Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ten Hag terus tertekan cari huraian jelang pertemuan dengan Aston Villa

Oct 4, 2024 | 10:41 AM
Erik ten Hag (kiri) bercakap dengan Johnny Evans (tengah) dan Harry Maguire di tepi padang semasa United bertemu FC Porto dalam Liga Europa pada 4 September.
Erik ten Hag (kiri) bercakap dengan Johnny Evans (tengah) dan Harry Maguire di tepi padang semasa United bertemu FC Porto dalam Liga Europa pada 4 September. - Foto REUTERS

MANCHESTER: Dengan perlawanan mencecah 90 minit, Erik ten Hag yang berada di ambang satu lagi kekalahan – kali keempat musim ini – bak tidak terkata, dan hanya mampu merenung ke padang.

Manchester United mensia-siakan kelebihan dua gol ke atas Porto dalam perlawanan di Estadio do Dragao, di Portugal dan kekalahan mungkin membuka pintu keluar lebih luas untuk ten Hag.

Mujur Harry Maguire, melompat paling tinggi dalam petak penalti Porto dan menanduk masuk gol yang menyamakan jaringan menjadi 3-3 dalam masa kecederaan.

United mengelak kekalahan yang boleh membunuh semangat, tetapi keputusan seri itu bak hanya melanjutkan penantian bagi ten Hag untuk dipecat.

Namun, ten Hag berjaya menunjukkan wajah yang berani semasa bertemu media di akhir perlawanan.

“Kami akan meraih keputusan yang dimahukan,” kata ten Hag, menjawab soalan TNT Sports apabila ditanya bagaimanakah beliau akan memimpin United bangkit daripada rentetan keputusan mengecewakan.

“Usah adili kami di saat ini. Adili kami di akhir musim. Kini kami sedang dalam proses memperbaiki permainan.

“Kami telah melalui dua musim dan kami melangkah ke final. Kami akan terus berjuang,” kata beliau.

United, pada masa ini, tersungkur ke tangga ke-13 dalam Liga Perdana England (EPL), selepas tewas dua perlawanan berturut-turut di Old Trafford, 0-3 kepada Tottenham Hotspur pada 29 September dan pada 1 September kepada Liverpool dengan jaringan yang sama sebelum itu.

“Anda lihat semangat pasukan dan hubungan yang ditunjukkan antara kakitangan dengan pasukan,” kata ten Hag.

“Pemain bersatu hati dan mereka ingin mencapai sesuatu. Kami punyai kekuatan mental, tetapi perlu pertingkat permainan, terutama semasa bertahan.

“Tidak lama dulu, kami pernah mempertahan gawang dalam tiga perlawanan… kini kami perlu bangkit semula dan kembalikan ‘form’ itu,” ujar ten Hag lagi.

Sikap positif yang ditunjukkan ten Hag dan pemainnya mungkin boleh dikagumi, tetapi statistik menunjukkan mereka perlu lebih prihatin, sekurang-kurangnya di balik tabir.

Sejak beliau menyertai United, tiada kelab EPL lain lebih banyak dibolosi dengan tiga gol atau lebih dalam sesuatu perlawanan berbanding United yang telah melepaskan tiga gol dalam 24 perlawanan.

Dalam 62 perlawanan yang telah dimainkan oleh United sejak permulaan musim lalu, United melepaskan gol 31 kali – paling banyak dalam kalangan kelab EPL.

United telah berjaya mempertahankan gawang daripada dibolosi dalam empat perlawanan musim ini.

Tetapi ia juga melepaskan sekurang-kurangnya dua gol setiap dua perlawanan – perangkaan kurang optimal bagi pasukan yang mahu bersaing di peringkat tertinggi dalam pertandingan domestik dan di Eropah.

Ini bermakna, walaupun United menjaringkan tiga gol setiap perlawanan dalam empat perlawanan terakhir di Eropah, ia masih belum mengecapi kemenangan dan telah tewas dua kali.

Keputusan seri dengan Porto adalah satu lagi contoh ‘tabiat’ buruk di mana United mensia-siakan kelebihan gol pada awal perlawanan.

Pasukan bergelar Red Devils itu kini melalui lima perlawanan tanpa kemenangan dalam pertandingan di Eropah, walaupun mendahului lawan dengan dua gol dalam tiga perlawanan tersebut.

Malah, United gagal memenangi semua empat perlawanan terakhir di Eropah, walapun mendahului dua gol.

Rekod itu bermakna ten Hag berdepan dengan penyokong yang kian tidak yakin dengan keupayaannya dan tekanan yang bertambah semasa United bertandang ke Aston Villa pada 6 Oktober.

Sebahagian pengamat bola sepak di England berkata tugas ten Hag di United ‘selamat’ kerana United kekurangan wang untuk menarik pengurus ‘nama besar’ ke sana.

Buat masa ini, ia kekurangan pilihan untuk menggantikan ten Hag.

Penulis kanan di ESPN, Mark Ogden, berkata: 

“Saya amat terkejut jika beliau dipecat kerana wang adalah satu isu di United pada masa ini. United berharap beliau boleh mengubah nasib.

“Pada masa yang sama, kelakonan pemain United pada masa ini seolah-olah mereka tidak berapa suka dengan ten Hag dan kini mereka keliru dengan corak permainan yang dimahukannya.

“Bagi saya, ten Hag tidak mempunyai keupayaan khas untuk mengurus pemain di kelab besar seperti United.”

Cabaran yang dihadapi ten Hag di Villa Park adalah besar menjelang pertemuan dengan Aston Villa, terutama selepas kelab itu menundukkan Bayern Munich dalam Liga Juara-Juara Eropah.

Namun beliau perlu pantas bangkit untuk menghadapi ujian tersebut.

“Tahap kesabaran pemilik United mungkin diuji jika United tewas lagi hujung minggu ini,” kata Owen Hargreaves, bekas pemain England dan United. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg