Topik diikuti
Pergi ke BHkuHaaland tidak pernah impikan dapat tewaskan Brazil
Haaland tidak pernah impikan dapat tewaskan Brazil
Sentuhan Ancelotti juga berakhir dengan kekecewaan bagi juara dunia lima kali
Haaland tidak pernah impikan dapat tewaskan Brazil
NEW JERSEY (Amerika Syarikat): Penyerang sensasi Norway, Erling Haaland, menyifatkan kemenangan 2-1 ke atas Brazil pada pusingan 16 pasukan terakhir Piala Dunia pada 5 Julai sebagai sesuatu yang “tidak pernah diimpikannya”.
Haaland menjaringkan kedua-dua gol pada separuh masa kedua bagi membawa Norway mara ke suku akhir buat kali pertama, selain menjadikan jumlah gol jaringannya di Piala Dunia ini kepada tujuh gol sejauh ini.
Buat masa ini, Haaland, Lionel Messi dan Kylian Mbappe terikat dengan tujuh gol dalam persaingan merebut anugerah But Emas.
“Saya seakan tidak percaya kerana tidak pernah mengimpikan perkara ini seumur hidup saya,” kata Haaland.
Sementara itu, Brazil menghabiskan masa selama tiga tahun memburu Carlo Ancelotti seolah-olah ketua jurulatih asal Italy itu memegang ‘kunci ajaib’ bagi peluang kemenangan Piala Dunia kali keenam mereka.
Namun, kekalahan terbaru kepada Norway di New Jersey memberi peringatan penting kepada juara dunia lima kali itu.
Brazil kini sedar bahawa pengurus hebat dalam arena bola sepak kelab sekalipun tidak mampu melakukan keajaiban bagi pasukan yang dibina bersandarkan harapan, kenangan dan barisan pemain yang jelas kepenatan.
Kemerosotan pasukan negara Italy sejak kebelakangan ini menjadi satu amaran bahawa jika sesebuah negara gagal mentadbir pasukan bola sepaknya dengan baik, mereka boleh ketinggalan dengan begitu pantas.
Tindakan ‘memburu’ Ancelotti dalam tempoh lama ketika beliau masih menguruskan Real Madrid menyebabkan skuad kebangsaan Brazil terumbang-ambing di bawah kendalian tiga pengurus sementara.
Sebaik sahaja beliau mengambil alih, sudah tiada jalan mudah untuk keluar daripada kemelut berkenaan. Masa setahun sememangnya tidak cukup untuk memulihkan ‘kerosakan’ akibat pengabaian selama tiga tahun.
Ancelotti mungkin antara pengurus paling banyak meraih kejuaraan dalam sejarah bola sepak, namun Piala Dunia kali ini membuktikan beliau juga hanya manusia biasa.
Beberapa keputusan besar yang dilakukan beliau dalam pemilihan pemain merupakan antara sebab kekalahan Brazil, dan ini termasuk tindakan beliau mempercayai barisan pemain veteran yang jelas sudah melepasi zaman kegemilangan mereka.
Casemiro, Danilo dan Neymar masing-masing merupakan nama besar yang sangat berpengalaman, namun kemerosotan prestasi trio yang sebaya (34 tahun) itu jelas terserlah berbanding barisan pemain Norway yang lebih bersemangat dan bertenaga.
Kedua-dua gol Norway bermula daripada gerakan pemain sayap kiri, Andreas Schjelderup, yang masuk ke padang daripada bangku simpanan membawa tenaga luar biasa – sesuatu yang jelas kekurangan dalam skuad Brazil.
Danilo diarah beraksi di posisi pertahanan kanan, peranan yang sudah bertahun-tahun tidak dipikulnya secara kerap. Sebaliknya beliau lebih banyak diturunkan sebagai pemain pertahanan tengah untuk kelabnya di Brazil, Flamengo.
Percaturan tersebut jelas merupakan satu kesilapan.
Schjelderup kerap mengasak ke arah Danilo dengan penuh keyakinan, manakala pemain itu pula kelihatan tersepit tanpa jalan keluar.
Casemiro juga berdepan masalah sama.
Beliau bergelut menyekat kepantasan pihak lawan, kerap melakukan kesilapan dalam hantaran, dengan cuaca panas terik di New Jersey menambah tekanan kepada pemain yang jelas keletihan itu.
Kemudian, Neymar dimasukkan ke padang lewat ketika perlawanan masih terikat tanpa gol, tatkala Brazil sangat memerlukan dorongan.
Beliau berjaya menjaringkan satu gol menerusi sepakan penalti pada masa kecederaan, namun ia sekadar satu sagu hati dan gagal menyelamatkan pasukan daripada kekalahan.
Masalah utamanya terletak pada perkara yang berlaku sebelum gol itu dijaringkan.
Hakikatnya, Neymar tiba di kejohanan ini dengan kecederaan, kurang memberikan impak, gagal melakukan kejutan besar, dan kehilangan kepantasan yang dahulunya menjadikan beliau antara penyerang paling digeruni dalam dunia bola sepak.
Dengan pergerakan yang perlahan, mudah dibaca dan kurang semangat, kelibat Neymar kelihatan amat hambar jika dibandingkan dengan kehebatan yang pernah dipamerkannya suatu ketika dahulu.
Jika perancangan asal Brazil adalah untuk mempersiapkan generasi baru menjelang Piala Dunia 2030, maka keputusan dan pilihan yang dibuat mereka ketika ini pastinya semakin sukar untuk diterima. – Reuters.
Keputusan perlawanan 6 Julai (waktu S’pura)
- Brazil 1-2 Norway
- Mexico 2-3 England
