Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Brighton, Forest terlepas peluang duduki 4 tangga teratas

Sep 23, 2024 | 2:53 PM
Penyerang Danny Welbeck meraikan gol sepakan percumanya untuk meletak Brighton & Hove Albion di hadapan ketika menentang Nottingham Forest di Stadium Amex pada 22 September.
Penyerang Danny Welbeck meraikan gol sepakan percumanya untuk meletak Brighton & Hove Albion di hadapan ketika menentang Nottingham Forest di Stadium Amex pada 22 September. - Foto REUTERS

LONDON: Kededua Brighton & Hove Albion dan Nottingham Forest terlepas peluang untuk menduduki empat tangga teratas dalam Liga Perdana England (EPL) selepas mereka seri 2-2 di Stadium Amex pada 22 September.

Sejauh ini Brighton dan Forest kekal belum tewas dengan sembilan mata selepas dua kemenangan dan tiga seri. Brighton menduduki tempat tujuh, manakala Forest menduduki tempat lapan.

Pemain tengah Brighton, Jack Hinshelwood, yang menjaringkan salah satu gol dalam perlawanan yang berakhir dengan seri itu, berkata:

“Saya sangat kecewa. Kami mempunyai peluang untuk menjadikan kedudukan 3-1. Kami harus lebih tabah, terutama untuk gol kedua.

“Kami perlu membuatnya sukar untuk pihak lawan mengutip mata ketika menentang kami. Sebaik sahaja kami mendahului perlawanan, kami tidak sepatutnya kehilangan mata di tempat sendiri.”

Forest membuka tirai jaringan pada minit ke-13 menerusi sepakan penalti.

Pemain sayap Forest, Callum Hudson-Odoi, telah dikasari di dalam kotak penalti oleh pemain tengah Brighton, Carlos Baleba.

Pemain serangan Chris Wood, yang merupakan penjaring terbanyak Forest musim lalu dengan 15 gol, menjaringkan penalti itu, dan kini mempunyai tiga gol daripada lima perlawanan musim ini.

Warga New Zealand itu, yang kali terakhir gagal menjaringkan penalti pada April 2016, memberitahu saluran media:

“Ia sentiasa baik untuk mendapatkan sesuatu daripada perlawanan apabila bermain di tempat lawan dalam EPL. Adalah sukar untuk bermain di (stadium) Brighton, mereka adalah pasukan yang baik. Kami berhak mendapat mata.”

Tetapi Brighton kemudian berjaya menggegarkan suasana di Stadium Amex dalam hanya empat minit sebelum separuh masa pertama tamat.

Hantaran silang daripada bek tengah, Jan Paul van Hecke, pada minit ke-42 jatuh kepada Hinshelwood di dalam kotak penalti, dan remaja England itu menanduk masuk bola melepasi gawang Forest yang dihadang Matz Sels.

Pada saat-saat terakhir separuh masa pertama, Danny Welbeck menjaringkan gol ke-70nya dalam EPL, yang juga gol pertamanya hasil jaringan sepakan percuma, selepas bek kanan Forest, Ola Aina, mengasari pemain sayap Brighton, Kaoru Mitoma, di luar kotak penalti.

Gol Welbeck juga merupakan gol daripada sepakan percuma keempat Brighton dalam sejarah EPL. Kesemuanya dijaringkan pemain berbeza – Pascal Gross, Alexis Mac Allister, Lewis Dunk dan Welbeck.

Ini mendorong pengurus Forest, Nuno Espirito Santo, untuk menggantikan James Ward-Prowse, Alex Moreno dan Anthony Elanga pada permulaan separuh masa kedua dengan Neco Williams, Jota Silva dan Ryan Yates.

Penggantian itu membuahkan hasil apabila Forest menyamakan kedudukan 20 minit sebelum tamat perlawanan menerusi serangan balas.

Hantaran daripada naib kapten Forest, Morgan Gibbs-White, jatuh ke kaki Silva dan beliau membuat hantaran kepada pemain gantian, Ramon Sosa, yang kemudian menjaringkan gol kedua Forest.

Namun, 13 minit kemudian, Gibbs-White dilayangkan kad kuning keduanya kerana mengasari Joao Pedro, dengan keputusan itu menimbulkan kemarahan Nuno.

Kededua Nuno dan pengurus Brighton, Fabian Hurzeler, dilayangkan kad merah disebabkan “tingkah laku mereka yang tidak boleh diterima di dalam kawasan teknikal”. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg