Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Belanda punyai pemain bermutu untuk tamatkan impian Romania

Jul 1, 2024 | 2:30 PM
Meskipun berdepan kritikan setelah gagal sempurnakan beberapa peluang gol keemasan, jurulatih Belanda, Ronald Koeman (kiri), tetap menaruh keyakinan ke atas penyerang Memphis Depay.
Meskipun berdepan kritikan setelah gagal sempurnakan beberapa peluang gol keemasan, jurulatih Belanda, Ronald Koeman (kiri), tetap menaruh keyakinan ke atas penyerang Memphis Depay. - Foto AFP

Pasukan Belanda merupakan pasukan pilihan untuk mara ke pusingan suku akhir, namun anak buah Ronald Koeman wajar mengambil berat ancaman Romania, yang telah menggamit imaginasi penykong ‘neutral’ menerusi persembahan mereka sejauh ini di kejohanan Euro 2024.

Pasukan pimpinan Edward Iordanescu muncul juara Kumpulan F untuk menempah perlawanan pusingan kalah mati menentang Belanda, yang mengakhiri pusingan kumpulan di tangga ketiga Kumpulan D, dan layak sebagai antara pasukan di tangga ketiga yang terbaik.

Dengan kejayaan mereka mara ke pusingan kalah mati di kejohanan kali ini di Jerman, Romania mengakhiri kemarau selama 24 tahun daripada pusingan kalah mati sebuah kejohanan utama.

Kali terakhir Romania berjaya mara dari pusingan kumpulan ialah dalam kejohanan Eropah 2000.

“Ini adalah detik bersejarah, detik membanggakan. Namun, kami terutama pemain tidak lagi memikirkan perkara ini,” kata Iordanescu.

“Yang penting hanyalah setelah kami berjaya ke peringkat ini sekarang, apakah yang dapat kami capai selepas ini,” ujar beliau.

Iordanescu berkata pasukan Belanda jelas adalah pasukan pilihan. Dan bagaimana mereka layak ke peringkat kalah mati - iaitu sebagai antara pasukan di tangga ketiga kumpulan terbaik - tidak harus menjadi perhitungan.

“Mereka mempunyai pasukan yang lengkap. Di setiap posisi, Koeman mempunyai pemain bertaraf dunia. Kami harus bermain di tahap tertinggi untuk menyaingi Belanda,” ujar Iordanescu lagi.

Iordanescu mungkin tidak mahu meningkatkan jangkaan ramai, namun hakikatnya Romania telah pamerkan mutu yang mencukupi untuk menyaingi Belanda.

Pasukan Belanda, yang dikenali dengan gelaran Oranje telah memenangi 10 daripada 14 perlawanan menentang Romania, dan hanya kalah satu kali.

Bagaimanapun dalam perlawanan di Stadium Allianz Arena, di Munich pada 2 Julai, 12 tengah malam (waktu Singapura), rekod tersebut tidak membawa sebarang pengertian.

Perkara ini turut diakui Koeman: “Ini adalah pusingan kalah mati kejohanan Eropah 2024. Sejarah tidak mempunyai apa-apa kesan kepada keputusan hari ini,” tegasnya.

Koeman bagaimanapun dapat menurunkan kesebelasan utama terkuatnya, dengan skuad Belanda bebas kecederaan mahupun penggantungan akibat kad kuning.

Barisan tenaga penggempur Belanda sekali lagi akan menampilkan Jeremie Frimpong, Memphis Depay dan Cody Gakpo.

Meskipun terdapat sesetengah pihak yang mengkritik Depay kerana gagal menyempurnakan beberapa peluang jaringan, namun pemain tersebut tetap memiliki keyakinan Koeman.

Bagi saya, di barisan serangan ialah di mana terletaknya kelemahan Belanda.

Pasukan itu tidak mempunyai penyerang ‘Nombor 9’ semula jadi dengan ketiga-tiga penyerang termasuk Depay, lebih selesa bergerak di bahagian sayap.

Lantaran itulah, meskipun banyak merintis peluang jaringan, namun pemain seperti Depay, Frimpong dan Gakpo bukanlah penyudah semula jadi, seperti penyerang legenda-legenda Belanda sebelum ini termasuk Marco Van Basten, Patrick Kluivert, Ruud Van Nistelrooy dan Robin Van Persie.

Meskipun demikian, pemain yang dimiliki Belanda di bahagian midfield dan terutama di barisan pertahanan bermakna pasukan Koeman itu mempunyai cukup mutu untuk menamatkan impian Romania.

Ramalan saya: Belanda 2 Romania 0.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg