MEXICO: Pengurus England, Thomas Tuchel, memuji semangat juang dan ketabahan luar biasa anak buahnya untuk menewaskan Mexico 3-2 sekali gus melangkah ke suku akhir Piala Dunia.

Skuad Englandnya yang beraksi dengan 10 pemain, berjaya mengharungi perlawanan penuh dramatik di Stadium Azteca pada 6 Julai (waktu Singapura).

England pada mulanya tampak selesa mendahului 2-0 hasil dua jaringan pantas Jude Bellingham.

Namun, keadaan berubah secara mendadak apabila Jarell Quansah dilayangkan kad merah, membuka ruang kepada kebangkitan Mexico yang mengasak tanpa henti sehingga England terpaksa bertahan habis-habisan.

“Saya amat bangga dengan mentaliti dan sikap pemain. Pada peringkat kalah mati seperti pusingan 32 atau pusingan 16, apa yang penting ialah mencari jalan untuk menang,” kata Tuchel.

“Kami berjaya mengatasi setiap cabaran yang datang. Saya benar-benar bangga dengan mentaliti serta keazaman yang ditunjukkan oleh pasukan.”

Dalam suasana yang cukup menggegarkan di Stadium Azteca, England mempamerkan antara aksi paling meyakinkan mereka sepanjang kejohanan, sama ada ketika menyerang mahupun bertahan.

Selepas berjaya mengharungi tekanan awal daripada penyokong tuan rumah, England menggandakan kelebihan menerusi dua gol Bellingham dalam tempoh hanya dua minit.

Bintang muda itu memanfaatkan peluang di depan pintu gol.

Namun, drama sebenar baru bermula apabila penjaring terbanyak Mexico di Piala Dunia, Julian Quinones, merapatkan jurang, sekali gus menyemarakkan lagi suasana yang sememangnya sudah cukup membara.

Keadaan menjadi lebih mencabar buat England apabila Quansah diperintah keluar padang akibat terjahan keras sembilan minit selepas separuh masa kedua bermula.

Sorakan penyokong Mexico hampir meruntuhkan stadium itu sebelum Harry Kane kembali melebarkan kedudukan menerusi sepakan penalti.

Bagaimanapun, kelegaan itu hanya bertahan seketika apabila Mexico turut dihadiahkan sepakan penalti, dengan Raul Jimenez tenang menyempurnakan peluang tersebut untuk menjadikan kedudukan 3-2, memaksa England berjuang sehingga wisel penamat.

Walaupun beraksi dengan kurang seorang pemain, benteng England kekal tenang dan berdisiplin.

Mereka berjaya mengehadkan peluang Mexico dan akhirnya berjaya mempertahankan kemenangan sepanjang 12 minit masa kecederaan.

Perlawanan itu dianggap sebagai ujian paling sukar buat England setakat ini kerana mereka berdepan pasukan tuan rumah, beraksi di hadapan puluhan ribu penyokong lawan yang begitu bersemangat.

Menurut Tuchel, suasana menjelang perlawanan itu sendiri terasa seolah-olah mereka sedang menghadapi aksi final.

“Sejak sebelum sepak mula lagi, ia langsung tidak terasa seperti perlawanan pusingan 16. Rasanya seperti kami sedang bermain dalam satu perlawanan akhir,” katanya.

Namun, kegembiraan England sedikit tercalar apabila pemain tengah berpengalaman, Jordan Henderson, mengalami kecederaan ketika meraikan kemenangan bersama penyokong.

Henderson dipercayai terjatuh ketika cuba melompati papan iklan di tepi padang dan kini sedang menerima rawatan di hospital.

“Perasaan saya bercampur-baur. Saya keletihan, beremosi, tetapi pada masa sama sedih kerana Jordan mengalami kecederaan di tangannya,” kata Tuchel.

“Beliau kini berada di hospital dan kecederaan itu agak serius. Sangat menyedihkan kerana beliau tidak dapat bersama kami menikmati detik istimewa ini.” – Agensi berita.