Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bekas pengurus pasukan Singa, Omar Ibrahim, meninggal dunia

Allahyarham hidap barah pankreas, berada dalam jagaan paliatif sejak Ogos
Oct 30, 2024 | 3:26 PM
(Dari kiri) Jurulatih bola sepak Singapura, Douglas Moore, kapten Fandi Ahmad dan pengurus pasukan Omar Ibrahim pamerkan Piala Malaysia di hadapan peminat di Stadium Nasional untuk menyambut kepulangan pasukan, pada 18 Disember 1994.
(Dari kiri) Jurulatih bola sepak Singapura, Douglas Moore, kapten Fandi Ahmad dan pengurus pasukan Omar Ibrahim pamerkan Piala Malaysia di hadapan peminat di Stadium Nasional untuk menyambut kepulangan pasukan, pada 18 Disember 1994. - Foto fail

Pengurus pasukan Singa yang paling lama berkhidmat, Omar Ibrahim, meninggal dunia pada 29 Oktober.

Berusia 81 tahun, Allahyarham menghidapi barah pankreas peringkat keempat dan berada dalam penjagaan paliatif sejak Ogos.

Menurut laporan The Straits Times (ST), beliau meninggalkan isterinya selama 57 tahun, Cik Hasiah Sarbini, dua anak perempuan iaitu Cik Juliana dan Cik Fariha yang berkahwin dengan bekas pemain nasional Kadir Yahaya, dua cucu iaitu Encik lliya Izzudin dan Cik Liyana Izyan serta suaminya, Encik Nur Hadi.

Persiapan pengebumian dilakukan di Masjid Pusara Aman pada 30 Oktober sebelum dikebumikan di tanah perkuburan Islam Choa Chu Kang.

Allahyarham juga merupakan antara pengurus pasukan Singa terunggul dalam tempoh 18 tahun, apabila pasukan yang diuruskannya menang Liga Malaysia dan Piala Malaysia berganda pada 1994, serta kejohanan Persekutuan Bola Sepak Asean 1998 yang merupakan kejuaraan antarabangsa utama Singapura yang pertama.

“Yang diperlukan untuk kejayaan adalah disiplin, dedikasi dan tekad dari semua pihak” adalah mantera pegangannya.

Allahyarham, yang mesra dan ceria, juga menguruskan pasukan negara di lima acara Sukan SEA, dengan mereka meraih pingat perak pada 1985 dan gangsa pada 1993, namun pulang tanpa sebarang pingat pada 1987, 1997 dan 1999.

Beliau meninggalkan dunia bola sepak pada 1988 untuk memberi tumpuan kepada tugasannya sebagai Penolong Pesuruhjaya di Kementerian Alam Sekitar, sebelum kembali kepada dunia bola sepak pada 1992.

Tiga tahun kemudian, beliau meletak jawatan sekali lagi pada 1995 untuk beberapa tahun demi meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga.

Bekas kapten Singa dan legenda bola sepak negara, Fandi Ahmad, berkata:

“Saya mengenali beliau sejak usia saya sembilan tahun kerana beliau rakan baik bapa saya – penjaga gawang nasional Ahmad Wartam – semasa menguruskan pasukan Melayu Singapura, dan saya sering pergi ke rumah beliau. Beliau juga pengurus semasa saya dipanggil menyertai pasukan pada usia 15 tahun.

“Beliau seorang yang sangat berdisiplin dan fokus kepada tugas dan menetapkan standard yang tinggi untuk semua orang dalam pasukan. Walaupun beliau tegas apabila ada kerja yang perlu dilakukan, beliau juga suka berjenaka di luar bola sepak dan kami semua seronok bersamanya. Pemergian beliau amat dirasai,” kongsi Fandi.

Penglibatan Allahyarham dalam bola sepak tempatan bermula pada 1970-an apabila beliau menjadi pegawai utama pasukan bola sepak Melayu Singapura, yang ketika itu menyertai kejohanan Piala Emas Raja-Raja kendalian Malaysia.

Beliau kemudian berkhidmat di bawah lima presiden Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) – Teo Chong Tee, Abbas Abu Amin, Hsu Tse-Kwang, Ibrahim Othman dan Mah Bow Tan – dalam pelbagai jawatan seperti, dengan kata-kata sendiri, “seorang pegawai perhubungan, pegawai jawatankuasa kejohanan, anggota majlis dan pesuruhjaya perlawanan”.

Pengalaman pertamanya sebagai pengurus pasukan nasional adalah pada 1983, dengan beliau menyokong jurulatih nasional seperti Hussain Aljunied, Seak Poh Leong, Milous Kvacek, P. N. Sivaji, Ken Worden, Douglas Moore, Barry Whitbread dan Vincent Subramaniam sehingga 2001, apabila beliau memutuskan untuk bersara.

Di luar padang, ahli keluarga mengingati beliau sebagai seorang yang penyayang.

Cucu Allahyarham, Encik Illiya, 27 tahun, berkata:

“Ketika saya lebih muda, beliau akan menidurkan saya dan menghantar saya ke sekolah atau bertemu rakan-rakan. Beliau juga mengajar saya bola sepak dan silat. Saya akan amat merinduinya.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg