Dalam sidang media sebelum perlawanan pusingan kalah mati menentang Slovakia, jurulatih England, Gareth Southgate berkata beliau prihatin untuk tidak melakukan terlalu banyak perubahan yang boleh menjejas keyakinan dan kestabilan pasukannya.
Ini setelah beliau tertekan dek persembahan hambar England dalam pusingan kumpulan dengan rekod satu menang dan dua seri, dan hanya menjaringkan dua gol, meskipun keputusan itu tetap membolehkan England mara sebagai juara kumpulan.
Namun, dengan England - yang merupakan pasukan pilihan ramai untuk juarai Euro 2024 dan yang tewas menerusi tendangan penalti dalam perlawanan akhir kejohanan Euro yang lalu - hampir-hampir tersingkir dalam perlawanan menentang Slovakia, pastinya Southgate harus akur ada masanya jurulatih harus membuat keputusan sukar.
Sepanjang 95-minit perlawanan di Stadium Arena AufSchalke pada 1 Julai (12 tengah malam waktu Singapura), England menunjukkan simptom yang sama yang menghantui mereka sepanjang tiga perlawanan kumpulan.
Menentang pasukan yang menduduki 40 tangga lebih rendah dari mereka dalam rangking Fifa, England terkial-kial menunjukkan sebarang rentak permainan yang positif.
Pemain muda, Kobbie Mainoo, yang merupakan satu-satunya perubahan yang diperkenalkan Southgate, bertindak cemerlang di bahagian midfield, namun masalah England jelas bukan hanya berpunca dari kelemahan midfield.
Dua pemain sayap - Phil Foden dan Bukayo Saka - tenggelam dalam rentak permainan yang kekal kompak semasa bertahan, dan melancarkan serangan balas yang pantas - antaranya berkesudahan dengan gol jaringan Ivan Schranz pada minit ke-25.
England tampak lebih bertenaga selepas Cole Palmer diperkenalkan menggantikan Kieran Trippier, yang cedera, pada minit ke-66.
Eberechi Eze yang diperkenalkan pada minit ke-84 menggantikan Mainoo juga memberi tenaga penggempur England kelebihan dengan kesungguhannya menggelecek bola, menyerang pemain bek-kanan Slovakia sebelum melancarkan cross atau hantaran silang ke dalam kotak penalty.
Malah, keputusan Southgate memasukkan Ivan Toney pada minit ke-94, hanya dua minit sebelum berakhirnya masa tambahan, juga memberikan kelainan yang diperlukan dalam 30-minit masa tambahan setelah kededua pasukan terikat 1-1 selepas 90-minit, hasil jaringan cantik Jude Bellingham pada minit ke-95.
Sepanjang tempoh masa tambahan, Toney memberi dimensi berbeza di barisan serangan England dengan kebolehan fizikalnya sekali gus memastikan benteng pertahanan Slovakia tidak dapat menyertai serangan pasukan mereka dalam memburu gol penyamaan setelah Harry Kane menjaringkan gol kedua England.
Justeru, babak-babak terakhir perlawanan menentang Slovakia, yang menyelamatkan England daripada nasib memalukan tersingkir dari kejohanan Euro 2024 di peringkat kalah mati, perlu menjadi detik kesedaran bagi Southgate bahawa dalam keadaan tertentu, jurulatih harus mencerminkan semangat keberanian untuk memacu kejayaan pasukan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg