Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Villa ulangi kejayaan terhebat 41 tahun lalu ketika atasi Bayern

Oct 3, 2024 | 3:37 PM
Jhon Duran meraikan kejayaan jaringkan gol kemenangan Aston Villa pada minit ke-79 bersama rakan sepasukan.
Jhon Duran meraikan kejayaan jaringkan gol kemenangan Aston Villa pada minit ke-79 bersama rakan sepasukan. - Foto REUTERS

LONDON: Bayern Munich tidak pernah kalah dalam perlawanan kumpulan Liga Juara-Juara sejak 2017 sehingga kekalahan 1-0 di tangan Aston Villa pada 2 Oktober, yang membayangkan era baru kegemilangan pasukan dari England itu di Eropah.

Villa mengembalikan semula nostagia kejayaan paling hebat mereka ketika menewaskan Bayern untuk menjulang Piala Eropah pada 1982 dalam perlawanan pertama mereka di peringkat elit serantau di padang sendiri selepas 41 tahun.

Nasib pasukan Liga Perdana England (EPL) itu telah berubah dalam tempoh kurang dua tahun sejak Unai Emery mengambil alih sebagai pengurus.

Beliau berjaya membebaskan Villa daripada bergelut dengan kemungkinan disingkirkan di bahagian bawah liga dan menempatkannya di tangga empat teratas musim lalu.

Putera William adalah antara lebih 40,000 peminat Villa yang memberi inspirasi kepada pasukan Emery untuk mengetepikan jurang luas dari segi pengalaman dan tampil dalam Liga Juara-Juara di antara kedua-dua pasukan itu.

Bakal Raja Britain itu juga adalah antara yang mengucapkan tahniah kepada Emery selepas perlawanan tersebut.

Kekalahan Bayern pada peringkat kumpulan sebelum ini – 41 perlawanan lalu – turut berlaku ketika Emery mengendalikan Paris Saint-Germain.

Emery memenangi tiga kejuaraan Liga Europa berturut-turut bersama Sevilla dari Sepanyol dan menjulang trofi pertandingan itu buat kali keempat dengan sebuah lagi kelab dari negara itu, Villarreal, pada 2021.

Selepas memimpin Villarreal lalu memenangi trofi utama dan pertamanya itu, beliau membawa pasukan tersebut ke separuh akhir Liga Juara-Juara dengan menyingkirkan Juventus dari Italy dan Bayern.

Villa kini meraih manfaat daripada keberkesanan taktik dan kemampuan Emery mengasah bakat pemainnya.

Musim lalu, Chelsea, Manchester United dan Tottenham Hotspur adalah antara pasukan berbajet lebih besar yang turut menjadi mangsa Villa dalam EPL.

Mereka turut menewaskan kedua-dua pesaing utama kejuaraan, Manchester City dan Arsenal 1-0, di Villa Park pada Disember.

Bayern, yang bertandang ke England dengan rekod jaringan menarik, menjadi mangsa ekoran kebijaksanaan dan taktik Emery, yang menyekat pasukan Jerman itu melalui permainan tersusun, dan jaringan cantik, Jhon Duran.

Pemain Colombia itu melambungkan bola melepasi penjaga gol, Manuel Neuer, 11 minit sebelum tamat perlawanan untuk menjaringkan gol kelimanya musim ini.

Penjaga gawang Villa, Emi Martinez, kemudian terpaksa menyelamatkan dua percubaan berbahaya Bayern, pada detik-detik akhir perlawanan.

“Ia satu pernyataan tetapi masih terdapat banyak perlawanan untuk dimainkan.

“Kami mahu melayakkan diri dalam kalangan lapan pasukan teratas,” kata Martinez, yang memenangi Piala Dunia bersama pasukan negaranya, Argentina.

Pada 1982, legenda Bayern Paul Breitner dan Karl-Heinz Rummenigge, adalah antara pemain yang terpegun dengan persembahan Villa di Rotterdam.

Lebih empat dekad kemudian, gergasi Jerman itu terpaksa mengalami nasib serupa pada suatu malam yang akan diingati bagi satu tempoh yang lama di kawasan Midlands England. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg