Meskipun melangkah ke pusingan kalah mati sebagai juara Kumpulan C, kejayaan England mendapat sambutan dingin daripada para penyokongnya.
Ini ekoran prestasi hambar yang ditunjukkan dalam tiga perlawanan kumpulan, dengan pasukan Three Lions menang sekali, seri dua kali, dan hanya berjaya menjaringkan dua gol.
Ini meskipun anak buah Gareth Southgate merupakan antara pasukan pilihan untuk memenangi kejohanan Euro 2024 di Jerman, dengan barisan pemain England ditabalkan sebagai paling berbakat sejak beberapa tahun lalu.
Malangnya, mereka gagal memenuhi potensi tersebut sejauh ini dengan permainan yang kurang bertenaga, ketandusan imaginasi dan tenaga penggempur yang kurang menyengat.
Seperti yang disifatkan bekas penyerang dan kapten England, Alan Shearer:
“Sukar untuk saya faham sebab mereka bermain dengan baik bagi sebahagian besar kempen kelayakan, dan para pemain umumnya menikmati musim yang baik.
“Namun, saya gagal melihat tahap prestasi seperti yang dipamerkan di kelab masing-masing. Ini sesuatu yang membimbangkan.”
Antara puncanya ialah permainan England yang tidak seimbang ekoran keputusan Southgate untuk tidak membawa pemain bek kiri semula jadi, kecuali Luke Shaw.
Shaw bagaimanapun melangkah ke kejohanan di Jerman itu dengan kecederaan, dan kali terakhir beraksi untuk kelabnya, Manchester United, Februari lalu.
Apa yang menghairankan ialah, Shaw masih belum pulih daripada kecederaan dan hanya mula melakukan latihan ringan di padang, dua hari sebelum perlawanan ketiga England menentang Slovenia.
Untuk mengisi kekosongan Shaw, Southgate menurunkan pemain bek kanan Newcastle, Kieran Trippier.
Namun, dengan pemain yang lebih selesa bermain di bahagian kanan padang bermain di posisi bek kiri, ini pincangkan cara England beroperasi di sayap kiri.
Southgate cuba imbangi keadaan itu dengan menurunkan Phil Foden, pemain Manchester City yang ditabalkan Pemain Terbaik Liga Perdana England musim lalu.
Namun, Foden lebih mengancam bersama City bermain dari sayap kanan, atau dalam posisi yang lebih fleksibel.
“Mengapa Southgate mengambil risiko ini, saya tidak pasti,” tambah Shearer, yang bertugas sebagai pengulas bola sepak untuk kejohanan Euro 2024.
“Mungkin beliau mendapat ramalan yang salah daripada pasukan perubatan England, tiada sesiapa tahu jawapannya.
“Hakikatnya, England hilang keseimbangan dalam permainan mereka kerana dalam mengatur serangan, mereka harus menyesuaikan diri dengan pemain bek kiri yang lebih selesa bermain di bahagian kanan formasi pasukan,” ujar beliau.
Satu lagi punca ialah percubaan Southgate menurunkan pemain pertahanan Liverpool, Trent Alexander-Arnold, sebagai pemain bahagian tengah.
Bagi saya, Trent adalah pemain yang boleh beroperasi dari bahagian tengah namun memerlukan barisan penyerang yang lebih tangkas.
Gerakan tenaga penggempur England yang kurang memuaskan membuat Trent kurang berkesan sebagai pemain bahagian tengah.
Bagi perlawanan ketiga England, Southgate menurunkan kapten Chelsea, Conor Gallacher, menggantikan Trent. Namun, pemain tersebut gagal meninggalkan kesan dan digantikan pada separuh masa kedua dengan pemain muda Manchester United, Kobbie Mainoo.
England tampak lebih bertenaga pada separuh masa kedua, lebih-lebih lagi setelah pemain Chelsea, Cole Palmer, turun padang.
Justeru, England dan Southgate harus menyelesaikan kemelut yang dihadapi dengan mencari huraian kepada formasi yang tidak seimbang dek masalah di bek kiri dan juga eksperimen bahagian tengah mereka.
Ini kerana meskipun bertemu pasukan ‘kerdil’ Slovakia, sejarah menunjukkan apa sahaja boleh berlaku dalam pusingan kalah mati.
Bahkan Slovakia, yang menduduki tangga ke-45 ranking Fifa, begitu bermotivasi berdepan pasukan England, yang menduduki tangga kelima dalam ranking yang sama.
Jurulatih Slovakia, Francesco Calzona, akur pasukannya berdepan cabaran yang besar dalam pusingan kalah mati ini namun mereka melangkah ke perlawanan menentang England tanpa tekanan.
“Sudah tentu setelah kami berjaya ke pusingan ini, kami mahu menguji diri kami dan lihat sejauh mana kami mampu mara.
“Namun, kami tidak tertekan untuk melakukannya. Tiada sesiapa yang memberi kami peluang untuk mara sejauh ini, justeru saya memberitahu pemain anda semua sudah melebihi jangkaan, jadi turun ke padang dan bermain untuk kepuasan diri anda. Kita tidak perlu membuktikan apa-apa lagi,” ujar beliau.
Dengan semangat sedemikian, dengan pemain yang bebas daripada tekanan berbanding England, anak buah Southgate harus berhati-hati supaya tidak menjadi mangsa tersingkir awal daripada kejohanan meskipun memulakannya sebagai pasukan pilihan.
Perlawanan England menentang Slovakia berlangsung tengah malam, 1 Julai ini.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg