GELSENKIRCHEN: Pemain England, Jude Bellingham, bukan sahaja bangga dapat menjaringkan gol penyamaan akrobatik pada saat akhir untuk menyelamatkan pasukannya daripada tersingkir di peringkat 16 pasukan terakhir Euro 2024 di tangan Slovakia pada 30 Jun, tetapi turut mampu menutup mulut pengkritik terhadap skuad The Three Lions.
England kelihatan gagal menyaingi Slovakia, yang mendahului permainan menerusi Ivan Schranz pada minit ke-25, namun jaringan Bellingham pada minit terakhir masa kecederaan, berjaya mengheret perlawanan ke masa tambahan – yang dimulakan dengan jaringan kemenangan Harry Kane untuk meraih kemenangan 2-1.
Bellingham, 21 tahun, dalam sidang media selepas perlawanan di Arena Aufschalke, berkata:
“Dalam bola sepak antarabangsa, di peringkat kalah mati, ia adalah perasaan paling teruk kerana anda hanya 30 saat daripada dihantar pulang dan perlu mendengar semua kritikan mengarut, mengalami perasaan yang anda telah menghampakan semua orang di tanah air.
“Tetapi dalam 30 saat, satu sepakan boleh mengubah semuanya. Ia perasaan yang saya tidak pernah mahukan dan tidak ingin alami. Tetapi apabila ia berlaku, ia terasa hebat.”
Pemain midfield Real Madrid itu, yang juga dinobat Pemain Terbaik Perlawanan, menambah: “Bermain untuk England memberi perasaan yang sangat indah tetapi juga menimbulkan tekanan. Orang ramai sering bercakap perkara mengarut lantas ia sangat indah apabila anda memberi persembahan terbaik, ia menutup mulut mereka.
“Sukar untuk datang ke sidang media dan bercakap secara terbuka sebagai pemain bola sepak kerana kami sentiasa dihakimi.
“Bagi saya, bermain bola sepak dan berada di atas padang, menjaringkan gol serta meraikannya adalah cara saya melepaskan tekanan, ia mungkin mesej kepada sesetengah orang.”
Bellingham tidak menyangka ia adalah gol terbaiknya tetapi berkata ia adalah salah satu detik paling beremosi di atas padang.
Beliau percaya England memaparkan “prestasi yang baik secara umum” dan bangga dengan semangat juang pasukan ketika mereka bergelut mencari kemenangan.
“Saya fikir dalam bola sepak kalah mati, apabila anda boleh menghasilkan detik seperti itu dan semua orang memandang pada satu sama lain dan menyedari bahawa kami benar-benar ada semangat juang dalam pasukan, ia dapat banyak membantu pasukan maju ke hadapan,” ujar Bellingham.
England seterusnya berdepan Switzerland dalam suku akhir.
Jurulatih Sepanyol, Luis de la Fuente pula berkata pasukannya sepatutnya boleh menewaskan Georgia 9-1 ketika mereka mara ke suku akhir Euro 2024 dan seterusnya akan berdepan pasukan tuan rumah, Jerman.
Skuad La Roja ketinggalan menerusi jaringan sendiri Robin Le Normand tetapi bangkit untuk mencatat kemenangan 4-1 di Cologne dan mencipta banyak peluang berdepan pasukan yang sudah melakukan kejutan dalam kejohanan kali ini.
Rodri, Fabian Ruiz, Nico Williams dan Dani Olmo menyumbat gol buat Sepanyol manakala pemain sayap berusia 16 tahun, Lamine Yamal terlepas dua peluang baik yang boleh menyaksikannya bergelar penjaring termuda kejohanan Eropah.
“Kami mencipta banyak peluang dan ia boleh menjadi 8-1. Kami perlu menghargai betapa pentingnya kemenangan ini kerana lawan benar-benar beraksi dengan baik,” kata De La Fuente.
Lawan suku akhir Sepanyol, Jerman, akan memberi cabaran terbesar tetapi juara tiga kali Eropah itu telah menunjukkan lebih daripada yang diharapkan untuk kekal sebagai antara pasukan pilihan untuk menjuarai kejohanan.
“Kami tahu perlawanan seterusnya (menentang Jerman) boleh menjadi perlawanan final di Piala Dunia. Kami akan berdepan musuh hebat,” tambah beliau. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg