munich.
Akibat kekalahan melawan Bayern Munich, Tuchel dipecat oleh PSG dan bertolak ke England untuk menjadi pengurus Chelsea.
Tuchel berjaya menjuarai 14 pertandingan bersama Chelsea – satu rekod bagi kelab London Barat itu.
Namun, perkhidmatan beliau di Chelsea juga singkat.
Selepas pertandingan ke-100-nya di Chelsea, Tuchel dipecat setelah kalah kepada Dinamo Zagreb pada September 2022.
Tuchel kembali ke tanah air dan menjadi pengurus Bayern Munich pada musim 2023 hingga 2024.
Masanya di Bayern Munich juga pendek dan tidak berakhir dengan baik, kerana untuk kali pertama sejak 2012, Bayern Munich gagal menjadi juara Bundesliga.
England, yang tidak memenangi sebarang kejohanan sejak Piala Dunia 1966, mara ke separuh akhir Piala Dunia dan dua perlawanan akhir Euro 2024 di bawah kendalian Gareth Southgate.
Namun ia gagal menjadi juara walaupun diperkuat dengan skuad yang penuh dengan bakat bertaraf dunia.
Taktik Southgate sering mendapat kecaman dengan ramai yang menyifatkannya sebagai terlalu konservatif, dan tugas Tuchel adalah untuk memanfaatkan potensi serangan penuh seperti Jude Bellingham, Phil Foden dan penjaring rekod England, Harry Kane.
Beliau juga perlu berurusan di bawah pengawasan yang ketat dan mencabar dalam arena bola sepak. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg