Bagi Mohamad Khailany Idris, laut bukan sekadar tempat bekerja, ia merupakan sebahagian besar dalam hidupnya.
Pada usia 42 tahun, bekas penyelam komersial itu membuat keputusan berani untuk meninggalkan kerjaya berisiko tinggi bagi mengejar impian yang lebih bermakna, memulakan perniagaan papan dayung berdiri (SUP) di Singapura.
Beliau memulakan perniagaannya, PaddleVibes.co, pada 2022, sejurus selepas sekatan wabak Covid-19 dilonggarkan.
Pada masa itu, warga Singapura cenderung mencari kegiatan luar rumah untuk kekal cergas dan menghilangkan tekanan.
SUP menjadi pilihan ideal dan unik.
Sukan SUP merupakan gabungan antara luncur ombak dengan kayak – peserta berdiri di atas papan terapung sambil mengayuh menggunakan dayung.
Berbeza dengan sukan luncur ombak yang memerlukan ombak yang besar, SUP boleh dilakukan di perairan tenang, menjadikannya sesuai untuk geografi perairan Singapura.
“Singapura dikelilingi laut. Tak ada ombak besar macam di Hawaii misalnya, jadi SUP sangat sesuai. Ia boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja, walaupun yang tak tahu berenang,” tambah beliau.
Pada awal pelancarannya, sambutan terhadap kegiatan itu sangat menggalakkan, didorong keinginan ramai untuk meneroka gaya hidup sihat selepas pandemik.
Namun kini, selepas hampir tiga tahun beroperasi, profil pelanggan telah berubah.
Jika dahulu kebanyakannya warga tempatan, kini pelanggan utamanya ialah pelancong dari China, India dan negara serantau lain.
“Sekarang lebih ramai pelancong. Orang Singapura masih ada, tapi kurang, dalam 10 hingga 20 peratus sahaja,” kata Khailany.
Khailany bukan sahaja mengendalikan kelas SUP – beliau juga aktif bertanding.
Pada 2022, beliau memenangi pingat emas dalam kategori 1 kilometer berpasukan, yang menyaksikan peserta menggunakan papan besar; di samping memperolehi pingat gangsa dalam acara pecut 200 meter, yang disertainya bersama anak perempuannya yang ketika itu berusia lapan tahun.
“Saya berdiri mendayung di belakang, anak saya duduk di depan dan turut sama mendayung. Bila dia dapat naik podium ambil pingat, saya rasa sangat bangga,” katanya.
Pada 2024, beliau menambah koleksi pialanya dengan dua pingat perak, dalam kategori perlumbaan satu kilometer teknikal dan pecut 200 meter.
Tahun ini (2025), Khailany bakal menyertai Siri Ke-11 Siri Perlumbaan SUP Singapura 2025 yang dijadual berlangsung pada 24 dan 25 Mei di Kelab Sukan Laut Constant Wind, tempat beliau bertugas sebagai jurulatih bebas sejak 2022.
Selain aspek persaingan, Khailany menekankan kelebihan SUP dari segi kesihatan fizikal dan mental, dan ramai yang menyertai SUP sebagai kegiatan riadah.
“Ramai yang tertekan dengan kerja, dengan kehidupan di bandar. Bila berada di tengah laut, dengan pandangan luas dan udara segar, rasa tenang,” katanya.
Menurutnya, SUP sesuai untuk semua peringkat umur – daripada kanak-kanak hingga kepada warga emas.
Malah, jurulatih beliau, Tony Lee, yang kini berusia 65 tahun, masih aktif mendayung, dan seorang pelanggannya yang berusia 76 tahun yang memerlukan alat perentak jantung turut menikmati kegiatan itu dalam keadaan santai.
“SUP ni tidak semestinya memerlukan tenaga yang banyak, tak macam sukan berlari yang beri tekanan yang besar. Tapi ia masih boleh beri latihan intensif yang baik untuk jantung.”
Khailany turut berkongsi harapan agar sukan itu dapat diiktiraf pada peringkat antarabangsa seperti Sukan SEA dan Sukan Olimpik, meskipun kini masih berlaku perdebatan antara masyarakat sukan luncur air dan kayak mengenai badan induk rasmi sukan SUP.
“Kalau SUP masuk Olimpik, ia akan jadi motivasi besar bagi atlet muda. Saya mungkin dah lewat usia, tapi saya harap generasi muda, seperti rakan jurulatih saya, Wali, boleh pergi lebih jauh.”
Muhd Waliyuddin Nordin, 29 tahun, merupakan rakan rapat dan jurulatih muda SUP, dan disifatkan sebagai individu berdedikasi tinggi, meskipun kehidupannya serba sederhana.
Bagi yang masih ragu untuk mencuba, terutama mereka yang takut air, Khailany memberi jaminan bahawa keselamatan menjadi keutamaan.
“Di Singapura, ikut garis panduan, semua peserta wajib pakai jaket keselamatan. Saya juga ajar mengenai keyakinan dalam air dahulu sebelum naik papan.”
Beliau percaya, keberanian untuk mencuba sukan baru seperti SUP bukan sahaja membuka peluang menikmati keindahan alam, bahkan juga membawa perubahan positif kepada kesihatan dan kesejahteraan diri.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg