Topik diikuti
Pergi ke BHkuBelgium buktikan ‘keadilan’ di atas padang, singkir AS di sebalik skandal Balogun
Belgium buktikan ‘keadilan’ di atas padang, singkir AS di sebalik skandal Balogun
Kuasai sejak awal untuk benam tuan rumah 4-1, kesemua tiga negara penganjur bersama kini tersingkir
Belgium buktikan ‘keadilan’ di atas padang, singkir AS di sebalik skandal Balogun
SEATTLE: Pemain tengah Belgium, Nicolas Raskin, menyifatkan kemenangan 4-1 pasukannya ke atas Amerika Syarikat dalam aksi pusingan 16 terakhir Piala Dunia pada 6 Julai (7 Julai waktu Singapura) sebagai satu bentuk keadilan.
Ini menyusuli keputusan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) membenarkan penyerang Amerika, Folarin Balogun, beraksi meskipun telah dilayangkan kad merah dalam perlawanan pada 1 Julai.
Balogun sebelum ini dibuang padang ketika menentang Bosnia dan Herzegovina dalam pusingan 32 terakhir.
Meskipun hukuman berkenaan lazimnya membawa kepada penggantungan automatik satu perlawanan, Fifa menangguhkan sekatan tersebut di bawah Perkara 27 Kod Disiplin selepas Presiden Amerika, Donald Trump, meminta Presiden Fifa, Gianni Infantino, menyemak semula kes berkenaan.
Infantino menegaskan bahawa badan kehakiman Fifa beroperasi secara “bebas dan berautonomi” dan beliau telah memaklumkan kepada Trump bahawa kes Balogun itu tertakluk kepada proses undang-undang yang sedang berjalan.
Jawatankuasa disiplin Fifa pula berkata mereka mempunyai kuasa untuk menangguhkan penggantungan satu perlawanan tersebut.
Keputusan tersebut telah mencetuskan kritikan meluas, termasuk daripada Persekutuan Bola Sepak Belgium yang gagal dalam rayuannya bagi mencabar kelayakan Balogun beberapa jam sebelum perlawanan itu bermula.
Namun, Belgium tidak membiarkan kontroversi tersebut menjejas prestasi mereka di atas padang, dengan berjaya melangkah ke suku akhir selepas menewaskan pasukan tuan rumah 4-1.
“Seperti yang saya katakan, saya percaya keadilan akan sentiasa ada dalam hidup. Hakikat bahawa perkara sedemikian boleh berlaku (penggantungan Balogun ditarik balik), anda boleh katakan apa sahaja, tetapi kami tetap anggap ia tidak adil,” kata Raskin kepada media.
“Dan hari ini, saya rasa ia membawa sedikit tuah kepada kami. Kami perlu menang perlawanan ini dan menyampaikan mesej yang jelas.”
Akaun Instagram pasukan Belgium turut memuat naik foto Romelu Lukaku yang sedang meraikan gol keempat pasukan dengan kapsyen: “Batalkan yang ini pula.”
Perlawanan pada 6 Julai itu jelas dikuasai Belgium.
Pasukan itu mendahului seawal minit kesembilan apabila hantaran lintang Nicolas Raskin di depan gawang ditolak masuk dengan mudah oleh Charles De Ketelaere.
Pasukan tuan rumah menyamai kedudukan pada minit ke-31 selepas sepakan percuma Malik Tillman terkena pemain Belgium, Hans Vanaken, sebelum melepasi garisan gol.
Namun, gergasi Eropah itu kembali menguasai permainan dua minit kemudian menerusi tandukan De Ketelaere yang menyambut hantaran silang Leandro Trossard.
Memasuki separuh masa kedua, Belgium dihadiahkan gol ketiga apabila De Ketelaere berjaya merampas bola daripada penjaga gol Amerika, Matt Freese, yang terleka sejenak, sebelum Vanaken melepaskan rembatan ke penjuru gawang dari luar kotak penalti.
Pada minit ke-93, pemain ganti, Romelu Lukaku, melengkapkan kemenangan bergaya Belgium dengan gol keempat menerusi rembatan rendah dari sudut ke penjuru tiang.
Dalam sidang media selepas perlawanan itu, jurulatih Belgium, Rudi Garcia, enggan memperbesarkan isu penarikan balik penggantungan Balogun, apabila ditanya sama ada kontroversi itu membakar semangat pemainnya.
“Tidak, ia tidak penting... apa yang benar-benar penting buat kami ialah pelan permainan kami,” katanya sambil menambah bahawa beliau sempat berbual dengan Balogun selepas wisel penamat dibunyikan.
“Beliau datang berbual dengan saya, saya sangat suka (tindakannya),” kata Garcia.
“Bukan salah beliau, bukan Balogun yang harus dipersalahkan dan itu yang saya katakan kepadanya.”
Kekalahan Amerika itu menyaksikan kesemua tiga negara penganjur bersama Piala Dunia 2026 tersingkir daripada kejohanan, menyusuli kekalahan Mexico 2-3 kepada England pada 5 Julai, dan Canada tewas 3-0 kepada Maghribi pada 4 Julai.
Belgium bakal menentang Sepanyol dalam aksi lapan terakhir di Los Angeles pada 10 Julai (11 Julai waktu Singapura) selepas juara Eropah itu menewaskan Portugal 1-0 pada 6 Julai. – Agensi berita.
