LONDON: Bekas penjaga gawang Aston Villa, Nigel Spink, merenung semula malam bersejarah buat kelab England itu.
Berusia 23 tahun pada masa itu, beliau hanya bermain sekali sahaja untuk Aston Villa – lebih dua tahun lalu sebelum itu – dan tidak menyangka dapat bermain dalam perlawanan paling bersejarah kelab tersebut.
Suasana agak senyap di dalam bas semasa perjalanan untuk menentang Bayern Munich dalam Piala Eropah 1982 di Rotterdam, dengan pemain semua memberi tumpuan sepenuhnya kepada perlawanan yang akan datang.
“Saya ingat semua pemain dengan pakaian baru mereka dan sambil mendengar muzik menggunakan Sony Walkman baru mereka,” kongsi Spink.
“Psikologi tidak dititikberatkan sangat waktu itu, saya dengar lagu kerana saya ingin mendengar sahaja lagu.
“Saya tidak fikir ‘Oh ya, itu akan membuat saya tenang’, kerana saya tidak gementar. Saya tidak fikir saya akan bermain, jadi saya tidak gelisah,” tambahnya.
Namun, selepas hanya sembilan minit, penjaga gawang Villa, Jimmy Rimmer, cedera dan terpaksa digantikan oleh Spink, yang bermain buat kali pertama sejak kekalahan 1-2 kepada Nottingham Forest pada 26 Disember 1979.
“Untuk beberapa minit ada kekacauan dalam diri saya bahawa saya akan dimasukkan ke padang, tetapi perlawanan bermula semula dan saya tidak fikirkan perkara itu.
“Saya hanya ingat ia malam yang kering dan bola dapat dipegang dengan selesa pada sarung tangan saya,” kongsi Spink kepada pihak media.
Pada minit ke-67, Spink menyaksikan jaringan kemenangan Peter Withe hasil hantaran Tony Morley – dan ia mencetuskan sambutan meriah di Villa Park.
Aston Villa berjaya bertahan dan memperolehi kemenangan ke atas Bayern Munich dan merangkul Piala Eropah malam itu.
Sejak detik itu, Spink membuat 468 penampilan untuk Villa.
Kini lebih 40 tahun kemudian, Villa berdepan dengan Bayern Munich di Liga Juara-Juara pada 3 Oktober 2024.
Kemenangan 3-0 ke atas Young Boys menandakan permulaan kempen Liga Juara-Juara Villa dengan hebat, tetapi menentang enam kali juara (Bayern) merupakan cabaran pada tahap berlainan.
Pasukan bimbingan, Vincent Kompany, belum ditewaskan pada musim ini dan telah menjaringkan sembilan gol menentang Dinamo Zagreb pada 18 September.
Tetapi, Villa sekali lagi berjaya mendapatkan kemenangan 1-0 atas Bayern hasil jaringan Jhon Duran.
Sementara itu, pasukan 1982 Villa telah diundang ke Villa Park untuk menyambut kejayaan Eropah mereka.
Namun, terdapat juga rasa sedih dengan berita tentang pemergian bekas penyerang berbakat Villa, Gary Shaw, yang masih segar dalam ingatan pemain dan penyokong Villa.
Bekas pemain berusia 63 tahun itu meninggal akibat terjatuh di rumah.
Shaw menjaringkan dua gol dalam kemenangan 2-0 pusingan pertama Liga Juara-Juara 1982 di Valur, Iceland, dan menjaringkan gol dalam kemenangan agregat suku akhir 2-0 ke atas Dynamo Kyiv.
Perlawanan Kyiv berlangsung hanya sebulan selepas pengurus Ron Saunders berhenti, berikutan perselisihan faham dengan lembaga pengarah Villa, dan ketua peninjau, Tony Barton, mengambil alih buat baki musim itu.
Barton mendapat kepercayaan skuad yang memujinya kerana mengekalkan kesinambungan pasukan itu.
“Saya tidak sangka perkara itu. Saya tidak menyedari masalah yang dihadapi oleh Ron dengan lembaga pengarah kita,” kata Spink.
“Beliau ingin meningkatkan skuad sejak memenangi kejuaraan (pada 1981) dan meneruskannya. Namun, ia tidak berhasil.”
“Ia merupakan satu kejutan apabila beliau pergi, tetapi Tony kekalkan segala-galanya.
“Pemain senior juga memainkan peranan, mengawal semua orang, dan Tony terus berlatih dan mengatur pasukan, seperti yang dilakukan oleh Saunders.
“Itulah sebabnya semuanya tetap berkekalan,” tambah beliau.
Namun, ketiadaan Saunders, yang telah membimbing Villa untuk merangkul kejayaan hanya sembilan bulan sebelum itu, dapat dirasakan.
“Saya pergi ke rumahnya,” kongsi bekas pemain pertahanan Villa, Kenny Swain.
“Kami mendapatkan teksi untuk ke rumahnya, berikannya hadiah dan meletakkan nota kecil kepadanya yang berkata: ‘Terima kasih atas segala-galanya’.” – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg